POS TERKINI

Rabu, Oktober 06, 2010

Allah Ajarkan Tentang Ilmu

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh,

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah, Maha Pengasih, Maha Mengetahui dan Maha Bijaksana. Semoga sahabat semua sentiasa diikat hati mengingati Allah, teralir dalam jiwa untuk mencintai kebaikan dan membenci kemaksiatan dan kejahatan. Saya bersyukur ke hadrat Allah akhirnya TASKA SELEMBUT KASIH IBU telah dapat memulakan operasinya pada 1 Oktober 2010 yang lepas iaitu pada hari Jumaat, alhamdulillah. Taska ini dilahirkan dengan satu misi yang besar untuk membangunkan khalifah ALLAH khususnya di bumi Malaysia ini dan insyaALLAH kalau dikehendaki ALLAH diharap dapat beroperasi di peringkat antarabangsa. Buat masa ini saya menumpukan perhatian di dalam membangun dan membaiki modul pembangunan yang mudah, tepat dan berkesan bagi membangunkan anak-anak ini untuk menjadi khalifah ALLAH yang mengenal dan mencintai ALLAH, sangat mengasihi Rasulullah SAW, memahami tujuan hidupnya sebagai wakil Allah dan menghargai ilmu sebagai asas kejayaan memakmurkan bumi, suka solat dan dapat solat dengan khusyuk, menguasai dan menghafaz Al-Qur'an, pandai berinteraksi dengan orang lain, simpati dengan kesusahan manusia dan suka kepada kehidupan memberi. Modul Pembangunan intelektual yang sediada (begitu banyak dipasaran) saya gunakan dengan penambah baikan bagi membangunkan potensi anak-anak di dalam penguasaan bahasa Malaysia, Bahasa Inggeris dan Bahasa Arab, matematik dan sains. Secara umumnya anak-anak ini perlu disiapkan agar menjadi anak-anak yang cerdas ruhaninya, intektualnya, emosi, fizikal dan sosial. Projek ini begitu besar hingga membuatkan saya sering merasa kerdil tapi insyaALLAH dengan rasa kesedaran bahawa segalanya ALLAH yang menguruskannya, maka saya perolehi semangat setiap hari untuk meneruskannya selagi dikehendaki ALLAH.

Alhamdulillah, pada hari ini saya ingin merekodkan kefahaman yang saya perolehi tentang ilmu. Di dalam kehidupan kita seharian, pemikiran kita sering akan terbahagi kepada ilmu dunia dan ilmu akhirat bila berbicara tentang ilmu. Contohnya kita akan kedengaran kata-kata seperti "asyik dengan ilmu dunia je, ilmu akhirat diabaikan". Justeru kita sering merasakan pelajaran seperti kejuruteraan, sains perubatan, pemasaran seperti ilmu dunia dan pelajaran seperti Tasawuf, Fiqh, Syariah Islam sebagai ilmu akhirat. Pemikiran ini mungkin timbul kerana niat yang salah di dalam mempelajari ilmu. Contohnya seorang pelajar mempelajari ilmu kejuruteraan kerana ingin menjadi seorang jurutera dan mengecapi kehidupan yang senang apabila dewasa nanti. Justeru ilmu itu dirasakan ilmu dunia (ilmu untuk memastikan kehidupan dunia terjamin).

Alhamdulillah saya diberi kefahaman bahawa ayat-ayat Allah bukan sekadar tertulis di di dalam kitab Al-Qur'an yang kita baca. Ayat-ayat ALLAH tertulis di alam semesta dan di dalam diri kita sendiri. Kereta yang berjalan contohnya adalah mengikut hukum-hukum yang telah ditetapkan ALLAH yang terdapat di alam semesta ini. Hukum-hukum Allah ini kita pelajari contohnya di dalam pelajaran fizik, kimia dan matematik. Justeru setelah manusia memahami hukum-hukum ini, maka dengan menggunakan hukum-hukum CIPTAAN Allah ini (bukan hukum Newton, atau hukum Bohr, atau hukum Boyle atau hukum Ohm - semua hukum ini diambil sempena nama ahli sains yang MENJUMPAI HUKUM ALLAH ini) maka manusia pun dapat mencipta kereta yang kita gunakan hari ini yang digunakan untuk melahirkan kehidupan bertamadun dan maju. Justeru hukum-hukum Allah ini yang bertebaran dimukabumi perlu dipelajari oleh manusia untuk memakmurkan bumi ini dan menjalankan amanah dan tanggungjawab ALLAh sebagai khalifahNya.

Justeru, ilmu pengetahuan dalam apa jua bidang seperti sains, matematik, pengurusan, perakaunan, pembangunan manusia adalah ayat-ayat ALLAH yang terdapat di alam semesta yang perlu dipelajari (seperti kita mempelajari ayat-ayat ALLAH di dalam Al-Qur'an) bagi digunakan untuk membangunkan kehidupan dan ketamadunan di muka bumi ini. Para ulamak mengkelaskan ilmu-ilmu seperti ini sebagai fardhu kifayah. Perlu ada yang tahu dan pakar. Persoalannya berapa ramai pakar yang perlu ada? Sekiranya hanya ada seorang pakar, dapatkah kita membangunkan mukabumi ini? Pastinya tidak boleh. Maka pastinya jumlahnya perlu besar.

Kenapa umat Islam ketinggalan di dalam ketamadunan (yang sering kita sebutkan sebagai keduniaan) berbanding dengan orang-orang kafir? Jawapannya adalah kerana mereka menguasai ilmu-ilmu sains, matematik, pengurusan, perakaunan dan sebagainya. Mereka menguasai hukum-hukum ALLAH. Justeru mereka sebenarnya sedang memakmurkan bumi ini dengan ketamadunan (membina kapalterbang, membina satelit, membina keretapi laju dan sebagainya). Bukankah kita sebagai orang-orang Islam sewajarnya lebih kehadapan di dalam memakmurkan bumi ini dengan teknologi-teknologi tercanggih, dan perjumpaan HUKUM ALLAH yang terkini? Namun lihat bagaimana orang-orang kafir memperuntukkan sejumlah wang yang besar di dalam melakukan pelbagai research (kajian). Setiap hari dan setiap saat mereka terus menerokai hukum ALLAH yang belum dijumpai, mereka menerokai ayat-ayat ALLAH yang begitu banyak bertebaran di alam semesta. Sejauh mana keseriusan yang ada di kalangan orang Islam di dalam menerokai hukum-hukum ALLAH ini?

Kefahaman ini yang perlu ada di dalam diri kita, guru-guru kita, anak-anak murid kita. Belajar itu menerokai hukum-hukum ALLAH, menerokai ayat-ayat ALLAH di alam semesta. Dengan penerokaan ini, kita akan menyumbang secara efektif di dalam membangunkan tamadun serta memakmurkan bumi seperti mana yang diwajibkan ALLAH. Dengan ilmu ini juga kita dapat meningkatkan martabat Islam dan mempertahankannya apabila cuba diserang dan dikhianati seperti mana berlaku di Palestine.

Ilmu pengetahuan bukan tiket untuk kesenangan hidup bila dewasa. Mencari ilmu pengetahuan itu satu kewajipan sebagai khalifah ALLAH.

Mungkin ada yang bertanya bagaimana dengan ilmu-ilmu di dalam mempelajari solat, puasa dan sebagainya. Itu adalah fardhu Ain, pastinya wajib kepada semua kerana untuk menjalankan ibadah solat, puasa, zakat dan haji dengan betul dan mencapai matlamat latihan ibadah itu iaitu bertakwa kepada ALLAH pasti perlu ada ilmu bagaimana untuk melakukannya dengan betul. Tanpa ilmu yang betul, maka matlamat ibadah tadi tidak akan tercapai. Solat gagal membentuk akhlak yang mulia dan puasa gagal menghasilkan mukmin yang bertakwa.

Saya sangat bersyukur dapat memahami perkara ini dengan lebih menyeluruh. Saya merasakan kefahaman ini perlu sama-sama kita terapkan kepada diri kita dan jiwa anak-anak kita agar mereka berada di kefahaman yang tepat di dalam menuntut ilmu dan insyaALLAH menjadikan mereka bersemangat, serius dan bersungguh-sungguh di dalam mempelajari hukum-hukum ALLAH yang sediada di sekolah, di perpustakaan, di kedai buku, di televisyen dan di mana-mana saja. InsyaALLAH semoga lahir generasi Islam bertakwa yang menguasai imu untuk dimanfaatkan oleh manusia dan alam. Mereka inilah yang membawa Islam sebagai rahmatan lil 'alamin ...

Hanya ALLAH yang MAHA MENGETAHUI