POS TERKINI

Selasa, Julai 20, 2010

Allah Ajarkan Dia Yang Menguruskan Rezeki

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh,

Dengan Nama Allah Yang Maha Mengasihani kita semua dan Maha Menyayangi hamba-hambaNya ... Betemu kembali sahabat-sahabat semua ... saya merasakan kebersamaan kita semua, saya merasakan kehadiran sahabat-sahabat semua dalam kehidupan saya ... terima kasih di atas segala sokongan yang diberikan dan nikmat persahabatan di alam cyber ini dari Allah jua insyaAllah ....

Saya pernah menulis tentang rezeki diurus Allah ini ... tapi memandangkan tajuk ini sering menjadi suatu yang memberi tekanan kepada manusia, saya ingin menulis lagi berdasarkan pengalaman yang saya lalui akhir-akhir ini; maklumlah kehidupan bekerja sendiri pastinya memberi pengalaman yang jauh berbeza dari bekerja makan gaji seperti sebelumnya.

Kerana wang, persahabatan jadi permusuhan, kerana wang suami isteri bercerai, kerana wang, anak isteri ditinggalkan, kerana wang, hilang semua pertimbangan ... aduh sayang seribu kali sayang ... hanya kerana wang!

Alhamdulillah, saya melalui pengalaman dan pengajaran dari Allah tentang rezeki. Saya rasa sahabat semua juga sering diajarkan Allah bukan ... Izinkan saya berkongsi sedikit pengalaman yang ada, moga-moga dapat membantu kita di dalam meneruskan kehidupan ini dengan beroleh rezeki yang diberkati Allah.

Allah sememangnya menyuruh kita mencari karuniaNya di dunia ini. Banyak ayat-ayat Allah di dalam Al-Qur'an yang menyuruh kita berusaha kerana sunnahtullah itu kalau kita berusaha, maka kita akan mendapat pulangan yang baik. Sememangnya itu ketetapan Allah. Dengan berusaha mencari rezeki bererti kita berperanan sebagai wakil Allah ... contohnya kita mencari rezeki menjual surat khabar, maka kita berperanan sebagai wakil Allah memudahkan manusia mendapat surat khabar untuk dibaca agar mereka tahu apakah isu semasa yang sedang berlaku, apakah penyakit yang sedang berleluasa dan perlu diberi perhatian, apakah isu-isu ekonomi yang akan memberi kesan kepada ekonomi keluarga ... wah besar peranannya orang yang menjual surat khabar ini ... Itulah ketetapan Allah ... bertaburan manusia mencari rezeki dan tanpa manusia sedari mereka sedang memenuhi kehendak Allah menjadi wakilNya menguruskan dunia ini ...

Namun pada hakikatnya Allah itulah pemberi rezeki. Allah itulah yang menguruskan rezeki ...Segala yang ada dilangit dan bumi adalah milik Allah semuanya. Seandainya kita bertakwa kepada Allah dan tunduk kepada perintah Allah maka Allah akan menguruskan rezeki kita ....

Untuk membicarakan tentang rezeki ini, kita perlu membicarakan tentang ikhlas ... kita perlu kembali kepada tujuan kita dihidupkan iaitu untuk menjadi hamba dan khalifah Allah, wakilNya di bumi ini. Justeru apa saja yang kita lakukan terus ikhlaskan diri sebagai wakilNya yang sedang berperanan di muka bumi ini. Maka segala apa yang kita lakukan dalam usaha mencari rezeki akan diikhlaskan untuk Allah ... contohnya sekiranya saya seorang guru, maka saya merasakan bahawa saya sedang menjadi wakil Allah di dunia ini untuk mengajarkan anak-anak ilmu pengetahuan ... rezeki saya, saya serahkan pada Allah dan saya yakin Allah akan menguruskannya ... Maka kita akan membuat pekerjaan kita dengan yang sebaiknya kerana kita wakil Allah, justeru pasti Allah akan memberi pulangan yang terbaik juga kepada kita di dalam bentuk rezeki YANG DIBERKATINYA.

Berikut adalah beberapa pengalaman yang saya lalui sebagai sedikit panduan: -

1. Seorang yang saya kenali mendapat kontrak kerajaan tetapi dia sangat mengutamakan keuntungan dan sanggup mengorbankan kualiti perkhidmatan yang diberikan. Akhirnya kontraknya cukup bertahan selama lebih kurang 6 bulan sahaja dan syarikatnya diblacklist ... Seorang usahawan yang lain yang juga saya kenali sanggup mendapat keuntungan yang minimal sahaja kerana berusaha memberikan perkhidmatan yang berkualiti. Dia yakin dia sedang berkhidmat sebagai wakil Allah dan justeru dia sanggup menghabiskan wang semata-mata agar ia memberikan perkhidmatan yang terbaik. Kontraknya disambung dengan jumlah yang lebih besar.

2. Suatu ketika dahulu, saya takut untuk berhenti kerja kerana memikirkan perbelanjaan perubatan yang tinggi yang perlu saya tanggung sekiranya saya berhenti kerja. Ini adalah kerana syarikat lama saya menanggung semua kos perubatan saya dan anak-anak. Alhamdulillah Allah memberi kekuatan untuk saya membuat keputusan berani untuk berhenti kerja dan menyerahkan segala urusan rezeki kepada Allah. Alhamdulillah, di dalam tempoh tidak sampai 6 bulan saya berhenti kerja, saya dan keluarga kini mendapat perlindungan perubatan dari sebuah organisasi. Itulah kadang-kadang kita terlupa bahawa Allah yang menguruskan segalanya, menguruskan rezeki kita. Tak pernah terjangka oleh saya perkara ini berlaku ... terpaku saya menyaksikan ... dan terus mengungkapkan kata-kata Lailahaillallah ... penyaksian saya bahawa Tiada Tuhan SelainMu Ya Allah ...

3. Pada suatu hari saya agak tertekan kerana saya perlu mengeluarkan perbelanjaan yang agak besar untuk menganjurkan satu program tetapi malangnya saya tidak mempunyai cukup modal kerana terdapat perbelanjaan yang telah saya keluarkan belum dibayar oleh badan-badan organisasi tertentu. Alhamdulillah, saya kosongkan segala fikiran saya dan terus berserah dan memohon sungguh-sungguh pada Allah ... Minta duit Ya Allah ... kata saya ... Minta duit ... begitulah saya memohon pada Allah. Alhamdulillah esok paginya saya lihat akaun di bank saya cukup untuk menanggung bukan satu program malah beberapa program : )

4. Seorang rakan suami saya telah menalipon seorang yang terlibat di dalam pemberian kontrak kepada syarikat saya dan suami. Rakan suami saya itu memburukkan saya dan bertanya kepada orang itu kenapa memberikan kontrak kepada saya. Pada mulanya saya agak rasa terkilan bagaimana seorang yang dilihat sebagai rakan kepada suami saya dan mempunyai ilmu pengetahuan agama sanggup berbuat begitu ... namun alhamdulillah segera saya diingatkan Allah bahawa rezeki saya itu diuruskan Allah ... justeru tidak ada apa-apa lagi perasaan marah atau terkilan ... biarkan saja ... lega rasanya.

5. InsyaAllah saya sedang berusaha membuka satu perniagaan yang baru. Saya tertanya-tanya berapa harga yang perlu saya letakkan kepada pelanggan saya. Agak berat juga saya memikirkan dan saya memohon kepada Allah untuk membantu saya. Alhamdulillah, Allah mentakdirkan saya mengikuti satu siri kuliah di radio IKIM dan disitu diceritakan tentang seorang sahabat yang menjual unta. Dia membeli seekor unta dengan harga katakan 100 rupiah dan menjualnya juga dengan harga 100 rupiah, tetapi mengambil keuntungan atas tali unta itu. Dia mengambil tali unta itu ... Alhamdulillah kemudian perniagaannya semakin maju dan dia berjaya menjadi usahawan yang berjaya ... Dari kisah ini saya belajar tentang barokah ... biar sedikit keuntungan kita tapi barokah disisi Allah kerana pada hakikatnya Allah yang menguruskan rezeki ...

Semoga selepas ini kurang tekanan kita bila memikirkan masalah rezeki ini ... InsyaAllah ikhlaskan diri dan hati untuk Allah, lepaskan segala rasa ingin memiliki, buat yang terbaik sebagai wakil Allah insyaAllah rezeki kita akan diurusNya dengan sempurna!


Hanya Allah Yang Maha Mengetahui

Jumaat, Julai 09, 2010

Allah Ajarkan Siapa aku?

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh,

Dengan namaMu Ya Allah, Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang ... Dengan NamaMu ini kami menjalankan amanah yang Kau telah tetapkan untuk kami, ada di kalangan kami yang mengajar anak-anak sekolah ATAS NAMAMU, ada di kalangan kami yang sedang menjual ayam di pasar ATAS NAMAMU, ada di kalangan kami yang sedang membawa pesawat kapalterbang ATAS NAMAMU ... kerana kami semua wakilMu ya Allah ... redhailah kami dan pandangilah kami dengan pandangan rahmatMu ... kerana Mu kami hidup dan dengan NAMAMU kami ingin mati ... Lailahaillallah ... perkenankan YA ALLAH ...

Alhamdulillah sahabat, bertemu kembali setelah agak lama juga saya tidak berkesempatan untuk menulis di sebabkan program yang berterusan. Pada pagi ini saya ingin kongsikan pengalaman diberikan Allah untuk saya merasakan diri saya yang sebenarnya ...

Sebelum ini di dalam penulisan yang lepas, sudah agak kerap saya menulis bahawa kita bukanlah jasad ini, kita bukanlah tangan ini, bukan mata ini ... fizikal kita hanyalah alat yang diberikan Allah untuk kita melakukan aktiviti memenuhi tugas dan amanah kita di muka bumi ini. Bayangkan seorang Eksekutif yang baru memulakan tugas, apakah antara fasiliti yang mula-mula diberikan kepadanya? Sebuah komputer bukan? Dengan komputer itu si Eksekutif tadi akan mudah melakukan tugasannya ... Allah juga memberikan komputer ini kepada wakilNya untuk menjalankan tugasan yang diamanahkan. Itulah fizikal kita yang lengkap dengan sistem otaknya yang begitu hebat, sistem perjalanan darah, sistem penghadaman dan berbagai sistem yang ada di dalam diri kita ... Mana hebat komputer Allah ini berbanding PC kita di pejabat? Tak terbandingnya bukan ... Bukan sahaja Allah bekalkan kita dengan sebuah "komputer" yang begitu hebat sistemnya tapi Allah bekalkan juga kita akal fikiran, nafsu dan Ruh yang masing-masingnya punya potensi yang amat luar biasa sekali. Segala yang diberikan Allah ini menjadikan kita makhluk Allah yang paling sempurna dan dengan kesempurnaan itu dibandingkan dengan makhlukNya yang lain maka kita dilantik menjadi WAKILNYA di muka bumi ini.

Malangnya selama ini kesedaran ini tidak ada. Kita merasakan diri kita ini adalah fizikal beserta nafsu, akal ... maka bila kita pandai membuat sesuatu, kita dengan cepatnya merasakan kitalah yang pandai itu ... betulkan?

Alhamdulillah, semalam saya diberi peluang diajar Allah untuk MERASAKAN diri saya yang sebenarnya. Ketika kita tidur, diri kita yang sebenarnya tidak ada di dalam jasad kita. Badan dan fizikal kita semuanya lemah dan ibarat sebuah komputer yang di "offkan" switch ke sumber elektrik maka komputer itu tidak mampu menjalankan apa juga aktiviti yang biasanya boleh dijalankan sebelumnya. Sama dengan fizikal kita, apabila kita tidur, ia hanya sebuah fizikal kosong, tidak mampu melihat, tidak mampu berfikir, tidak mampu berjalan ... benarkan? Diri kita yang sebenarnya tidak ada di dalam jasad itu .... Allah ada menerangkan hal ini di dalam Al-Qur'an bahawa Allah mengenggam jiwa kita saat kita tidur dan sekiranya kita diberi umur lagi maka Allah akan mengembalikan jiwa kita dan kita hidup sehari lagi dan begitu lah yang berlakunya setiap hari ...

Petang semalam saya dan suami tertidur di dalam kereta sementara menantikan appointment kami dengan seorang sahabat. Kami tertidur kerana terlalu amat keletihan. Badan saya begitu amat lemah dan terus saya tertidur. Lebih kurang dua jam selepas ini, saya sedar tetapi saya tidak dapat bergerak, saya tidak dapat menggerakkan tubuh saya ... Saya sangat sedar ketika itu .... ingin saja saya panggil suami saya di sebelah agar dapat menggerakkan tubuh saya yang kaku ... tapi tidak berdaya. Saya sempat berkata di dalam hati saya, adakah tiba masanya saya pulang pada Allah ... Saya cuba lagi menggerakkan tubuh saya, tidak mampu ... Saya katakan pada diri saya ketika itu, siapkan saja untuk mengadap Allah ... saya hampir tidak mahu mencuba lagi dan ingin saja terus menyerahkan diri kepada Allah ... kemudian timbul satu kekuatan untuk terus berusaha kerana di hati masih ingin terus hidup ... maka saya kuatkan sepenuh tenaga untuk menggerakkan tubuh saya dan tiba-tiba saya terjaga ....

Sebenarnya saya pernah mengalami keadaan seperti ini. Saya rasa sahabat semua pernah mengalaminya bukan? Kita tersedar dari tidur tapi badan tidak dapat digerakkan ... Macam-macam penjelasan kita pernah dengar, ada yang kata kena himpit dengan hantu, ada yang kata badan letih sangat ... Semalam saya mendapat satu paradigma yang baru ... Saya terus menyedari bahawa ITULAH AKU YANG SEBENARNYA ... aku yang pada hakikatnya terpisah dari jasad ini, aku yang sebenarnya bukan jasad ini ... Alhamdulillah, sudah berapa lama perkara ini terjadi tetapi kita tidak menyedari bahawa Allah memberikan kita pengalaman MERASAKAN diri kita yang sebenarnya ... Terima kasih Allah.

Hanya Allah Yang Maha Mengetahui