Khamis, Disember 31, 2009

Allah Ajarkan Tentang Berjihad di JalanNya

Assalamualaikum wr. wb.

Apa khabar semua? Semoga sentiasa di bawah rahmat dan kasih sayang Allah. Pada pagi ini saya ingin berkongsi pengalaman diajarkan Allah tentang berjihad di jalanNya ... Pengalaman ini saya perolehi pada suatu waktu dahulu ...

Istilah jihad ini sememangnya sudah tidak asing bagi saya ... Sejak dari usrah di universiti dulu saya diajarkan untuk sentiasa berjihad di jalan Allah ... infaqkan kehidupan untuk menegakkan agama Allah ... begitu bersemangat sekali bila berbincang bab jihad di dalam usrah ... Jihad menjadi suatu yang manis di hati sanubari kami ... amat malang pada hari ini Jihad dilihat sebagai keganasan, terrorism padahal Allah telah membeli dari orang-orang mukmin itu jiwa dan harta mereka dengan memberikan syurga kepada mereka, mereka berjihad di jalan Allah dan di antara mereka ada yang terbunuh dan ada yang membunuh ... demikianlah Allah menceritakan di dalam Al Qur'an. Apa yang saya ingin kongsikan pada pagi ini bukanlah pengertian jihad yang saya lalui di usrah-usrah dan di program-program tarbiyah yang saya ikuti tetapi perlaksanaan jihad pada hari ini yang diajarkan Allah kepada saya ...

Pada peperangan antara tentera Israel dan Hamas baru-baru ini, ramai orang-orang Palestine dibunuh kejam ... masih ingat lagi? Anak-anak dibunuh, gas-gas beracun dihamburkan oleh tentera Israel, wanita-wanita tua juga turut menjadi mangsa pembunuhan kejam ... Hati saya sangat terhiris oleh peristiwa tersebut ... mereka adalah saudara-saudara saya tapi apa yang saya lakukan ... Justeru saya menginfaqkan wang yang saya ada bagi membantu mereka ... Saya ingatkan kepada sahabat-sahabat seusrah saya agar beri sebanyak yang boleh kerana pemberian ini bukan sekadar untuk program kebajikan biasa tetapi demi menyelamatkan saudara-saudara kita di sana yang sangat mengharapkan bantuan saudara-saudara seIslam mereka.

Setelah itu pada suatu malam sebaik pulang dari suatu program, saya duduk di ruang tamu di rumah saya dan terus mengambil remote control TV untuk menukar channel. Suatu yang amat jarang saya buat ... saya jarang menonton TV apatah lagi ingin menukar channel, saya agak pelik .. apatah lagi waktu telah malam ... Tapi itulah yang kadang-kadang kita tidak nampak dan tidak faham ... Allah akan memaksa kita mengikut kehendakNya, itulah yang berlaku pada saya pada malam itu. Saya duduk di sofa dan akhirnya saya bertemu dengan siaran filem Kingdom Of Heaven, kalau tak silap di TV3. Saya pun menonton filem tersebut sampai habis.

Alhamdulillah, kesyukuran yang tak terhingga saya mendapat pengajaran yang amat bermakna dalam kehidupan saya sehingga dapat mengubah arah perjalanan hidup saya insyaAllah... Suatu yang tidak dapat saya beli dengan wang sejuta pun .. Itulah hidayah Allah, tak ternilai harganya ...

Kingdom of Heaven adalah sebuah filem yang dibuat oleh seorang non-muslim (American) yang menceritakan tentang Baitul Maqdis dan kegigihan Salahuddin al-Ayyubi untuk mendapatkannya kembali. Bertahun-tahun lamanya orang-orang Islam di Baitul Maqdis hidup menderita, disiksa dan dibunuh oleh orang-orang Kristian yang memerintah ketika itu ... Mereka menghalau orang-orang Islam dari tanah air mereka sendiri ... Salahuddin al-Ayyubi dengan keyakinan yang mendalam kepada Allah, keikhlasan berjihad di jalan Allah dan kekuatan tentera yang begitu hebat akhirnya berjaya menawan kembali Baitul Maqdis setelah beratus tahun Baitul Maqdis di bawah pemerintahan orang-orang kafir. Pihak tentera Kristian cuba menawan kembali dengan beberapa siri Perang Salib setelah itu tetapi tidak berjaya ...Akhirnya mereka menyedari bahawa untuk menawan orang-orang Islam ini bukan melalui peperangan bersenjata tetapi melalui minda mereka. Justeru usaha disusun cukup terancang untuk melalaikan orang-orang Islam dari keyakinan kepada Allah dan dari cara hidup Islam yang sebenar ... dan inilah yang berlaku pada hari ini .. orang-orang Islam lalai dengan hiburan, keseronokan yang dicipta oleh orang-orang kafir... Orang-orang Islam berlumba-lumba mencari harta kekayaan untuk kepentingan diri dan keluarga sendiri sehingga kepentingan Islam sudah jauh terpisah dari diri dan kehidupan mereka ... Jihad sudah pudar dan hampir dilupakan, malah dilabel sebagai suatu yang negatif. Justeru, lihat saja hasilnya ... Baitul Maqdis kini jatuh kembali ditangan orang-orang kafir dan saudara-saudara Islam kita kembali menderita, disiksa dan dibunuh ... Perancangan mereka berjaya!

Sebaik selesai menonton filem tersebut, saya diajarkan oleh Allah untuk menjadi Salahuddin al-Ayyubi ... tetapi jihad saya bukanlah dengan peperangan bersenjata seperti Salahuddin al-Ayyubi tetapi peperangan dengan minda orang-orang Islam. Saya diajar untuk membangunkan mereka dari tidur yang panjang, sedarkan mereka kembali bahawa selama ini kita telah ditipu dan dilenakan oleh golongan kuffar yang sentiasa ingin menghancurkan Islam. Inilah jihad yang diperlukan pada hari ini ... Kita perlu menyedarkan anak-anak muda yang penuh potensi di luar sana bahawa kita perlu bangun kembali dengan berbekalkan keyakinan kepada Allah dan mendapatkan sebanyak ilmu yang ada untuk kita bangunkan kembali ummah ini, untuk kita bangunkan kembali Islam dan akhirnya menggantikan Salahuddin al-Ayyubi untuk membebaskan Baitul Maqdis .... Siapa lagi yang menjadi harapan ummah kalau bukan dengan kita .... Kita mulakan apa saja yang boleh kita sumbangkan, jangan tunggu orang lain ... InsyaAllah Allah akan sentiasa membantu dan memberikan pertolongan.

Salahuddin al-Ayyubi telah lama meninggalkan kita ... Walaupun beliau mengakhiri kehidupannya dengan kejayaan menguasai dan membebaskan begitu banyak jajahan tetapi ketika hendak mengkebumikan jenazahnya, wang yang ada padanya tidak cukup untuk perbelanjaan pengurusan jenazah kerana hampir semua wang yang ada padanya telah diinfaqkan ke jalan Allah .. Itulah Salahuddin al-Ayyubi ... dihormati kawan dan lawan dan insyaAllah rohnya kini berbahagia bersama kekasih yang dicintainya ... masih adakah Salahuddin al Ayyubi di kalangan kita? Kuatkan hati, beranikan diri dan jawab, ya, saya ...

Selasa, Disember 22, 2009

Allah ajarkan bagaimana cinta sesama manusia menyuburkan cinta kepada Allah

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh,

Apa khabar semua? Agak lama saya tidak berpeluang untuk menulis di blog ini. Alhamdulillah pada pagi ini walaupun badan saya masih letih tetapi 'mood' menulis itu ada ... Saya agak sibuk lebih kurang sebulan yang lalu ...

Masih ingat pengendalian Konsert Amal bersama OPICK yang kami jalankan baru-baru ini? Sebaik sahaja konsert selesai dan semua tetamu telah pulang, saya seperti biasa ke tempat kerja menyambung tugasan di pejabat. Pada pagi itu saya mempunyai tugasan luar dan ketika memandu saya berkata kepada Allah betapa peliknya saya rasa ... konsert yang dijalankan telah mengalami defisit tetapi saya tidak rasa kehilangan ... malah pada pagi itu saya rasa tenang dan gembira ... kemudian saya katakan kepada hati kecil saya .. mungkin kerana apabila wang yang ada kita pulangkan kepada Allah, kita rasa gembira dapat menyumbang di jalanNya ...itulah kata-kata yang berkisar di fikiran dan hati saya ketika itu ...

Lebih kurang 30 minit selepas itu saya mendapat panggilan telefon dari seorang Pengurus Besar di sebuah agensi kerajaan yang meminta saya mengendalikan sebuah program ala karnival - konsert dengan kehadiran 15000 - 25000 orang katanya ... Nora tolong buat proposal ... terkedu saya dibuatnnya ... sukar untuk saya percayai ... bertambah yakin dihati saya ketika itu bahawa Allah akan menggantikan apa saja yang kita infaqkan di jalanNya ... tapi di dalam peristiwa ini, begitu cepat ia berlaku ...

Alhamdulillah program tersebut telah pun selesai diurus Allah dengan cukup sempurna. Program yang sepatutnya diadakan di stadium telah diadakan di sebuah kompleks besar dengan kehadiran peserta dikurangkan atas beberapa sebab. Program berjalan dengan begitu baik dan lancar. Cuaca di sepanjang program dijalankan tidak panas dan rata-rata Pengurus Besar itu memaklumkan kepada saya bahawa para peserta sangat berpuas hati dengan program yang dijalankan. Saya bersyukur kehadrat Allah yang memberikan pertolonganNya dan saya begitu terharu dengan komitmen yang ditunjukkan oleh semua ahli jawatankuasa dan urusetia yang sama-sama mengendalikan karnival/konsert tersebut. Ada yang bekerja terus sampai jam 4 pagi, ada yang tidak tidur di apartment yang disediakan tetapi tidur di kompleks tersebut pada malam hari sebelum program dijalankan. Walaupun begitu letih dengan persiapan pada malam sebelumnya tetapi semuanya kelihatan ceria pada hari program diadakan dan sangat bertimbang rasa di antara satu sama lain ... Itulah nikmat Allah yang sangat saya syukuri dikurniakan sahabat-sahabat dan anak-anak muda (kebanyakannya pelajar universiti) yang komitted memberikan yang terbaik semata-mata kerana Allah. Pastinya mereka ini sangat dekat di hati saya insyaAllah buat selama-lamanya.

Saya telah mencadangkan kepada pengurusan agensi kerajaan tersebut untuk menjemput OPICK, Ina Naim dan Suhaimi bagi menyerikan acara persembahan dan segmen Santai Bersama Selebriti. Alhamdulillah persembahan hebat OPICK di majlis perasmian telah memukau hadirin yang datang termasuk Menteri Besar yang turut hadir. Begitu juga Ina Naim dan suaminya Suhaimi telah menarik perhatian peserta sehingga saya lihat seorang pakcik yang agak tua begitu khusyuk mendengar Ina Naim berbicara : )

Secara ringkasnya di antara proses pembelajaran yang saya lalui di dalam pengendalian program besar ini adalah:-

1. Yakin bahawa apa juga perubahan yang dilakukan walaupun di saat-saat terakhir adalah dalam perancangan Allah dan terima saja perubahan tersebut dan berusaha sebaik mungkin. Tidak perlu kita menyalahkan sesiapa di dalam perubahan yang berlaku.

2. Tetapkan diri dalam kesabaran menghadapi apa saja yang berlaku sebelum, ketika atau selepas program. Berikan senyuman dan layanlah apa saja masalah yang diutarakan dengan baik.

3. Kuatkan pergantungan kepada Allah dan bersungguh-sungguh memohon kepadaNya untuk memberikan pertolongan. Datanglah kepada Allah dalam keadaan diri yang sememangnya serba tidak tahu dan serba lemah.

Maaf panjang intro di atas .. sekadar sharing especially untuk rakan-rakan yang di luar Malaysia yang mengikuti perkembangan kami di sini ..

Pada pagi ini saya ingin kongsikan suatu yang diajarkan Allah kepada saya pada pagi tadi ... bagaimana cinta sesama manusia memantapkan cinta kepada Allah ...

Saya rasa di dalam kehidupan kita, kita tidak boleh lepas dari menyukai sesama manusia dan perkara ini akan membuatkan kita bingung apabila ianya sedikit sebanyak melalaikan kita dari mengingati Allah ... Fikiran kita yang sepatutnya sentiasa ingat kepada Allah diisi dengan mengingati insan yang kita cintai atau sukai itu ... samada suami/isteri kita, anak-anak kita, rakan baik kita, guru kita atau trainer kita ... Apakah tidak boleh kita menyukai dan mencintai sesama manusia? Persoalan ini sering ditanya kepada saya dan sering juga saya fikirkan tapi sering kebuntuan. Justeru saya sering memadamkan apa juga perasaan suka yang saya ada kepada manusia dan kehidupan saya menjadi tenang apabila hanya ada Allah di hati saya ...

Alhamdulillah pada pagi ini diilhamkan di hati dan jiwa saya bahawa perasaan cinta sesama manusia dapat memantapkan perasaan cinta kepada Allah. Bayangkan seseorang yang kita suka ... mungkin kita sukakan wajahnya yang cantik/ handsome, mungkin kita sukakan kepada kelembutannya, mungkin juga kita sukakan sifat tanggungjawabnya... hanya dengan wajah yang cantik, sudah begitu hebat rasa cinta kita kepadanya ... kehebatan manusia yang kita sukai itu samada wajahnya, kelembutannya, sifatnya hanyalah ibarat setitik kecil debu jika dibandingkan dengan kehebatan Allah. Allah ingin menunjukkan kehebatannya melalui kehebatan yang dialirkan kepada hambaNya ... Wah dengan kehebatan yang setitik debu itupun sudah begitu hebat sukanya kita kepada manusia. Kemudian, saya bandingkan rasa kagum saya terhadap kehebatan manusia yang sebesar setitik debu dengan kehebatan Allah maka saya terus dapat merasakan begitu hebatnya Allah dan bertambahlah kagumnya saya kepada Allah dan bertambah lagilah cinta saya kepadaNya.

Begitulah yang saya rasakan pada pagi ini ... Bertambah hebatnya rasa cinta kepada Allah itu saya rasakan ... Segala perasaan cinta kepada manusia yang teralir dijiwa saya teralir dengan sendirinya kepada Allah dan perasaan cinta kepada manusia itu tidak dapat menandingi langsung perasaan cinta yang hebat kepada Allah itu ... Justeru, kita tidak akan lalai dari mengingati Allah kerana perasaan cinta kepada Allah itu jauh lebih hebat dari perasaan cinta sesama manusia maka secara otomatisnya kita akan lebih sentiasa mengingati Allah berbanding mengingati sesama manusia ...

Ringkasnya, boleh kita mencintai manusia tetapi jangan sampai cinta itu melebihi cinta kepada Allah sehingga kita lalai dari mengingati Allah dan jangan sampai kita melanggari syariat yang telah ditetapkan oleh Islam. Bagi pasangan lelaki dan wanita yang belum berkahwin, saya masih berpendirian bahawa elakkan dari bercinta dan berhubungan kerana belum tentu yang kita cintai itu akan menjadi jodoh kita dan dikhuatiri kita akan mendekati zina dan melalaikan kita dari mengingati Allah.

Penulisan saya kali ini adalah hanya sebagai sharing bagaimana cinta sesama manusia dapat memantapkan lagi perasaan cinta kepada Allah, cinta tertinggi yang suci dan abadi insyaAllah ...

Hanya Allah Yang Maha Mengetahui.

Sabtu, Disember 05, 2009

Allah ajarkan tentang pulang kepadaNya

Assalamualaikum wr. wb.

Saya sebenarnya sangat letih pada hari ini. Pulang dari kerja jam 9:30 malam saya tidak balik ke rumah dan terus ke program usrah. Hampir keletihan ini membuat saya 'gugur syahid' tidak hadir usrah tapi alhamdulillah dengan kekuatan Allah juga saya kuatkan kaki memanjat bangunan tiga tingkat tempat pengajian kami untuk menghadiri usrah ... Sekiranya saya berupaya menghabiskan penulisan ini pada malam ini sememang satu keajaiban saya rasakan ... tapi itulah kehendak Allah yang tidak dapat kita jangkakan .. kekuatan itu dariNya jua ..

InsyaAllah saya ingin kongsikan diajar Allah tentang kembali padaNya ... Kefahaman ini saya dapat ketika saya membuat rutin riadah hujung minggu di KLCC ... Sudah lama saya tidak berkesempatan untuk mengunjungi trek di KLCC dan pada pagi itu saya rasa sangat bersyukur Allah takdirkan saya menikmati keindahan dan kedamaian awal pagi di sana ...

Saya diajarkan bahawa saya sebenarnya tidak berasal dari bumi ini, Allah tinggalkan saya di sini ... atas satu misi dan satu tugas ... Allah hantar saya di sini tapi saya bukan berasal dari bumi ini ... Allah tidak tinggalkan saya di sini dengan begitu saja ... Allah beri saya nikmat bermacam-macam di sepanjang tempoh saya di sini .. Allah sayang dan jaga saya ... ketika itu saya teringat pengalaman saya di akuaria KLCC beberapa hari sebelum itu di mana saya lihat berbagai-bagai jenis ikan yang Allah ciptakan untuk saya di dunia ini. ada yang kecil, ada yang besar, ada yang berwarna warni, ada yang warna putih saja ... Ada bentuk leper, ada yang macam seolah-olah berenangnya terbalik (upside down), saya dapat lihat cantiknya obor-obor, hebatnya transformasi katak dari seperti berudu, keluar tangan dulu, kemudian keluar kaki dan kemudian ekornya tertarik ke dalam barulah rupanya menjadi seperti katak ... Saya merasa sangat bahagia di akuaria itu, dapat merasai kasih sayang Allah, kehebatan dan keindahan Allah. Justeru ketika itu saya teringatkan bermacam-macam Allah buat untuk saya ... Allah betul-betul jaga saya ...

Tidak cukup dengan nikmat-nikmat yang Allah berikan, Allah panggil saya pulang kepadaNya lima kali sehari ... supaya saya sedar tempat asal saya sebenarnya, bukan di bumi ini ... Justeru selepas peristiwa diajarkan Allah di KLCC ini, saya dapat rasakan setiap kali saya solat, saya pulang ke tempat asal saya, saya pulang kepada Allah ... Ia adalah satu latihan untuk satu hari saya benar-benar dipanggil pulang Oleh Allah ... Maka jelaslah kita inilah sebaik-baik cara mengingati hari mati kita ...

Bila kadang-kala saya terlewat solat, saya katakan pada Allah, "Maaf Ya Allah, kali ini saya pulang lewat sikit ..."

Hanya Allah Yang Maha Mengetahui ...