POS TERKINI

Ahad, Oktober 25, 2009

Allah Ajarkan Tentang Keindahan Hidup diurus Allah

Assalamualaikum wr. wb.

Pada hujung minggu lepas saya dan rakan-rakan mengendalikan Kursus Kesempurnaan Ibadah di Pantai Remis, Kuala Selangor. Kursus kali ini lebih mencabar kerana terjadi beberapa perkara yang tidak diduga. Saya dan rakan-rakan sangat keletihan menguruskannya. Alhamdulillah pada jam lebih kurang 6 petang pada hari Ahad, kami bertolak balik ke Kuala Lumpur.

Saya sememangnya mengambil cuti pada hari Isnin untuk memberi kerehatan pada badan agar saya dapat menyempurnakan tugasan di pejabat dengan baik. Kemudian saya merasa pelik kenapa pada hari Isnin tersebut, saya tidak begitu displin dengan masa makan saya. Saya sebenarnya sangat displin dengan waktu makan kerana masalah gastrik yang sering berlaku. Saya akhirnya makan tengahari pada jam hampir 4 petang.

Keesokkan harinya saya pitam dan muntah-muntah. Badan terasa sangat lemah dan suami saya membawa saya ke klinik. Saya diberi cuti sehari oleh doktor dan saya terus balik dan tidur setelah saya makan pagi dan memakan beberapa ubat yang diberi doktor.

Keesokkan harinya saya merasa sihat sediakala dan badan saya dapat rehat sepenuhnya kerana saya tidur agak lama pada siang hari semalam. Justeru itu saya dapat merasa bahawa Allah memberikan saya dua hari cuti (Isnin dan Selasa) bagi menggantikan cuti Sabtu dan Ahad yang telah saya gunakan untuk mengendalikan Kursus. Ketika itu saya merasakan sangat indah hidup bila diurus Allah.

Kemudian saya teringat VCD Pak Aa Gym tentang kehidupan diurus Allah yang saya dan rakan saya dengar ketika kami dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Pantai Remis dan diulangi lagi dalam perjalanan pulang ..

Pak Aa menceritakan bahawa dari kita belum lahir, Allah yang menguruskan kehidupan kita; Allah yang menguruskan pertemuan sperma dan telur ayah dan ibu hingga terbentuknya diri kita dengan cukup teratur dan sempurna. Semuanya diurus Allah.

Nah sekarang kita sudah berada di dunia ini, dan kita tidak mungkin dapat menguruskan kehidupan kita ... Mana mungkin kata Pak Aa, banyak yang tidak kita ketahui, rezeki kita, jodoh kita, apa yang akan terjadi esok, semuanya tidak kita ketahui. Kenapa kita peningkan kepala memikirkan apa yang tidak diketahui, baik kita dekati yang Maha Mengetahui itu ...Contohnya kata pak Aa, capek bercinta dengan yang bukan jodohnya ... jiwa kita terseksa menyintainya tapi ternyata itu bukan jodoh kita ... Lebih baik kita berdoa kepada Allah, ya Allah jangan kau tanam cinta dihatiku kepada yang bukan jodohku ... kan mudah hidup jadinya :)

Dipendekkan cerita, kata Pak Aa, seseorang yang tunduk kepada kalimah Syahadah, semakin ia tunduk kepada Allah, semakin diurus Allah kehidupannya. Allah yang akan mengilhamkan perkara-perkara yang patut dilakukan dan Allahlah yang akan sentiasa membimbingnya. Dirinya hanya berikhtiar sebaik mungkin tetapi yakin bahawa apa yang diperolehinya adalah dari Allah dan bukan kerana ikhtiarnya. Contohnya seperti kita menyeberangi sungai dan perlu melalui jambatan gantung. Kita berpaut kepada tali di jambatan gantung itu sebagai ikhtiar kita tetapi yang menyelamatkan kita dari tidak jatuh itu, adalah Allah dan bukan ikhtiar kita berpaut kepada tali tersebut.

Enak hidup diurus Allah kata Pak Aa ... Tenang dan bahagia. Kalaupun terjadi bencana, kita yakin bahawa ia disusun Allah cukup sempurna dan kita redha atas apa yang diuruskannya. Seperti sms yang saya dapat dari sahabat saya, "Lebih indah hidup bila kita redha dan pasrah dengan apa yang diuruskan Allah" tepat sekali ...

Berbeza dengan mereka yang engkar dan enggan tunduk kepada Allah. Sekiranya kita engkar dan tidak mahu tunduk kepada Allah, silakan kata pak Aa, silakan seperti masuk dalam hutan belantara, tidak ada yang memberi petunjuk, kita akan sesat ...

Pak Aa juga share suatu perkara yang saya rasa sangat penting. Kata Pak Aa, ada terdapat di kalangan manusia yang beriman yang akan memohon petunjuk dari Allah dahulu sebelum membuat suatu perkara atau sebelum memberikan pandangan dan mereka memohon petunjuk dengan melakukan solat kerana solat itu sebaik-baik ibadah untuk memohon petunjuk dari Allah. Justeru saya teringat bahawa kita hanya melakukan solat istikharah hanya ketika kita kebuntuan untuk menetapkan sesuatu padahal setiap hari kita akan berhadapan dengan berbagai persimpangan yang perlu kita fikirkan simpang mana yang perlu kita masuki. Padahal di dalam solat, di dalam Al-Qur'an terdapat ayat yang bermaksud "Kaulah Yang Kami Sembah dan padaMulah kami memohon pertolongan, tunjukilah kami jalanMu yang lurus ..." Sejauh mana kita hayati ayat ini dalam kita memohon diuruskan Allah dalam setiap bicara kita setiap hari, di dalam setiap tindak tanduk kita setiap hari ...

Akhir sekali yang menyentuh perasaan saya mendengarkan VCD pak Aa ini adalah kita selalu bersungguh-sungguh membuat strategi dan perancangan di dalam melaksanakan sesuatu tetapi kita tidak bersungguh-sungguh memohon pertolongan Allah untuk menguruskan apa yang kita rencanakan dan laksanakan.

Pastinya sangat indah hidup diurus Allah ... sesungguhnya Islam itu penuh keindahan dan kita menyaksikannya apabila ditunjukkan Allah keindahan demi keindahan ini ke dalam jiwa kita ... Sesungguhnya Allah itu Maha Indah ...

Hanya Allah Yang Maha Mengetahui

Isnin, Oktober 05, 2009

Allah ajarkan Bahawa Dialah Yang Maha Sibuk Menguruskan Urusan MakhlukNya

Assalamualaikum wr. wb.

Malam ini saya ingin berkongsi pengalaman diajarkan Allah bahawa sesungguhnya Dialah Yang Maha Sibuk Menguruskan Uruan MakhlukNya ...

Semalam saya mengendalikan Kursus Kesempurnaan Ibadah untuk anak-anak pelajar sekolah tahun enam bertempat di Kuala Selangor. Kursus selama 2 hari itu agak last minute persiapannya kerana beberapa perkara. Justeru pada cuti hari raya baru-baru ini kami menghubungi para pelajar dan sasarannya adalah seramai 50 orang pelajar. Saya agak khuatir berlaku berbagai kekurangan samada dari segi persiapan mahupun perlaksanaan kerana pegawai latihan kami agak sibuk kerana terpaksa menggantikan staf yang terpaksa bercuti kerana anaknya dimasukkan ke ICU manakala anak saya yang membantu saya juga perlu balik ke universitinya dan tidak dapat membantu saya membuat persiapan kerana ada program penting di universitinya di Pahang. Kebetulan pula ramai juga anak-anak fasi yang sedang membuat persiapan menghadapi ujian peperiksaan di universiti mereka masing-masing dan cabaran saya bertambah kerana pada saat terakhir pembantu saya yang sentiasa membantu saya membuat persiapan terutamanya dalam menyediakan hadiah cenderahati terpaksa balik ke Johor kerana ada urusan keluarga dan tidak dapat membantu saya di Kuala Selangor.

Namun saya berkeyakinan bahawa manusia itu hanya mampu merancang dan saya yakin bahawa segala yang berlaku ini juga di bawah perancangan Allah. Justeru saya yakin bahawa Allahlah pada hakikatnya yang menguruskan segalaNya. Maka dengan seluruh keyakinan saya serahkan segala urusan perjalanan kursus ini kepada Allah selepas saya berusaha sebaik mungkin dengan keterbatasan sumber yang ada. Itulah doa yang sering saya panjatkan kepada Allah.

Walaupun dengan hanya 3 orang fasi lelaki dan 2 orang fasi wanita dan dibantu dengan anak saya yang berusia 13 tahun, program Kursus Kesempurnaan Ibadah ini yang dihadiri seramai 49 orang peserta telah berjalan dengan cukup teratur, sama dengan program-program yang kami jalankan sebelum ini yang dilaksanakan melalui perancangan dan persiapan yang rapi. Terdapat suatu perkara yang agak menarik telah berlaku dan ingin saya kongsikan di sini.

Saya tidak sempat untuk menyediakan hadiah-hadiah saguhati sekiranya pelajar dapat menjawab soalan. Kemudian Allah mengilhamkan ke dalam hati saya agar membuat pertandingan mengikut kumpulan. Maka kami pun membuat 5 kumpulan, 3 kumpulan lelaki dan 2 kumpulan perempuan. Sepanjang program pelajar-pelajar yang dapat menjawab dengan baik, yang suka memberi respon, yang dapat membaca ayat-ayat di dalam solat dengan betul dan dapat menghafal makna bacaan solat akan mendapat point dan dimasukkan ke dalam markah kumpulan. Saya berjanji kumpulan yang menang akan mendapat hadiah. Alhamdulillah permainan ini telah dapat membantu peserta untuk sentiasa bersemangat untuk mengikuti kursus ... masalahnya saya belum membeli hadiahnya. Pada masa itu saya membayangkan untuk membeli hamper tapi saya tak pasti samada kedai-kedai di Kuala Selangor ada menjual hamper ...

Masa yang saya boleh keluar untuk membeli hadiah pertandingan itu adalah pada hari kedua kursus dari jam 12:00 tengahari dan 1:00 tengahari kerana pada ketika itu adalah sesi hafalan dengan fasi. Justeru saya pun keluar ke pekan yang berdekatan. Tidak ada kedai yang menjual hamper. Saya melihat kiri dan kanan jalan dan akhirnya saya ternampak sebuah kedai menjual barang-barang cenderahati. Saya pun pergi ke kedai tersebut dan membuat keputusan agar semua pelajar akan mendapat satu hadiah cenderahati dari kedai tersebut, maknanya kumpulan yang johan pun akan dapat hadiah dan kumpulan yang last pun akan dapat hadiah. Masalahnya saya tidak tahu kumpulan mana yang sedang mendapat nombor 1, 2, 3, 4 dan 5 kerana pertandingan masih berjalan ketika itu dan setiap kumpulan jumlah pelajarnya tidak sama. Yang saya dapat ingat ketika itu adalah jumlah kumpulan paling ramai adalah satu kumpulan pelajar perempuan seramai 13, diikuti oleh kumpulan seramai 12 orang perempuan dan tiga kumpulan lelaki mempunyai bilangan pelajar seramai 7 atau 8 orang kerana saya tidak berapa ingat ketika itu jumlah pelajar lelaki dalam satu kumpulan. Masalahnya bila ingin membeli hadiah tempat pertama, berapa jumlah yang saya perlu beli? 13? 12? 8 atau 7? Kemudian diikuti hadiah kedua? berapa jumlahnya 13? 12? 8? 7? Kalau saya membeli 13 hadiah bagi setiap tempat maka akan berlaku pembaziran, kalau saya membeli hanya 8 hadiah untuk tempat pertama, bagaimana jika kumpulan 13 orang yang memenangi tempat pertama?

Kemudian saya terus mengambil cenderahati-cenderahati yang ada mengikut beberapa perkiraan dan rasa hati. Saya membeli 13 hadiah untuk tempat pertama, 13 hadiah untuk tempat kedua, 8 hadiah untuk tempat ketiga, 8 hadiah untuk tempat keempat dan 13 hadiah untuk tempat keempat. Salesgirl di kedai tersebut membantu saya untuk membalut hadiah-hadiah tersebut.

Lebih kurang jam 1:30 tengahari saya tiba di tempat kursus. Majlis Penutup dan penyampaian hadiah akan diadakan pada jam 4:30 petang. Selepas makan tengahari dan solat saya meneruskan pengendalian kursus di dalam modul kesempurnaan solat. Pada jam 3:30 petang, pelajar keluar dewan untuk minum petang dan ketika itulah saya mengeluarkan semua hadiah yang dibeli dan kami menyusunnya di dalam dewan bagi acara penutup.

Keputusan kuiz, tempat pertama kumpulan pelajar lelaki 8 orang, tempat kedua kumpulan pelajar perempuan 12 orang, tempat ketiga kumpulan pelajar lelaki 8 orang dan tempat ke empat dikongsi oleh kumpulan pelajar lelaki 8 orang dan kumpulan pelajar perempuan 13 orang.

Selesai sahaja penyampaian hadiah, ada lebihan 5 cenderahati tempat pertama dan 1 cenderahati tempat kedua. Justeru saya menghadiahkan cenderahati tersebut kepada 5 orang fasi yang ikut serta dan 1 hadiah tempat kedua itu diminta oleh anak saya yang berumur 13 tahun yang bertanggungjawab membuat tayangan multimedia di sepanjang kursus dan hampir jam 4 pagi beliau menyiapkan video klip tersebut. Cukup sempurna! Semuanya dapat hadiah dan tidak ada satupun lebihan. Semuanya telah disusun Allah dengan sempurna ... Terkedu juga saya dibuatnya ...

Walaupun sebelum ini saya yakin bahawa Allah akan menguruskan dan membantu urusan kita namun peristiwa ini telah seolah-olah ditunjukkan secara live kepada saya oleh Allah bahawa Akulah Yang SesungguhNya Maha Sibuk Menguruskan urusan MakhlukKu. Apa yang berlaku sebelum ini apabila berlaku peristiwa seperti ini kita sering mengatakan 'secara kebetulan' cukup semua ... Pandangan kita hanya setakat 'cukup semua' 'secara kebetulan', pandangan kita tidak nampak bahawa Allahlah yang mencukupkannya ... pandangan kita terhijab (ter'cover') setakat ciptaan Allah dan tidak nampak kewujudan Allah ... Ya nampak kewujudan Allah melalui pandangan mata hati ...

Samalah seperti apabila air hujan turun, pandangan mata hati kita hanya terhenti kepada air hujan yang turun .. dan tidak nampak itulah Allah yang menurunkan hujan, itulah Allah yang sesungguhnya memberi kita minum selama ini .... Adakah terdetik dihati kita mengingati Allahlah Yang Maha Pemberi Rezeki dan Pemberi makan dan minum apabila melihat hujan turun. Pandangan kita hanya terhenti setakat ciptaan Allah, iaitu hujan dan tidak nampak Allahlah Yang memberi kita makan dan minum dengan air hujan itu. Namun bagi seseorang yang sentiasa sentiasa sedar (zikir) dan dapat merasa bahawa Allahlah segala-galanya yang ada di sekelilingnya, baik ketika ia makan, baik ketika ia melihat bangunan tinggi, baik ketika dia melihat kereta-kereta yang berjalan, baik ketika dia melihat anak kecil maka seluruh hidupnya dipenuhi dengan rasa kesedaran yang tinggi bahawa Allah itu wujud dan yang lain iaitu ciptaan Allah adalah suatu yang fana' (yang akan hilang suatu hari nanti). Maka barulah selari kesedarannya dengan kalimah Lailahaillallah ... namun bagi kita yang tidak mempunyai kesedaran ini, maka hidup kita dipenuhi dengan Yang Selain Allah ... Itulah yang sering terhambat dihati kita dan terlihat di pandangan mata kita yang sering menipu ... samada anak-anak, harta, jawatan, pangkat, rumah besar, kereta besar sehingga Allah seolah-olah tidak wujud. Hasilnya, Allah Yang Wujud itu fana' di hati orang-orang yang lalai dan yang selain Allah itu pula yang wujud ... Ampunkan kami Ya Allah ...

Hanya Allah Yang Maha Mengetahui