ALLAH AJARKAN UNTUK TERUS MENYIMPUL

BELAJARLAH MENYIMPUL

Assalamualaikum Warahmatullahi wabarakatuh. Dengan NamaMu Ya ALLAH Yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani. Izinkan saya untuk berkongsi pengajaran yang saya dapat malam tadi ketika saya bersama beberapa orang sahabat berusrah.



Teringat semasa usrah satu waktu dulu antara bab pertama adalah tentang aqidah. Kerana terlalu kerapnya saya membawa usrah maka tajuk Aqidah Muslim ini menjadi satu tajuk yang saya seolah2 pakar membicarakan. Saya masih ingat lagi butiran2 yang saya akan saya keluarkan bila membicarakan bab Aqidah Muslim. Semuanya itu saya hafal dari naqib atau naqibah2 saya sebelumnya.

Aqidah itu berasal dari perkataan aqad bererti simpulan. Ia sebuah hubungan yang bersifat maknawi iaitu kejiwaan. Seperti hubungan antara seorang ibu dgn anaknya. Orang boleh ambil anak dari seorang ibu tapi mereka tak kan mampu mengambil hubungan kejiwaan ini kerana simpulannya terlalu kuat.

Teringat kata guru saya, cuba kita dokong anak kita yang masih bayi dan lihat wajahnya. Kita dapat merasakan dalamnya kasih sayang kita kepada anak kita. Hingga mampu tembus anak kita itu. Kemudian kata guru saya, letak anak kita dan ambil anak orang lain. Apakah kita rasa sama? Pasti tak sama. Sebab tidak ada ikatan atau simpulan itu tadi. Hubungan kejiwaan itu tak ada.

Kerana hubungan kejiwaan dengan anak kita itu terlalu kuat kita sanggup berkorban apa saja untuk anak kita. Kalau ditakdirkan dia terperangkap dalam kebakaran, tidak mustahil kita masuk dan berusaha menyelamatkannya walau nyawa menjadi taruhan.

Bagaimana kalau itu anak orang lain? Sanggupkah kita mengorbankan nyawa? Sanggupkah kita mengorbankan wang ringgit? Pasti belum kerana simpulan hubungan kejiwaan kita tidak kuat dgn anak orang lain berbanding anak kita.

Sekarang bagaimana pula dengan simpulan hubungan jiwa kita dengan Allah? Adakah setahap anak kita?

Hanya kita yang mampu menjawabnya.

Beriman dan berislam adalah sebuah keadaan. Bukan setakat ilmu di akal dan fikiran serta dalam perbahasan. Justeru bila membicarakan bab Aqidah dalam usrah2 saya yang lampau, wah kelihatan hebatnya saya membicarakannya walau saya tidak memasuki keadaan simpulan kejiwaan yang erat dengan Allah. Itu semua tak terfikir oleh saya. Saya bahagia mampu memahamkan diri saya dan anak usrah saya apa itu ertinya Aqidah Muslim. Tapi saya sendiri tidak mengamati sejauh mana keadaan simpulan kejiwaan saya dengan Allah. Malah tak terfikirkan pun kerana saya sudah bahagia faham apa erti sebenarnya Islam dan Iman itu menurut perbahasan dalam buku2.

Alhamdulillah kini saya mengerti bahawa Islam dan Iman itu adalah sebuah keadaan dan pengalaman yang dilalui sehingga mampu melahirkan kesaksian yang asli kerana kita melaluinya.

Seperti berenang hanya tinggal ilmu sampai kita BERenang. Iman itu juga akan hanya tinggal ilmu sehingga kita mampu masuk ke dalamnya dan ketika itu baru boleh dikatakan BERiman.

Kembali kepada Aqidah Muslim tadi dan perkataan aqad yang bererti simpulan. Sejauh manakah simpulan hubungan kejiwaan kita dengan Allah?

Adakah sekuat simpulan hubungan kita dan anak kita sehingga kita sanggup berkorban wang ringgit dan nyawa?

Kalau belum maka sekarang kita haruslah bersungguh2 untuk menyimpulkan ikatan hubungan dengan Allah. Terus menyimpul sehingga tidak akan putus. Terus menyimpul sehingga ia lebih kuat dari hubungan kita dengan anak2 atau sesiapa atau apa saja di dunia ini. Barulah kita dikatakan mempunyai Aqidah Muslim.

Bagaimana menyimpul? Dengan solat dan zikrullah yang tidak putus. Solat dan zikrullah yang bagaimana? Solat yang khusyuk kepada Allah dan zikrullah yang sedar jiwanya sedang memujiNya. Menyimpul dengan mengingati Allah dalam solat dan diluar solat.

Apabila kita tidak mengingati Allah, simpulan akan terurai kerana Allah mengirimkan syaitan di dalam jiwa kita dan ketika itu kita tersimpul dengan syaitan yang menjadi teman di jiwa (Surah Al Zukhruf: 36)

Kesimpulannya bagi yang tak berzikir dan lalai, ia tersimpul dengan syaitan dan bila simpulan itu erat maka keluarkan sifat2 syaitan dalam diri seperti kedekut, tamak, kuat nafsu makan, mengumpat, membazir wang dan masa, bersangka buruk dan sebagainya.

Bagi yang tersimpul erat dengan Allah, maka cahaya Allahlah yang menempati jiwanya dan akan keluarlah sifat2 suci seperti pemurah, mengasihani, bercakap benar, tidak mengaibkan orang lain, jiwa yang lembut bersangka baik selalu dan sebagainya.

Inilah Aqidah Muslim yang saya faham hari ini. Sangat berbeza dengan kefahaman satu waktu dulu yang lampau. 

Bagaimana Aqidah kita hari ini? Atau bagus kita mulakan untuk bertanya bagaimana simpulan hubungan kejiwaan kita dgn Allah hari ini? Sejauh mana kita mencintaiNya berbanding cinta kepada anak kita? 

Firman Allah :

“Katakanlah, “Jika bapak-bapak, anak-anak, saudara-saudara, isteri-isteri, kaum keluargamu, harta kekayaan yang kamu usahakan, perniagaan yang kamu khuatirkan kerugiannya, dan rumah-rumah tempat tinggal yang kamu sukai, lebih kamu cintai daripada Allah dan Rasul-Nya dan (dari) berjihad di jalan-Nya, maka tunggulah sampai Allah mendatangkan keputusan-Nya.” Dan Allah tidak memberi petunjuk kepada orang-orang fasik.”(Surah at-Taubah: 24).

Marikan kita terus menyimpul. Agar kita benar2 memiliki Aqidah Muslim bukan sekadar memahaminya.

Ulasan