Isnin, Mac 04, 2013

Allah Ajarkan Aku Seperti Alam

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh,

Dengan NamaMu Ya Allah, Yang Memutarkan Alam mengikut kehendakMu. Alhamdulilah, saya bersyukur diajar Allah tentang menjadi seperti alam dan saya ingin merekodkan kefahaman ini agar saya tidak lupa insyaALLAH dan semoga ianya juga boleh dimanfaatkan sahabat-sahabat semua.

Ketika saya mengadakan halaqah semalam, sahabat saya menceritakan lebih kurang yang saya faham, sedarlah, setiap gerakan kita lahir dari fikiran kita. Fikiran kita juga digerakkan Allah.  Apa yang kita fikir, apa yang terlintas itu juga digerakkan Allah.  Terbayanglah saya, wah begitu cepat kita berfikir, begitu cepat  signal2 dihantar ke otak, dan terus dengan cepat otak menghantar pula signal ke saraf-saraf di anggota badan seperti kaki, tangan atau mulut yang dengan cepatnya mewujudkan perbuatan seperti berjalan, berlari, makan atau sebagainya.

Begitu cepat semua ini berlaku. Saya membayangkan untuk fikiran digerakkan mungkin memakan masa yang sangat cepat 1 per sejuta saat. Kemudian, otak menghantar signal melalui saraf ke bahagian-bahagian tertentu samada kaki untuk berjalan, mata untuk melihat, tangan untuk mengambil air. Setelah itu, secepat kilat berlaku refleksi saraf membentuk perbuatan. Kalau begitulah cepatnya, maka Allah lebih cepat lagi mengatur, menggerakan semuanya sehingga tergabung dalam satu keharmonian yang membolehkan kita mengatur aktiviti setiap hari dengan sempurna. Kesimpulannya, ALLAH menggerakkan setiap perbuatan saya dan setiap gerakan ALLAH itu berharmoni.

Cara saya melihat diri saya di atas (apa yang berlaku dalam otak saya - saraf saya - perbuatan saya)  adalah pandangan mikro. Sekarang saya mahu melihat diri saya secara makro yang mana saya merupakan sebahagian dari alam semesta ini. Saya berada di atas planet bumi dan bumi berada dalam galaksi bimasakti. Bumi saya berputar, galaksi saya berputar, seluruh planet-planet lain juga berputar. Maka saya pada hakikatnya berputar bersama bumi tempat saya berpijak namun saya tidak merasa putaran itu.



Saya naik ke atas lagi dan ingin melihat diri saya dalam perspektif yang lebih makro. Kini saya mampu melihat kesemuanya alam semesta di mana galaksi bimasakti di atas sudah tidak kelihatan dalam pandangan makro level ini: 



Inilah pandangan makro diri saya, berada dalam satu gerakan berputar bersama seluruh planet, galaksi dan apa saja yang ada di dalamnya. Dengan kecanggihan satelite dan teknologi hari ini, seluruh alam semesta dapat dilihat  digerakkan dalam satu gerakan putaran yang sama, satu keharmonian. Keharmonian gerakan otak-saraf-perbuatan pada level pandangan mikro tadi sama dengan keharmonian gerak alam semesta. Hanya ada SATU DAYA yang MENGGERAKKAN. Satu Daya itu adalah ALLAH. Justeru diri saya pada pandangan mikro dan diri saya pada pandangan makro adalah sama, adanya gerak dari satu kehendak, iaitu kehendak ALLAH.

Justeru ketika saya melakukan aktiviti seharian di rumah atau dipejabat, alhamdulillah saya sedar kini bahawa saya berada dalam satu gerak alam, lalu saya benar-benar membawa kesedaran saya untuk masuk ke dalam gerak itu. Saya masuk menjadi sebahagian alam yang digerakkan kerana itu lah saya pada hakikatnya pada pandangan makro ini (yang susah disedari pada pandangan mikro). Jusuteru, saya harus membawa kesedaran saya lebih tinggi kepada kesedaran makro. Maka saya masuk menjadi alam kerana sememangnya saya sebahagian dari alam, dan Rasul saya, Nabi Muhammad saw adalah rahmatan lil 'alamin - rahmat bagi sekelian alam (termasuk saya).

Apa kesannya bila saya masuk menjadi alam? Barulah saya sedar bahawa segalanya yang ada adalah gerakNya yang mengikut kehendakNya. Di mana saya, di mana kehendak saya? Sudah tidak kelihatan dalam pandangan makro ini, dalam pandangan putaran alam semesta ini. Yang ada hanya tunduk dan patuh, tunduk dan patuh, tunduk dan patuh. Satu ketundukan, satu kepatuhan, satu kehendak. Ya ALLAH, baru saya tersentak. Saya tidak ada apa-apa, saya hanya hamba yang tunduk kepada kehendakNya. Saya seperti alam yang digenggam dengan kehendakNya, diputar mengikut mahuNya. Hancurlah seluruh keegoan yang ada, sirnalah seluruh 'keakuan' kerana tidak ada lagi aku yang melakukan itu dan melakukan ini, aku yang berbangga memiliki itu dan ini. Yang ada hanya DIA dan kehendakNya. 

Saya mengajak sahabat semua untuk meningkatkan kesedaran dan masuk menjadi sebahagian alam yang merupakan diri kita yang sebenar. Kita bersama alam dalam satu gerakan, satu kehendak. Duduklah di situ dalam orbitNya, dalam kepatuhan kepadaNya, dalam kesedaran kepadaNya setiap waktu dan saat. Dengan ilham taqwa yang digerakkan dalam jiwa kita bila kita sentiasa sedar kepadaNya, kita digerakkan kearah ketaqwaan dan kepatuhan. Maka jadilah kita seperti alam yang patuh.  Sekiranya kita tidak masuk ke dalam orbitNya, tidak menyedariNya, lalai kepadaNya, maka ilham fasik yang didorongkan dalam jiwa kita membawa kita ke arah kefasikan. Kita terkeluar dari orbitNya, justeru kita sebenarnya mati, jiwa kita mati, yang ada hanya sekeping jasad yang disebut ALLAH dalam Al-Qur'an sebagai "maytan" - mayat yang hidup.

Jadilah diri kita yang sebenar, yang bersama alam, yang akan dipanggil oleh ALLAH "Irji'ii ..", kembalilah. Kenapa kita tidak mahu menjadi alam? Pesan guru saya, jadilah alam sekarang sebelum kau dipaksa menjadi alam ketika mati. 

Bila jasad bersemadi bersatu dengan tanah (menjadi alam). Dirimu hanya tinggal nama yang terukir di batu nisan.

Kesimpulannya yang saya faham dalam pengajaran ini adalah:-

1. Kita sering merasa bangga dengan apa yang kita ada, merasa kitalah yang memikirkan idea yang kreatif, merasa kitalah yang melaksanakan projek-projek dengan kesungguhan kita. Ini adalah kerana kita berada dalam kesedaran mikro ditambah dengan minda, persepsi yang menipu.

2. Untuk saya merasa bahawa saya berada dalam kekuasaan ALLAH, setiap hari ketika melakukan aktiviti harian saya, saya harus membawa kesedaran saya ke tahap yang lebih tinggi, tahap makro, tahap alam semesta yang berputar atas satu gerak dan satu daya iaitu daya ALLAH. 

3. Pada kesedaran makro ini, hilanglah keegoan dan keakuan. Mengakulah saya dihadapan ALLAH bahawa saya tidak berdaya dan hanya ALLAH Tuhan semesta alam yang berkuasa dan menguruskan segalanya. Barulah syahadah menjadi syahadah yang benar bukan sekadar di bibir saja.

4. Jadi saya hanya tinggal bersandar pada kehendak ALLAH dan saya hidup dibantu sepenuhnya kekuasaanNya.

Dengan kefahaman ini, saya hanya mampu mengucapkan ALLAHU AKBAR! Saya tidak punya apa-apa.



Wallahuaklam