Sabtu, Januari 26, 2013

Allah Ajarkan Risalah Rasulullah SAW

Assalamualaikum sahabat-sahabat yang dikasihi kerana ALLAH,

Dengan namaMu ya Allah Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyanyang.

Beberapa hari ini kita menerima banyak posting melalui facebook, sms, twitter, whatsapp, bbm chat dan sebagainya berkenaan memperingati Rasulullah saw sempena Maulidur Rasul. Alhamdulillah saya mendapat pengajaran berkenaannya juga sehari dua yang lepas.

Pada hari Rabu malam Khamis sebelum sambutan Maulidur Rasul, saya mendengar pengajaran dari guru saya secara live dari Indonesia. Guru saya menceritakan tentang perjuangan mengajak manusia untuk khusyuk dalam Solat. Kata Ustaz, kita mengajak manusia untuk khusyuk kepada ALLAH agar mereka mampu merasa ALLAH itu wujud, mereka mampu merasa ALLAH itu ada. Allah itu ada setiap waktu dan tidak memerlukan waktu untuk tetap ingat kepadaNya. Bagaimana sibukpun seseorang itu dia tetap mampu untuk ingat ke ALLAH pada saat dia sedang sibuk.

Saya menceritakan pengajaran malam itu dari ustaz saya kepada Ustaz Hamid yang sedang mengajarkan saya Kitab Al Khusyuk Fil Solah, sebuah kitab Bahasa Arab tulisan Dr Syed Bin Ali. Kami berbincang kefahaman tentang pelajaran 'no mind', bersandar secara total kepada ALLAH, bergantung penuh kepada ALLAH. Kami juga berbincang tentang pengalaman yang dialami berkenaan bergantung penuh kepada ALLAH. Ustaz menceritakan pengalamannya mampu melepaskan diri dari hutang beratus ribu ringgit dalam waktu yang sangat singkat setelah mempraktikkan pergantungan total kepada ALLAH. Saya juga berkongsi beberapa pengalaman yang saya lalui. Ustaz mengatakan pengalaman-pengalaman itulah yang menambahkan lagi keimanan kita bahawa ALLAH itu ada dan DIA Dekat. Kewujudan ALLAH tidak akan mampu dirasa hanya secara teorinya, ianya wajib dilalui dengan pengalaman barulah kita benar-benar akan bersyahadah dan mempersaksikan kepada ALLAH dengan hati dan jiwa kita bahawa benar ya ALLAH, Engkau ada dan Tidak ada Tuhan selain Engkau yang menguruskan kami, menghidupkan kami.

Saya berkata kepada Ustaz Hamid, Ya Ustaz, inilah yang ingin dibawa oleh Rasulullah saw, inilah risalah Tauhid yang diperjuangkan Rasulullah saw. Merasa ALLAH itu wujud, bergantung total kepada ALLAH, bersandar kepada kehendakNya secara lahiriah dan batiniah. Risalah Tauhid itu bukan sekadar mempelajari secara teori Allah itu ada, lawannya tiada, sifat-sifat yang wajib bagi ALLAH, sifat-sifat yang mustahil bagi ALLAH. Ustaz mengatakan, ajaran Tauhid yang kita belajar dari kitab-kitab adalah bagi meletakkan sebuah asas kefahaman agar kita tidak sesat, meletakkan kita atas syariat (peraturan) yang ditetapkan ALLAH. Namun Ketauhidan kepada ALLAH adalah sebuah pengalaman yang mesti ditempuhi dalam kehidupan barulah keimanan ini menjadi sebuah tanaman yang subur di dalam jiwa yang apabila disemai akan membawa kita mengenal ALLAH yang rasanya sungguh indah seperti yang diceritakan dalam sebuah lagu Lir Ilir oleh salah seorang Wali Songo 800 tahun yang lalu - rasanya seperti Pengantin Baru.

Sehari selepas itu, saya memahami inilah yang ingin dibawa Rasulullah saw. Inilah Risalah Tauhid yang dibawa  oleh Rasulullah saw dan semua nabi-nabi a.s sebelum baginda. Mengajak manusia dan umat baginda saw mengenal ALLAH, merasa dekat denganNya, merasa dia ADA (Ihsan), hidup berTuhan kepadaNya dengan bergantung penuh denganNya tanpa ada rasa kebimbangan dan keresahan.

Dari kefahaman ini, ALLAH menyedarkan saya hari itu, Inilah tugas kau di dunia ini. Membangunkan Risalah Tauhid ini dalam diri, keluarga dan masyarakat saya. Saya tersedar dan tersentap. Saya melihat ke arah mana saya halakan kapal kehidupan saya? Saya belum total menghalakan diri dan kehidupan saya kepada tujuan hidup saya untuk menyambung perjuangan Rasulullah saw. Saya MESTI fokus kepada tujuan ini dan tidak ada tujuan lain. Tujuan-tujuan yang lain itulah yang menyebabkan kapal saya ada kalanya tidak menghala lurus kepada destinasinya


(Membetulkan kembali steering wheel kapal kehidupan yang sedang saya pandu ini)

Saya benar-benar bahagia mendapat kefahaman ini. Ia memberi saya peluang menilai kembali niat saya terhadap semua aktiviti yang sedang saya jalankan sekarang termasuk aktiviti saya dalam projek-projek saya, aktiviti saya melayani dan meyayangi suami saya, aktiviti saya menyempurnakan keperluan ibubapa dan anak-anak saya, aktiviti saya menguruskan kewangan saya. Saya hanya mampu memohon keampunan setiap hari kepada ALLAH di atas kelalaian dan kealpaan saya namun saya tetap bersyukur diajarkan olehNya dalam saya mengharungi samudera kehidupan yang menipu dan melalaikan.

Ya Allah, selawat dan salam buat junjungan besar pimpinan saya yang agung Rasulullah saw yang menyampaikan risalah Tauhid ini kepada saya walau saya tak pernah bersua dengannya. Terima kasih Ya Rasulullah saw, cahaya ketauhidan yang kau sampaikan menerangi relung jiwa ini dan aku bersaksikan bahawa benarlah engkau rahmat bagi sekelian Alam.

Wallahuaklam

Salam Maulidur Rasul
Ummu Ayman
1:00 pagi 26/1/2013 KL

Bergambar bersama isteri Ustaz Hamid yang datang ke Malaysia bersamanya.
Di tengah isteri ustaz dan disebelah kanan sekali rakan sekelas saya, Syikin.

Tiada ulasan: