Khamis, Disember 27, 2012

Allah Ajarkan Tentang SYIRIK

Assalamualaikum wrb.

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani. Bertemu sahabat-sahabat yang sentiasa dikasihi dan dirahmati Allah. Apa khabar semua? Bagaimana jiwamu hari ini? Saat ini? Ada rasa sambung dengan Allah? Kalau ada rasa sambung, pasti jiwamu tenang dan ketenangan itu dapat kau rasakan dengan jelasnya. Atau adakah ada sedikit rasa resah? Justeru diam sebentar dan sambungkankah jiwamua ke Allah.

Saya ingin menyambung penulisan saya yang tertangguh sebaik saja saya pulang dari spiritual trip ke Bali-Banyuwangi pada bulan Julai 2012 yang lalu. Banyak pengajaran yang saya dapat dalam perjalanan ini.


(Saya sempat bergambar di Bedugul, Bali - dalam perjalanan dari Bali ke Banyuwangi. Sangat indah SubhanAllah)

Perjalanan dari Bali ke Banyuwangi sangatlah jauh. Namun permandangannya indah. Sepanjang perjalanan yang sangat menakjubkan saya adalah setiap rumah akan ada tempat penyembahan. Hampir separuh kawasan tanah kediaman mereka diperuntukkan untuk tempat penyembahan. Ada lebih kurang lima binaan penyembahan yang dibina dengan binaan tempat penyembahan yang paling besar di letakkan di bahagian tengah. Mereka meletakkan buah-buahan dan makanan di tempat penyembahan.

Kemudian Pak Ustaz mula memberikan pengajaran di dalam bas tentang MENSYIRIKKAN ALLAH.


Pak Ustaz Abu Sangkan menceritakan bahawa agama Hindu (yang dianuti oleh sebilangan besar orang Melayu Jawa di Bali) adalah agama yang tertua dan masih menggunakan syariat di zaman nabi Adam a.s. Amalan mereka meletakkan 'korban' di tempat penyembahan adalah dari kisah anak2 Nabi Adam a.s (Habil dan Qabil) yang diminta menyerahkan korban kepada Allah di mana Habil memilih kambingnya yang terbaik sebagai korban dan Qabil memilih tanamannya yang rosak. Kedua korban itu diletakkan di atas bukit. Maka apabila kaum Hindu di Bali meletakkan makanannya di tempat penyembahan ianya masih mengikuti amalan meletakkan korban ini untuk Tuhan. Mereka percaya kepada Tuhan semesta alam dan menyerahkan korban itu sebenarnya untuk Tuhan yang Maha Hidup. Namun setelah datangnya Islam, maka Allah menukarkan agar kita menyerahkan korban (zakat) kepada manusia yang memerlukan dan bukan meletakkan untuk dimakan oleh binatang. 

Sepanjang perjalanan juga akan kelihatan pokok-pokok diikat dengan kain. Pak Ustaz menceritakan mereka bukan menyembah pokok tetapi menyembah Tuhan yang Maha Hidup yang ada di dalam pokok itu. Mereka yakin yang Maha Hidup ini ada di mana-mana. Namun pokok itu menjadi hambatan jiwa mereka di mana jiwa mereka takkan mampu lepas kepada Allah kerana ada pokok sebagai pengantara. Justeru Islam datang dengan membuang semua pengantara. Mereka yang beragama Hindu percaya kepada Tuhan yang satu yang menciptakan alam raya. Mereka bukan menyembah pokok atau lembu atau apa saja objek selain Tuhan. Itu hanya sebagai pengantara. 

Maka Pak Ustaz menceritakan bahawa begitulah juga kita setiap hari. Begitu banyak yang terdapat dalam pemikiran kita yang menghambat jiwa kita dari lepas kepada Allah. Setiap pagi kita bangun memikirkan masalah demi masalah. Kita tidak atau jarang datang kepada Allah yang Maha Menguruskan dan Maha Memberi Jalan Keluar. Kita berusaha untuk meyelesaikan masalah kita sendiri dengan kekuatan kita yang sedikit. Apa yang ada di kepala kita yang membelenggu diri kita, itulah pokok-pokok yang kita sembah setiap hari. Kita menghadapkan jiwa dan kehidupan kita kepada selain Allah, memikirkan untuk menambah kekayaan, memikirkan untuk mencapai kedudukan yang tinggi, memikirkan untuk mencapai populariti, memikirkan dan terus memikirkan untuk kehidupan di dunia ini. 

Berapa banyak waktu yang kita luangkan dari mengingati ALLAH. Berapa banyak kali kita syirik kepada Allah. Ya Allah, mungkin kita tidak menyembah pokok pada zahirnya tapi kita juga penyembah pokok pada batinnya - pokok kekayaan, pokok pangkat dan jawatan, pokok wanita/lelaki yang diidamkan dan sebagainya. Saya hanya mampu bersyukur. Namun tanpa saya sedari di sepanjang perjalanan itu saya asyik memikirkan sesuatu, saya juga terbelengu memikirkan sesuatu yang bersifat keduniaan. Saya hanya menyedari perkara ini apabila Pak Ustaz menegur saya secara spontan ketika di atas feri untuk menyeberang dari Bali ke Banyuwangi. Di atas feri itu terdapat anak-anak muda Indonesia berlawak jenaka dan tampak bahagia bersama kawan-kawan mereka. Kata Pak Ustaz, lebih kurang yang saya ingat, "Lihat anak-anak di Indonesia, miskin tapi bahagia tapi ada orang Malaysia kaya tapi banyak problem". Kemudian beberapa kali Pak Ustaz berkata kepada saya bahawa wajah saya tampak jelas orang yang sedang memikirkan masalah. Ya saya sedang memikirkan satu perbelanjaan yang perlu saya tanggung yang sepatutnya tidak saya tanggung, jumlahnya tidaklah banyak sekitar RM3000 sahaja. Di sini ada pengajarannya tapi pengajarannya saya dapat selepas solat subuh keesokkan harinya. 

Sampai di Banyuwangi sebaik menyeberangi lautan yang memisahkan Bali dan Banyuwangi, kami check in di sebuah resort ...


(Ini resort tempat kami menginap)

Malamnya saya cuba memahami pengajaran tentang pokok. Ketika saya duduk berzikir kepada Allah, alhamdulillah Allah ajarkan kepada saya bahawa saya sendiri mengalami pengalaman menghadap kepada 'pokok', saya sibuk memikirkan hal-hal keduniaan sehingga membelengu jiwa saya, sehingga jiwa saya tak mampu lepas kepada Allah. Allah menempelak saya pada malam itu dan mengingatkan saya betapa banyak rezeki yang telah diberikanNya dan saya harus menginfakkan saja perbelanjaan RM3000 itu. Ya Allah, saya rasa sangat terpukul. Allah Maha Benar. Saya terus melepaskan segalanya yang ada di fikiran saya. Saya redha dan pasrah kepada Allah. Saya serahkan kepada ALLAH. Justeru jiwa saya terus merasa lapang. Barulah saya faham kenapa jiwa kita sering tak mampu untuk 'connect' atau sambung kepada Allah. Kerana terlalu banyak kita ini memikirkan masalah sehingga masalah-masalah ini di bawa ke dalam solat yang menyebabkan solat kita tidak khusyuk. Justeru dengan tidak kekhusyukan solat kita, jadilah kita orang-orang yang lalai dari mengingati ALLAH. Jiwa kita tak kan dapat lepas ke ALLAH apabila ianya dalam keadaan LALAI!. Justeru secara ringkasnya kita jarang khusyuk kepada ALLAH kerana terlalu banyak MEMIKIR HAL KEDUNIAAN!

Keesokkan harinya wajah saya tampak berbeza dari semalam. Sudah tidak kelihatan ada kerisauan. Alhamdulillah saya bahagia belajar satu pelajaran baru, 'no mind'. 

(Saya dah kelihatan bahagia tak?)

Ketika di Bali, pelajaran ini masih di peringkat awal tapi alhamdulillah pada hari ini saya sudah lebih memahaminya. Mudah dan bahagia hidup bila kita dapat mempraktikkannya.

Ringkasnya yang dapat saya sharekan adalah, 'jangan difikirkan'. Itu saja. Memikir hanya untuk mencari strategi tapi bukan memikirkan dengan berbagai prasangka dengan perasaan risau serta runsing. Itu sangat menyakitkan dan boleh memberi impak kepada jantung dan kesihatan kita. Yakinlah pertolongan Allah itu sangat dekat. Kita hanya perlu datang kepadaNya.



I love Bali - for all the lessons learnt! Alhamdulillah, terima kasih ALLAH. Ada lagi pelajaran yang penting di perjalanan ini yang ingin saya sharekan iaitu tentang NIAT dan UJIAN ALLAH. InsyaAllah di entry yang akan datang.

Sampai jumpa lagi. Salam dari saya =)

Wallahuaklam

Ummu Ayman



3 ulasan:

maznahn9 berkata...

Assalamualaikum ummi Nora,
Terima kasih Allah Ya Rahman Ya Rahim yang mengizinkan diriku membaca nukilan yang penuh bermakna ini. Melatih diri untuk melepaskan sesuatu amat sukar untuk dipraktikkan pada awalnya, namun diri ini mencuba dan terus mencuba. Seronok apabila diajari olehNya erti melepaskan itu. Apabila diri tidak rela melepaskan, akan terus mencuba memaksa diri untuk kena melepaskan. Yakin dan pastilah semua yang kita lepaskan itu adalah hak milik Yang Maha Haq, mengapa kita perlu ada rasa tidak mahu melepaskan..belajar melepaskan dan terus belajar.

kali ini diajari pula 'no mind'. Kata-kata yang penuh makna tersurat dan tersirat. Sentiasalah berbaik sangka dengan segala ketentuan dan takdir Allah. Sentiasa mengingatkan diri agar redha dengan takdir Allah.

Belajar dan terus belajar.

'No mind'

Ummu Ayman berkata...

Assalamualaikum Cik Maznah,

Alhamdulillah, itulah ALLAH Yang Maha Dekat dan Maha Mengajarkan =)

Tanpa Nama berkata...

Bisa minta nomor HP ummi ga'? Sy punya masalah besar