POS TERKINI

Selasa, September 27, 2011

Allah Ajarkan Rahsia Menghadap kepadaNya

Assalamualaikum wrb. Apa khabar sahabat semua? Semoga sentiasa dirahmati dan dikasihi Allah. Sudahkah kita benar-benar menghadapkan diri dan kehidupan kita sepenuhnya kepada Allah? Berapa peratus? Seratus peratus? lima puluh peratus? atau baru sepuluh peratus? Tahukah anda bagaimana mahu mengukur tahap anda menghadap kepada Allah? Mudah saja. Lihat sejauh mana anda menghadapkan diri kepada Allah sewaktu solat. Berapa peratuskan solat anda itu benar-benar sedar kepada Allah dan betul-betul menghadap kepadaNya dan bukan menghadap kepada yang selainNya seperti kerja yang belum disiapkan, ikan di kuali atau kunci yang hilang. Sebaik anda mengangkat takbiratul ihram, perhatikan kesedaran anda. Anda boleh berada dalam dua kesedaran, pertama kesedaran kepada Allah dan merasa dilihat Allah atau kesedaran nafs iaitu perkara-perkara berkaitan dunia dan hawa nafsu. Sekiranya kesedaran anda kepada Allah hanya sekitar sepuluh peratus sahaja dari keseluruhan solat itu, maka begitu jugalah sepuluh peratus sahaja anda menghadapkan diri dan kehidupan kepada Allah. Itulah cara mengukurnya kerana solat menggambarkan diri dan kehidupan anda.

Bayangkan di dalam sebuah kelas, sekiranya terdapat peserta yang bercakap semasa guru bercakap, itu menunjukkan sikapnya yang sama di luar kelas iaitu tidak menghormati orang lain. Sikap kita di dalam solat sama dengan sikap kita di luar solat. Justeru, inilah rahsianya untuk kita mengubah sikap dan kehidupan kita kepada yang lebih baik. Iaitu dengan membaiki solat kita. Inilah latihan yang Allah sediakan. Solat adalah suatu perbuatan yang dibuat berulang-ulang kali. Setiap perbuatan yang dibuat berulang kali akan menjadi perilaku atau sikap seseorang yang melakukan perbuatan itu. Justeru Allah mewajibkan hambaNya untuk solat dengan khusyuk iaitu dengan menghadapkan dirinya dengan penuh kepada Allah ketika solat. Inilah yang terungkap dalam Doa pembuka solat iaitu Doa Iftitah, "Sesungguhnya aku menghadapkan wajahku ke wajah Allah yang menciptakan langit dan bumi" dan kalimah seterusnya "Sesungguhnya solatku, ibadahku, hidupku dan matiku hanya kerana Allah". Bayangkan sekiranya seseorang itu menghayati apa yang dibacanya dalam doa Iftitah ini iaitu dengan melakukan apa yang dibaca bukan sekadar membaca tanpa sedar, pastinya ia akan berubah menjadi perilaku. Bagaimana dia benar-benar menghadapkan wajahnya kepada Allah ketika dia membaca doa Iftitah pastinya dia terlatih untuk menghadapkan diri dan kehidupannya hanya untuk Allah. Inilah rahsia solat yang khusyuk. Apabila seseorang berjaya untuk solat dengan khusyuk maka dia juga berjaya menghadapkan diri dan kehidupannya kepada Allah diluar solat. Dia juga akan berjaya mencegah perbuatan keji dan mungkar kerana dia sentiasa sedar ke Allah setiap waktu dan ketika. Firman Allah; ".. Sesungguhnya solat itu mencegah perbuatan keji dan mungkar"

Ramai umat Islam hari ini mempunyai masalah untuk solat dengan khusyuk. Apakah dan dimana puncanya masalah ini? Pertamanya kerana tidak adanya ilmu bagaimana kaedahnya untuk khusyuk di dalam solat. Dari kecil, kita diajar dengan lengkap rukun-rukun dan sunat-sunat solat, kita diajar apa yang membatalkan solat tapi jarang sekali yang mengajar bagaimana untuk khusyuk dengan solat. Justeru, ilmu untuk solat dengan khusyuk tersangatlah penting agar solat kita menjadi solat yang khusyuk dan menghadapkan diri kepada Allah. Barulah hidup kita akan betul menghadap kepada Allah dan tidak selainNya. Dengan itu benarlah kalimah syahadah yang kita ucapkan bahawa tidak ada Tuhan lain yang kita hadapkan wajah kita selain Allah; tidak menghadap kepada wang dan harta, tidak menghadap kepada pangkat dan kemasyhuran yang dengan itu kita telah mensyirikkan Allah.

Keduanya, setelah kita belajar solat dengan khusyuk, kita masih mempunyai masalah untuk khusyuk. Ini adalah kerana dalam diri kita ada nafs (hawa nafsu) yang sering mengajak kepada kejahatan. Diri kita masih mempunyai banyak keinginan yang berkaitan dengan dunia. Justeru ketika kita mahu menghadapkan diri kepada Allah di dalam solat, keinginan-keinginan dunia dari hawa nafsu akan menarik kesedaran ke Allah dan membawa kita kesedaran dunia dan isinya. Justeru solat kita menjadi tidak khusyuk kerana jiwa tidak menghadap kepada Allah tetapi kepada selainNya. Bagaimana untuk menghadapi masalah ini? Allah sudah menyiapkan senjata untuk kita menawan hawa nafsu kita agar dia menjadi lemah dan tidak mampu untuk menarik perhatian kita dari Allah. Senjata itu adalah Puasa. Hawa Nafsu kita berasal dari dorongan jasad kita. Puasa melemahkan jasad dan secara otomatisnya melemahkan dorongan untuk membesarkan hawa nafsu. Justeru latihan 30 hari di bulan Ramadhan adalah senjata yang sangat hebat untuk menawan hawa nafsu itu. Bayangkan setiap hari kita melemahkan jasad dan dorongannya. InsyaAllah di akhir bulan Ramadhan, kita akan berjaya menawan hawa nafsu yang selalu mengajak kepada kejahatan itu dan akhirnya berjaya solat dengan khusyuk dan menghadapkan secara penuh kepada Allah. Justeru kembalilah kita kepada Allah dalam keadaan suci dan itulah sebab kita sering mendengar ungkapan "kembalilah ke fitrah yang suci" di bulan Ramadhan.

Allah memberikan kita senjata yang kedua untuk benar-benar menawan hawa nafsu kita. Senjata yang kedua adalah zakat. Di dalam bulan Ramadhan kita digalakkan berzakat atau bersedekah. Memberi yang digalakkan Allah adalah memberi sesuatu yang dicintai. Contohnya seorang yang mempunyai banyak kambing, haruslah memilih kambing yang terbaik untuk disedekahkan. Mengeluarkan atau memberi harta yang dicintai ini akan membebaskan kita dari ikatan kecintaan harta dan dunia yang sering menarik kesedaran kita dari kesedaran ke Allah kepada kesedaran dunia dan isinya. Justeru dengan senjata yang kedua ini, kita akan lebih mudah untuk solat dengan khusyuk.

Apa jadi selepas bulan Ramadhan? Senjata sudah tidak digunakan lagi? Pastinya kita memerlukan senjata ini setiap waktu dan ketika kerana kita harus menghadapkan diri dan kehidupan kita kepada Allah setiap bulan dan bukan hanya di bulan Ramadhan. Allah menggalakkan hambanya untuk puasa enam hari di bulan Syawal. Justeru sebaiknya cubalah berpuasa enam hari berturut-turut agar dapat manfaat seperti bulan Ramadhan di mana kita benar-benar memerangi hawa nafsu yang cuba membesar dengan 'open house' di bulan Syawal. Jangan lupa untuk menggunakan juga senjata yang kedua iaitu zakat atau sedekah ketika kita berpuasa enam itu.

Apa yang berlaku selepas puasa enam? Rasulullah saw mengajar kita untuk berpuasa sunat Isnin dan Khamis. Puasa itu senjata yang tidak harus ditinggalkan. Justeru untuk memastikan kita mampu untuk sentiasa solat dengan khusyuk di mana kesedaran kita ke Allah berjaya dipertahankan (kerana hawa nafsu yang menarik kesedaran itu sudah berjaya dilemahkan dan ditawan) maka kita harus sentiasa menggunakan senjata Puasa ini secara berterusan. Jangan lupa juga untuk keluarkan zakat atau bersedekah apabila melakukan Puasa Sunat Isnin dan Khamis. InsyaAllah kita dapat menghidupkan suasana Ramadhan setiap minggu; Isnin, Selasa berpuasa, Jumaat kita raya (ada khutbah Jumaat) dan jangan lupa bila ke Masjid untuk solat berjamaah, hulurkan wang yang kita cintai untuk jalan Allah atau kepada sesiapa yang memerlukan. Justeru orang Islam itu bersedekah setiap minggu.

Inilah rahsia hebat yang sering kita terlepas pandang. Solat, Puasa dan Zakat hanya jadi rutin beragama yang dilaksanakan tanpa memahaminya. Justeru di bulan Ramadhan yang sewajarnya bulan menawan hawa nafsu jadi bulan yang paling kuat membesarkan hawa nafsu, hawa nafsu makan semasa berbuka, hawa nafsu menukar perabot rumah, memberi emas, membeli langsir dan sebagainya. Jadilah Puasa kita itu hanya sekadar lapar dan dahaga yang disebutkan oleh Rasululah saw.

Dengan Ilmu solat dengan khusyuk dan dua senjata hebat, Puasa dan Zakat, insyaAllah kita akan mampu Solat dengan benar-benar menghadapkan wajah kita kepada Allah sepenuhnya. Justeru, begitulah juga kita diluar solat, insyaAllah benar-benar mampu menghadapkan diri dan kehidupan kita kepada Allah dan menjadikan hidup dan mati kita hanya untuk Allah. Inilah erti Kalimah Syahadah yang kita sebutkan. Barulah kita dikatakan telah menyempurnakan Syahadah kita.

Rumusannya, Solat adalah cermin diri dan kehidupan kita. Bagaimana kita solat, itulah diri dan kehidupan kita. Itulah sebab kenapa Solat adalah soalan yang pertama ditanya oleh Allah bila kita kembali menghadapNya satu hari nanti. Baik solat kita, baiklah kehidupan kita dan masuklah kita ke Syurga yang disediakan untuk orang-orang yang menjaga solatnya. Belajarlah Solat dengan Khusyuk, rajinlah berpuasa dan lepaskanlah ikatan kecintaan kepada dunia dengan sering bersedekah dan berinfaq di jalanNya. Semoga kita dipanggil pulang oleh Allah sebagai jiwa yang tenang dan berjaya memasuki Wilayah Nafsul Mutmainnah yang didiami oleh ruh para kekasih Allah. Amin Ya Allah.

Firmah Allah yang bermaksud: “Wahai jiwa yang tenang, kembalilah kepada Tuhanmu dengan puas lagi diredhaiNya, Masuklah ke dalam jamaah hamba-hambaKu dan masuklah ke dalam syurgaKu” (Al-Fajr: 27-30)


Hanya Allah Yang Maha Mengetahui

Jumaat, Jun 17, 2011

Allah Ajarkan Rahmat di sebalik sakit

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh,


Dengan Nama Allah, dengan asmaNya ... Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang ... Bismillahi itu Dengan Asma Allah, penuh dengan kesempurnaan, penuh dengan kasih-sayang .... Begitulah Allah sangat menyayangi kita ...


InsyaAllah sedikit coretan malam ini pengalaman saya diajarkan ketika saya jatuh sakit di Mekah baru-baru ini. Masih saya ingat lagi, tanggal 9 Jun iaitu baru 4 hari saya menjejakkan kaki ke bumi Mekah, saya sudah merasa tidak begitu selesa, sudah mula selsema. Namun pada malam 9 Jun itu saya melalui satu proses yang cukup hebat betul-betul di hadapan Kaabah (saya berada tidak sampai 2 kaki dari binaan Kaabah).


Keesokkan harinya sakit saya menjadi lebih kuat, badan mula panas. Saya mula berdoa kepada Allah agar saya cepat sembuh dan dapat beribadah dengan lebih berkesan lagi. Masuk tanggal 11 Jun saya berusaha untuk membuat ubat penawar dengan menggunakan air zam-zam yang saya bacakan ayat-ayat Al-Qur'an dan Nama-nama Allah. Kebiasaannya saya sering sembuh tidak berapa lama selepas itu. Namun saya yakin kekuatannya bukan terletak pada air itu tapi pada keyakinan bahawa Allahlah yang menyembuhkan. Begitu juga yang sering saya katakan kepada kawan-kawan yang saya buatkan ubat penawar dari air zam-zam. Saya katakan kekuatan air itu sebagai penawar terletak kepada keyakinan kamu kepada Allah.


Namun pada kali ini, air itu seolah-olah tidak mujarab lagi. Sakit saya tidak menampakkan seperti berkurangan malah badan saya bertambah lemah lagi. Kenapa ya? begitulah bodohnya saya bertanyakan sedemikian ... Saya berdoa lagi kepada Allah meminta agar saya segera sembuh. Namun saya tidak sembuh lagi malah makin parah ...


Masuk tanggal 12 Jun badan saya lemah tak bermaya dan saya hampir tidak berani berjalan sendirian kerana saya rasa seolah-olah saya akan pengsan pada bila-bila masa sahaja. Dengan badan saya yang tidak bermaya itu akhirnya das ... pengajaran turun dan saya memahami satu perkara yang sangat penting di dalam kehidupan. Saya mendapat petunjuk dari Allah yang tak ternilai harganya .... Namun untuk petunjuk itu turun, saya harus berada di dalam kondisi tidak bermaya, dan berada di dalam keadaan sakit hari ke 4. Sekiranya saya sembuh pada hari ketiga di mana kondisi saya tidak selemah hari ke 4 itu, pengajaran tidak mampu diterima kerana pengajaran itu sangat berkaitan dengan kondisi badan yang lemah dan pada hari ketiga itu badan saya belum begitu lemah lagi.


Justeru itu mengajar saya untuk tidak meminta Allah menyembuhkan dengan segera. Sekiranya saya segera sembuh pada hari kedua atau ketiga sakit, saya akan miss pengajaran yang sangat bermakna yang mutiara seisi dunia pun tidak dapat digunakan untuk membelinya. Justeru saya sudah faham kenapa Allah tidak menyegerakan saya sembuh. Allah ingin mengajar saya ... dan saya harus sakit sampai hari keempat untuk dapat memahami pengajaran penting itu dalam hidup saya.


Doalah mohon yang terbaik dari Allah. Mungkin sakit itu lebih baik dari sembuh ... biarkan ia ikut kehendak Allah. Namum itu tidak bererti kita tidak berusaha untuk sehat. Usaha itu perlu tapi dari segi berdoa kepada Allah, tanyalah Dia yang mana terbaik. Mungkin di sebalik sakit itu ada rahmat Allah yang begitu besar menanti kita.


Jadi bila sakit, ucaplah Alhamdulillah ...


Hanya Allah Yang Maha Mengetahui.

Jumaat, Mei 27, 2011

Allah Ajarkan Tentang Keyakinan kepadaNya

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh,


Dengan NamaMu Ya Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang .... aku menulis lagi Ya Allah, terima kasih atas kelapangan sedikit waktu yang ada ini.


Sahabat yang dirahmati Allah sekelian, bertemu lagi kita di alam maya ... bagaimana jiwamu hari ni? Ada Allah dalam jiwamu? Kalau ada pasti terasa .... kalau ada, rasa tenang hari ini ... kalau ada, di hati hanya mahu berbuat baik sahaja .... Allah itu teman hidupmu, itu kata guru saya. Bila Allah ada dalam jiwamu maka ketika itu Allah menemanimu ... tapi bila Allah tidak ada dalam hatimu, ketika itu syaitan jadi teman setia ... maka jiwamu hari itu resah, mudah marah, mudah buruk sangka ... pastikan tidak, kerna syaitan kan sedang duduk bersemayam dalam hatimu ... justeru tunduklah dirimu pada kehendaknya bukan kehendak Allah ... tapi kalau Allah yang bertahta di dalam jiwamu, maka seluruh diri dan tubuhmu hanya cenderung kepada yang baik-baik saja ... tidak suka marah, tidak suka buruk sangka, tidak suka mengumpat, suka menolong orang ... itulah kehendak Allah dan jiwamu ketika itu yang dekat dengan Allah akan tunduk pada kehendakNya ... Simple saja kan ... Justeru bila jiwa mu resah gelisah ... datang ke Allah ... tapi datang ke Allah dengan jiwamu ... bukan sekadar dengan jasadmu : )


InsyaAllah pada hari ini saya ingin merakamkan kefahaman saya tentang keyakinan kepada Allah dan hubungkaitnya dengan kehidupan kita. Hidup kita kadangkala nampak rumit dan sulit dengan berbagai masalah. Ketika kita berhadapan dengan masalah-masalah ini, cuba kita perhatikan sejauh mana keyakinan kita kepada Allah saat itu. Rasa kerumitan dan hidup rasa penuh kepayahan ada kaitannya dengan keyakinan kita kepada Allah ... Bila keyakinan kepada Allah itu tidak kukuh berpasak di dalam jiwa kita maka kita rasa berhempas pulas menyelesaikan masalah yang dihadapi. Sakit kepala, tekanan jiwa, marah adalah antara kesannya.


Namun sebaliknya apabila keyakinan kepada Allah Yang Maha Hebat, Yang Maha Besar, Yang Maha Menguruskan Rezeki berpahat teguh di dalam hati ianya akan melahirkan pergantungan total 100% kepada Allah sehingga mampu menghasilkan kepasrahan yang tulen apabila berhadapan dengan ujian dan halangan di dalam kehidupan. Hamba Allah yang begini akan menghadapi kehidupan dengan mudah, tenang dan segalanya dapat dirasakan diurus Allah dengan cukup sempurna. Bukan bererti dia tidak berusaha. Orang yang benar-benar yakin dengan Allah, hidupnya hanya untuk Allah. Justeru apa yang dilakukan akan dilakukan dengan sungguh-sungguh dan sebaik mungkin kerana ia lakukan untuk Allah, harus bagi yang terbaik ... dan bukannya untuk dirinya atau manusia lain. Justeru dia fokus dengan peranan dan tanggungjawabnya, bahagia melakukan kerana Allah, dilimpahi cahaya Allah yang sentiasa menerangi hatinya dan membimbingnya ke jalan yang benar dan penuh kebahagiaan (di dunia lagi). Allah sentiasa ada di dalam jiwanya; setiap waktu dia sedar bersama Tuhan yang sangat dicintainya .... kesannya ... rezekinya diurus, hidupnya diurus ... cukup sempurna.


Justeru anda mahu rezeki dari Allah? Mahu bayar hutang rumah, hutang kereta, bil elektrik, bil telefon dan sebagainya? Yuk yakin kepada Allah dengan penuh kesedaran, setiap waktu dan saat ... mungkin sekadar di otak dan difikiran kau kata yakin ... tapi di mana keyakinan itu kau bawa dalam hidupmu selama ini?


Hanya Allah Yang Maha Mengetahui


Isnin, Mei 09, 2011

Allah Ajarkan Tentang Merancang

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh,

Bismillahirrahmannirrahim .. Kami mulakan dengan menyebut namaMu Ya Allah ...


Apa khabar sahabat semua? Bagaimana jiwamu hari ini? Rasa tenang atau kacau? Rasa selesa atau tidak selesa? Itu adalah termometer (pengukur) tahap imanmu kepada Allah. Allah banyak berfirman dalam Al-Qur'an bahawa orang-orang yang beriman itu tidak ada kekhuwatiran dan tidak mereka bersedih hati ... Ada Allah dalam hatimu? Ada Allah dalam dirimu? Ada Allah dalam rumahmu? Tepuk dada tanya iman : )


InsyaAllah sedikit sharing malam ini ... Saya sekarang ini hampir setiap minggu mengajarkan perancangan strategik ... dan saya sering gunakan video klip animasi kisah salah satu peperangan yang dihadapi oleh Salahudin Al Ayubi yang akhirnya berjaya membebaskan Baitul Maqdis. Alhamdulillah saya mendapat pencerahan dari Allah bahawa salah satu sebab kenapa umat Islam begitu sukar mencapai kemenangan pada hari ini kerana kurangnya dalam melakukan strategi ketika merancang.


Video klip yang kami paparkan kepada peserta sangat menarik menunjukkan bagaimana dengan strategi peperangan yang hebat tentera Islam yang lebih sedikit dapat mengalahkan tentera kafir yang bukan sahaja ramai tapi lengkap dengan kelengkapan perang.


Salahudin Al Ayubi dan tenteranya pasti yakin akan ada pertolongan Allah tetapi kenapa beliau berstrategi? Kerana itu yang diajar nabi kita Rasulullah saw ... Rasulullah saw setiap kali peperangan ada strateginya ... sehingga sanggup menggali parit walaupun sukar, penat apatah lagi di bulan Ramadhan. Begitu pentingnya strategi. Allah juga menyebutkan dalam ayatNya bahawa Allah suka orang yang berperang dalam barisan yang tersusun kukuh ... maknanya lengkap dengan strategi peperangan ...


Namun lihat organisasi Islam pada hari sangat lemah di dalam merancang dan berstrategi. Padahal kita berhadapan dengan musuh-musuh Islam yang hebat dalam melakukan strategi dan tipu daya. Kemudian bila kita gagal mencapai matlamat, kita kata "Allah belum bagi kita kemenangan" Wah santai-santai saja kita berbicara .... bila kalah atau gagal di dalam mencapai visi (yang kadang-kadang dah lebih 50 tahun) kita tidak merasa bersalah kepada Allah kerana tidak merancang dan berstategi dengan baik, kita tidak merasa bersalah kepada Allah kerana tidak komited terhadap tugas dan tangungjawab kita ... aduhai ... jauhnya kita dari generasi Rasulullah saw dan para sahabat ...


Mari kita lihat sejenak kehidupan kita ... Kita jelas bahawa kita harus sempurnakan tugasan sebagai khalifah Allah dengan sebaiknya .... Itu maknanya Bismillah ... bayangkan kita mahu pergi ke Indonesia satu hari sekadar pergi berjalan-jalan ... bayangkan bagaimana kita bersiap? Santai-santai saja kan .... Kemudian dua minggu kemudian kita terima surat dari Perdana Menteri melantik kita untuk mewakili rakyat Malaysia untuk melakukan rundingan damai dengan kerajaan Indonesia berkenaan isu pembantu rumah. Sekarang bayangkan persiapan kita ke Indonesia ... adakah sama dengan persiapan yang pertama tadi? Pastinya tidak ... Kali ini ada checklist ... Kita bersiap jauh lebih awal dan memastikan dengan bersungguh-sungguh tidak ada benda yang tertinggal ... Kenapa berbeza persiapannya? Kerana pada kali kedua kita melakukan atas nama rakyat Malaysia, rasa ada tanggungjawab ... kita buat sebaik mungkin. Manakah yang lebih besar; rakyat Malaysia atau Allah? Pasti Allah lebih besar ... Mana yang kita buat lebih bersungguh-sungguh atas nama Rakyat Malaysia atau nama Allah? Itulah maknanya Bismillah ... Atas Nama Allah ... kita buat sesuatu dengan nama Allah ... pasti jauh lebih hebat dan jauh lebih komited dari atas nama rakyat Malaysia ....


Bila kita sudah faham buat atas nama Allah, maka pastinya kita perlu buat dengan perancangan yang berstrategi. Mungkin kita rasa lebih sukar mahu melakukan perancangan berstrategi. Ia akan memakan masa, tenaga dan perlu bersabar. Itulah sebab kenapa Rasulullah saw dan para sahabat sanggup menggali parit ketika berhadapan dengan Peperangan Khandak. Kerana Rasulullah saw buat atas nama Allah ... biarpun penat, makan masa, lapar (ketika itu bulan Ramadhan) namun atas nama Allah perlu dibuat bersungguh-sungguh ....


Bagaimana kehidupan kita ... Hanya fikir dulu perancangan untuk diri sendiri, adakah kita merancang apa yang perlu di lakukan untuk hari esok?Adakah kita mencari ilmu pengurusan diri dan kehidupan kita? Betullah kata orang .... gagal merancang bererti merancang untuk gagal ... ampuni kami Ya Allah ....


Mari kita mulakan dengan merancang tugasan untuk tindakan kita. Adakan checklist dan fokus pada tugasan yang utama dahulu. Setelah berusaha kita serah dan bertawakal kepada Allah ....


Marilah kita mulakan dengan Bismillah ... Bismillah yang benar-benar kita faham dan hayati : )


Selamat Hari Ibu buat sahabat-sahabat yang dah jadi ibu ...


Hanya Allah Yang Maha Mengetahui

Selasa, Mac 15, 2011

Allah Ajarkan tentang Amal Soleh Paling Tinggi

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh,

Dengan NamaMu Ya Allah, aku mencoretkan sesuatu pagi ini agar ianya member manfaat untuk semua ... Ampuni Aku Ya Allah ...

Sahabat-sahabat yang dirahmati Allah, alhamdulillah saya sangat bersyukur pagi ini dilatih dan diajar Allah tentang amal soleh terutamanya amal soleh yang paling tinggi di sisiNya. Allahlah Yang Maha Mengajarkan kita, Allahlah Yang Maha Trainer ... Itulah yang saya rasakan pagi ini .... Terima kasih Allah kerana mengajarkan kami setiap waktu dan ketika.

Lebih kurang jam 5 pagi hari ini saya terjaga ... Walaupun tidur lewat tapi saya tidak mengantuk terjaga jam 5 ... Alhamdulillah saya yakin Allah yang mengejutkan dan seolah berkata pada saya, "bangun, bangun .... aku ingin mengajarkan engkau hari ni ..."

Lalu saya pun bangun untuk mengerjakan dua rakaat solat tahajud dengan menghadapkan jiwa tepat kepadaNya ... sungguh indah perjalanan bertemuNya di dalam solat itu .... Seusai solat, saya duduk mengadapNya ... dan entah mengapa pada pagi ini kuat saya rasakan untuk beristighfar kepada Allah ... Saya mohon ampun kepada Allah dengan penuh rasa pengharapan kasih sayang Allah dan pengampunanNya yang luas tak terbatas ... Astaghfirullah ... saya ulangi dan ulangi seolah tidak tahu bila saya akan menghentikannya .... Saya teruskan dan teruskan ... airmata mula mengalir, kedekatan Allah makin terasa, astaghfirullah, ampuni aku Ya Allah ... aku ingin jadi hambaMu yang soleh ... saya teruskan dan teruskan lagi .... seolah saya tidak ada agenda pagi itu tapi diagendakan Allah untuk tetap duduk menghadapNya dan beristighfar .... airmata terus mengalir tak henti-henti ... Sambil saya beristighfar itu saya perjalankan jiwa saya menujuNya ... saya bawa jiwa saya kepada Alah, astaghfirullah, astaghfirullah ... perlahan-lahan kalimah taubat itu menjadi kenderaan jiwa saya menujuNya ....

Das ... pengajaran pun turun .... prosesnya tak dapat saya tuliskan satu persatu di sini, sukar untuk merekodkannya kerana seolah terlalu pantas berlaku ... apapun saya ceritakan apa yang dirasa saat ini ...

Suatu ketika dahulu ketika saya masih bersekolah dan menuntut di universiti, saya punya satu cita-cita ... cita-cita saya adalah untuk membahagiakan ibu saya yang telah melalui berbagai kedukaan di dalam hidupnya. Ibu saya bercerai dengan ayah saya ketika saya berusia 15 tahun lagi ... Ibulah yang menanggung kehidupan kami adik beradik ... pendapatan ibu sangat kecil, justeru kami hidup secara ala kadar sahaja. Ibu melalui berbagai kesedihan dan kepayahan terutama apabila hidup tanpa suami dan sentiasa menjadi bualan jiran dan tetangga. Namun kerana hendak membesarkan kami semua, ibu tidak pernah mengambil peduli itu semua dan tidak pernah berusaha untuk membersihkan namanya dari menjadi topik perbualan jiran dan rakan-rakan sekerja yang mungkin agak ketakutan dengan kejelitaan ibu yang mengancam kehidupan rumahatangga mereka ... Setiap hari pulang dari kerja, ibu akan terus bergegas ke dapur untuk menyediakan masakan untuk kami adik beradik ...

Justeru saya akan bahagiakan ibu, saya akan siapkan apa saja keperluan yang ibu perlukan, saya akan jaga ibu saya ... Itulah cita-cita saya satu waktu dulu ... saya belajar bersungguh-sungguh demi ibu saya ... Saya bekerja di universiti untuk ibu saya ... Segalanya untuk ibu ...

Malangnya itu cerita dulu ... ketika saya tidak bekerja lagi, ketika saya tidak sibuk dengan berbagai urusan kehidupan, ketika saya tidak mempunyai anak, ketika saya tidak mempunyai suami ...

Waktu dan masa berubah ... dan manusia juga turut berubah ... cita-cita yang terpendam dari dulu tinggal terpendam begitu saja ... Kehidupan berkeluarga dan kesibukan saya melupakan saya tentang cita-cita itu. Seolah terkubur begitu saja ...

Pagi ini Allah mengingatkan saya kembali tentang cita-cita itu ... Allah mengingatkan kembali tentang setiap perasaan yang pernah ada di hati saya terhadap ibu saya pada satu waktu dahulu ... perasaan yang mungkin saya hampir lupa pada hari ini. Perasaan untuk menjadikan ibu saya orang yang paling bahagia dalam dunia ini, perasaan untuk memastikan segala keperluan ibu dipenuhi ... Saya terus menangis tak hentinya .... Menangis kerana perasaan itu mengalir semula di dalam jiwa, menangis kerana saya lupa pada cita-cita itu, menangis kerana kelalaian saya terhadap ibu saya dan kurangnya masa yang saya peruntukkan untuknya padahal ibu telah memperuntukkan kehidupannya untuk saya ... Saya terus menangis tak hentinya sehingga membawa saya sujud kepada Allah ... memohon ampun atas kelalaian saya ...

Ya Allah, Engkaulah Yang Mengajarkan ... Engkaulah motivator teragung ..... Engkaulah yang sungguh baik pada hambaMu ... Saya sungguh-sungguh merasa melalui satu proses latihan pada hari ini, trainernya Allah ... latihan cukup hebat tak akan dapat dilakukan oleh manusia ... bermula dengan Allah mengejutkan saya seolah berkata, "bangun, Aku ingin mengajarkan kamu hari ini ..."

Sahabat yang dirahmati Allah, amal Soleh tertinggi di sisi Allah adalah kebajikan kepada ibu dan ayah yang bukan berkehendakkan balasan kebendaan dari kita tapi mengharapkan perhatian, kasih sayang yang ikhlas dan sedikit masa untuk mereka ... Selama ini kita sering merasakan bahawa dengan solat, membaca Al-Qur'an, puasa dan zakat kita sudah beramal soleh .... Kita silap .... Solat, Puasa, Zakat itu adalah latihan yang Allah sediakan untuk menyucikan jiwa dan memproses diri kita agar siap untuk menjadi khalifahNya ... ianya adalah satu proses penyediaan diri kita. Bila telah siap diri kita (seperti tentera yang disiapkan dengan latihan ketenteraan), maka kita mengorak langkah untuk beramal soleh (berperang dalam konteks tentera). Bayangkan seorang tentera dilatih dengan hebat di kem tentera tapi kemudian tidak ikut berperang. Justeru setelah jiwa kita siap diproses dan disucikan dengan latihan-latihan yang Allah sediakan dalam Rukun Islam yang wajib maka hasilnya adalah amal soleh sebagai khalifah Allah ... connecting with people and environment ... Rukun Islam menguatkan jiwa dengan Allah ... connecting with Allah (Hubungan dengan Allah) ... hasilnya adalah hubungan dengan manusia ... Itulah amal soleh ...

Apakah amal soleh yang paling tinggi? Siapa di kalangan manusia yang disuruh Allah untuk kita berbuat baik? Ibu bapa, orang miskin, anak yatim, orang yang di dalam perjalanan dan sebagainya ... Siapa yang paling terpenting kepada kita dari kalangan yang dinyatakan di atas? Pastinya ibu kita dan ianya terungkap jelas dalam firman Allah dan hadis-hadis Rasulullah saw. Itulah amal soleh yang tertinggi di sisi Allah ... Berbakti dan membahagian ibu dan bapa yang telah membesarkan kita ... Jangan sekali dilengahkan, jangan sekali diabaikan ....keredhaan Allah bersama dengan keredhaan ibu dan ayah .... IsyaAllah dengan keredhaan ibu dan ayah, perjalanan menuju Allah insyaAllah akan dituntunNya dan berjalanlah kita dengan lancar menujuNya ....

Sahabat yang saya kasihi, inilah pengajaran yang saya dapat pagi ini. Saya kongsikan agar kita sama-sama dapat meneruskan jalan menujuNya ....

Hanya Allah Yang Maha Mengetahui

Jumaat, Mac 04, 2011

Allah Ajarkan Tentang "Tuanku"

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh,

Apa khabar sahabat-sahabat semua. Alhamdulillah saya sihat-sihat saja di sini. Cuma agak sibuk ... sangat sibuk sebenarnya ... Kadang-kadang saya rasa semacam tidak ada kehidupan seperti semahu saya, saya tidak menjalani kehidupan ini mengikut kemahuan saya ... saya rasa seolah-olah dipaksa untuk ikut kehendak yang bukan kehendak saya .... sebenarnya, bukan seolah-olah ... memang dipaksa ikut kehendakNya ... kehendak Tuhan saya dan saya adalah hamba yang sepatutnya memperhambakan diri kepadaNya .... mana boleh hamba mengikut mahunya ... mana boleh hamba menuntut haknya ... sebagai hamba, kita tidak punya hak, kata Pak Ustaz Abu Sangkan pada halaqah malam ini ... hak itu kepunyaan Allah ... jangan pandai-pandai mahu tuntut hakmu ... Semua yang ada pada kita, masa dan kehidupan semuanya hak milik Allah yang mutlak ....

Bayangkan seorang hamba abdi ... sekiranya wujud di zaman ini. Buat masa ini saya rasa seperti hamba abdi itu ... Saya tidak dapat berbuat sesuka saya, saya tidak ada masa untuk itu. Masa dan kehidupan saya seolah-olah ada YANG MERANCANGNYA ... SUDAH DITETAPKAN ... Oops bukan seolah-olah ... memang ADA YANG MERANCANGNYA ... Inilah yang saya alami, bukan sekadar yang saya fahami seperti sebelumnya. Sebelum ini sekadar tahu tapi tidak pernah merasa seperti hamba abdi ....

Namun hamba abdi ini bahagia sekali dengan Tuannya. Aku redha wahai Tuanku .... (barulah tepat penggunaan kata tuanku) Redha dipilih jadi hambaMu .... hamba yang punya Tuan Yang Maha Penyayang dan Mengasihi hamba-hambaNya, Tuan yang memberi nikmat tak terbanding apa pun ....

Aku ingin hidup di dalam kehendakMu ... Letakkan aku dalam posisi bertawaf bersama-sama dengan makhlukMu agar aku sentiasa bertawaf ikut kehendakMu ... Ampuni dosa dan kelalaian ku yang amat sangat wahai Tuanku ... begitu banyak kesilapanku lebih besar keampunanMu ... Kau Maha Hebat, Maha Sempurna .... kami bersaksikan Tiada Tuhan SelainMu Allah ...

Bahgia jadi hamba ...

Hanya Allah Yang Maha Mengetahui

Sabtu, Januari 01, 2011

Allah Ajarkan Aku Tetap Di sini ...

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh,



Dengan NamaMu Ya Allah Yang Maha Mengasihi Kami. Dengan NamaMu aku menulis lagi ... Apa khabar sahabat semua. Rindu rasanya sudah lama tidak dapat menulis di ruang ini. Rindu bersama dengan sahabat-sahabat semua yang sedang sama-sama merinduiNya, sama-sama bergantung kepadaNya, sama-sama berjuang di jalanNya ... Indah hidup dituntun Allah, indah hidup dikasihi Allah dan indah hidup dirindui Allah : ) Kami merinduiMu Allah, sangat merindui Mu, sangat MengasihiMu ... terima kasih Allah, tak terungkap kata untuk mengukirkan syukur kepada atas kasih sayang Mu ...


Sahabat yang dirahmati Allah, sungguh dekat Allah ... Bayangkan putaran matahari, bulan, galaksi, planet-planet ... semuanya diputar Allah, semua digerakkan Allah ... betapa jauhnya matahari dan bintang dan galaksi-galaksi yang bertebaran di alam semesta ... semuanya digerakkan Allah ... Maha Besar Allah, Maha Perkasa Allah ... kita turun sedikit ke bumi, lihat pula taufan dan puting beliung yang begitu kuat berputar ...lihat angin-angin yang membawa pasir-pasir berterbangan, semuanya diputar Allah ... semuanya digerakkan Allah ... Allah menggerakkan semua itu ... Turun lagi ke bawah dan masuk ke dalam diri kita dan lihatlah DNA kita yang sedang diputarkan, sentiasa berputar, lihat pula sel-sel kita, sel darah, sel rambut ... semuanya sedang bergerak ... pada hakikatnya digerakkan Allah, pada hakikatnya Allah yang sedang menggerakkan semuanya ... Rasa pula denyutan nadi kita, ada yang sedang mengepam jantung kita ... ya DIA itu Allah yang sedang mengepam jantung kita ... tidak mungkin jantung itu mengepam sendiri ... ada yang mengepamnya ... Allah ... Allah meliputi semuanya, Allah meliputi kita ... Allah Maha Dekat ... Berhenti sejenak dan rasakan kedekatan Allah itu ...


Hari ini masuk tahun baru 2011 ... Di televisyen saya lihat begitu ramai orang membanjiri Dataran Merdeka ... menghitung 10 .. 9 ... 8 ... 7 ... sebagai menghargai detik tahun baru yang akan datang ... Saban tahun kita menyambut ketibaan tahun baru ... 2007, 2008, 2009, 2010 ... kita punyai tahun-tahun baru ini kerana adanya bumi yang berputar ... kita merasakan ada hari ini dan hari esok kerana adanya bumi ini ...


Sekarang cuba hilangkan bumi ini ... bayangkan kita hidup tidak ada bumi ini ... tidak ada putaran bumi ... adakah hari esok? Adakah hari ini? Pasti tidak ada ... yang ada hanya sekarang ... aku tetap di sini sekarang ... . Saban tahun umur kita meningkat ... kita rasakan umur meningkat kerana ada hitungan tahun ... jasad pun semakin berubah ... dari kecil, menjadi remaja dan kemudian dewasa dan akhirnya tua ... tapi kita bukan jasad ini ... jasad ini hanyalah karungan saja bagi jiwa dan ruh kita ... jasad ini sama seperti ciptaan Allah yang lain, contohnya seperti buah limau, akhirnya dia akan tua, busuk .. Nah, cuba juga hilangkan jasad ini ... perhatikan jiwa dan ruh kita ... dia tidak melalui proses tua atau muda ... bila jasad sudah tidak berfungsi (sudah mati), jiwa dan ruh tetap ada ... tetap di sini ... maka pada hakikatnya, aku tetap di sini ... aku yang sebenarnya tidak terbatas oleh ruang, masa, sempadan ... Pada hakikatnya AKU TETAP DI SINI ... Aku tetap bersama dengan Tuhanku di sini ... Aku tetap di sini sebagai hambaNya ... Aku tetap di sini sebagai milikNya ...


Saya mengelirukan anda? Maaf kalau anda tidak memahaminya ... InsyaAllah semoga satu hari anda akan faham ... Bagi sahabat yang sudah memahami hakikat ini dan yang dapat memahaminya dari tulisan saya ini, maka kefahaman ini sangat penting di dalam kita berhadapan dengan Allah samada dalam solat atau pada bila-bila masa ... kefahaman ini akan melahirkan rasa ihsan yang berterusan dalam hidup kita ... Allah yang sangat dekat, dan berada bersama kita di sini ...


Selamat Menyambut Tahun Baru 2011 : )


Hanya Allah Yang Maha Mengetahui