Rabu, November 17, 2010

Allah Ajarkan Tentang Cinta dan Pengorbanan

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh,

Dengan Nama Allah yang telah menyusun kehidupan kita, mengatur masa dan menetapkan setiap kejadian dalam hidup kita. Hari ini rakyat di Malaysia menyambut hari raya Aidil Adha, atau Hari Raya Korban di mana umat Islam sangat dituntut mengorbankan wang ringgit untuk memberi orang-orang miskin makan melalui penyembelihan lembu. Ketika saya di Kambodia satu waktu dulu, saya mendapat tahu bahawa mereka hanya dapat merasa makanan daging lembu setahun sekali apabila adanya ibadah korban ini. Mereka terlalu miskin dan hanya makan ikan pekasam (yang mereka tangkap dan simpan sehingga menjadi pekasam), sayur yang ditanam sendiri, nasi yang mana hasil dari tanaman padi yang ditanam dan air dari telaga. Mereka tidak mempunyai wang lebihan untuk makan ayam atau daging. Saya sempat menziarahi rumah-rumah mereka yang sangat menyedihkan. Rumah mereka mempunyai tingkap yang tidak ada penutupnya. Alhamdulillah dengan adanya ibadah korban ini, mufti di sana akan mengagih-agihkan daging korban mengikut jumlah anak-anak yang mereka ada. Dapatlah mereka rasa sedikit. Bersyukur mereka kepada saudara seIslamnya yang telah berkorban untuk memberi mereka merasa kurniaan Allah itu.

Seekor lembu harganya lebih kurang RM3000 dan pastinya bagi sesetengah keluarga untuk mengeluarkan RM3 ribu itu agak besar jumlahnya. Itulah pengorbanan dan ujian keimanan sejauh mana kita meyakini bahawa Allah Yang Menguruskan rezeki. Kita pulangkan semula pemberian Allah kepada kita melalui hambaNya yang memerlukan. Itulah persembahan buat Cinta yang agung. InsyaAllah akan diganti dengan yang lebih baik lagi. Malangnya di Malaysia, ibadah korban ini tidak begitu diminati. Ramai yang menyambut hari raya aidil adha tetapi tidak ramai yang sanggup berkorban sedangkan kita boleh membeli satu bahagian atau dua bahagian. Bagaimana mungkin kita mendapat rahmat dan cinta Allah apabila dihati masih tersimpul erat cinta kepada harta dan kebendaan. Bagaimana kita dapat dituntun ke jalanNya bila dihati tidak ada rasa ehsan kepada sesama insan.


Saya telah melalui berbagai peristiwa di mana saya mendapat kefahaman bahawa Cinta kepada Allah itu menuntut pengorbanan tetapi saya tidak dapat menceritakan kisah-kisah yang saya lalui. Hanya dapat saya kongsikan apa yang saya fahami. Apabila dihati kita hanya ada Cinta kepada Allah, itulah hakikat sebenar penghayatan Lailahaillallah. InsyaAllah akan dituntun Allah jiwa dan kehidupan kita. Allah mengajarkan dan menunjukkan kita jalanNya. Segalanya jadi mudah tidak seperti sebelumnya. Masalah yang kita hadapi hari ini adalah untuk membebaskan jiwa kita dari cinta-cinta selain Allah yang sedang berpaut erat di hati kita tidak dapat kita tanggalkan. Begitu sukar sekali rasanya untuk membebaskan hati dan jiwa dari keterikatan nafsu dan dunia. Saya pernah melalui waktu-waktu itu dan masih melaluinya. Justeru, dalam kehidupan kita, Allah akan hamparkan sedikit demi sedikit pengorbanan yang perlu kita lakukan. Allah tahu bahawa kita memerlukan proses untuk mengorbankan kepentingan diri dan dunia maka tidak dihamparkanNya kesemua sekaligus. Mulanya mungkin kita berhadapan dengan kehidupan untuk mengorbankan masa, kemudian kita berhadapan dengan kehidupan untuk mengorbankan tenaga dan seterusnya. Sedikit demi sedikit. Apabila kita lulus dan berjaya mengorbankan satu kepentingan diri, kita akan dibawa untuk mengorbankan kepentingan yang lain dan akhirnya kita akan diminta untuk mengorbankan sesuatu yang sangat kita sayangi. Disaat itu ramai yang terkorban tidak mampu untuk meneruskan siri-siri pengorbanan ini. Contohnya di zaman Rasulullah saw dan para sahabat, mereka diminta mengorbankan nyawa dan tidak kurang yang berundur tidak sanggup untuk mengorbankan nyawa. Di zaman Nabi Ibrahim a.s, diminta mengorbankan anaknya Ismail dan alhamdulillah nabi Ibrahim berjaya dan lulus dengan cemerlang dan mendapat anugerah terbesar dan rahmat Allah. Menjadi yang dicintaiNya.


Hamparan pengorbanan yang disediakan Allah dalam kehidupan kita adalah satu proses untuk membebaskan jiwa kita dari keterikatan nafsu dan dunia. Bila kita melalui tahap demi tahap, dari yang kecil, sederhana insyaAllah kita akan mampu dan bersedia untuk menghadapi tahap yang lebih tinggi (seperti yang dilalui Rasulullah saw dan para sahabat). Ketika itu bersihlah jiwa kita dari cinta selain Allah dan hanya tinggal Cinta yang tulus, ikhlas hanya untukNya. Itulah jiwa yang sentiasa didekatkan Allah denganNya, jiwa yang sentiasa di dalam kasih sayangNya dan jiwa yang ditunggu-tungguNya untuk pulang dengan penuh keredhaanNya.


Sahabat yang dirahmati Allah, kesimpulannya pengorbanan itu proses membebaskan diri dan jiwa dari keterikatan nafsu dan dunia, buahnya Cinta yang tulus kepada Allah, hasilNya cinta dan rahmatNya yang tak tergambar hebatnya .... Pandangilah kehidupan ini dengan mata hati yang dapat melihat hamparan pengorbanan yang disedia Allah agar kita dapat melalui proses pengorbanan dengan jayanya. Selamat menyambut Hari Raya Aidil Adha : )



Hanya Allah Yang Maha Mengetahui

1 ulasan:

Matika Love 131020 berkata...

hanya allah yg maha mengetahui.allah maha besar..