Allah Ajarkan Berserah kepadaNya

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh,

Apa khabar sahabat semua. Agak lama rasanya saya tidak berkesempatan menulis di ruangan ini. Mungkin masa tidak mengizinkan. Apapun, saya mendoakan sahabat semua sentiasa dibimbing dan dituntun Allah menuju jalanNya. Indah hidup dituntun Allah ...

Pada hari ini saya ingin berkongsi pengalaman yang saya lalui diajar Allah berserah kepadaNya. Saya mempunyai penyakit gastrik yang agak ganjil. Lebih kurang 8 tahun yang lalu, saya sering dimasukkan ke hospital kerana apabila saya diserang rasa sakit, jantung saya akan berdegup dengan laju dan saya mengalami rasa seperti sakit dibahagian paru-paru. Sudah begitu banyak hospital pakar yang saya pergi dan sudah ramai doktor pakar saya temui namun saya tidak sembuh sepenuhnya. Alhamdulillah, semenjak saya memulakan herba yang diberikan oleh Dr Aslina, kawan baik saya, penyakit saya nampaknya beransur pulih. Namun ada masanya terutamanya jam 3 atau 4 pagi, saya akan terjaga kerana terasa sakit dan degupan jantung yang laju.

Kalau dahulu saya sering dibawa ke hospital walaupun jam 3 atau 4 pagi. Namun kerana kasihankan suami saya yang terpaksa bangun di awal pagi, saya cuba menenangkan kondisi saya dengan memakan ubat gastrik, meminum air zam-zam dan berdoa kepada Allah. Tidak saya nafikan ketakutan yang dirasa apabila diserang sakit tersebut dan kerana rasa ketakutan maka saya sering berdoa kepada Allah apabila dalam keadaan sakit itu. Alhamdulillah, lebih kurang dalam 30 minit sehingga 1 jam, keadaan saya pulih, insyaAllah tanpa perlu di bawa ke hospital.

Beberapa hari yang lalu, saya diserang lagi rasa kesakitan dan jantung saya berdegup laju. Namun pada kali ini, ada yang mengajar di dalam diri saya bahawa apa yang sedang saya alami itu merupakan perancangan Allah. Justeru saya malu untuk berdoa seolah memaksa Allah untuk tidak mengikut perancanganNya. Pada sesaat itu juga (begitu cepat sekali), diri dan badan saya terus merelakan kesakitan itu dan secara otomatisnya, saya mahu ikut saja kehendak dan perancangan Allah. Apa saja yang akan berlaku malam ini, saya relakan dan ikutkan ... itulah lebih kurang rasa hati saya.

Apa yang mengejutkan saya, degupan jantung yang laju kembali berdegup normal dalam tempoh beberapa saat saja selepas saya merelakannya. Saya sangat merasakan kedekatan Allah ketika itu, Allah yang sebenarnya sedang melakukan sesuatu dengan organ dibadan saya. Suasana seterusnya terasa indah sekali. Saya merasakan keindahan berserah kepada Allah. Seperti air yang mengalir dengan tenang tanpa ada halangan .... terus ia mengalir tanpa susah dan payah. Namun bayangkan apabila kita tidak mahu mengikuti apa yang dimahukan Allah dan kita berdoa seolah memaksa Allah mengikut kemahuan kita, kehidupan jadi huru hara, badan sakit dan jiwa merana ...

Hanya Allah Yang Maha Mengetahui

Ulasan

ainhany berkata…
Salam Kak Nora,

Subhanallah satu santapan jiwa yang berbekas. Rupa-rupanya inilah hikmahnya sakit dan kita seolahnya menidakkan perancanganNYAa..

Terima kasih atas perkongsian ini dgn katakuncinya "redza" dan berserah ..insya ALLAH akan cuba diselami dan diserap dlm diri ini
Ummu Ayman berkata…
Salam Ainhany,

Itulah Allah yang sebenarnya mengajarkan kita ... Kak Nora juga sangat mensyukuri nikmatNya ini. Alhamdulillah ...
ainhany berkata…
Salam kak nora,

Tambahan persoalan i:
Dari segi 'praktikalnya',apakah amalan yang sesuai di amalkan semasa uzur sharie bagi seseorang wanita.
Adakah gerakan seumpama solat wajar dilaksanakan atau diam dan melihat hikmah anugerah ilahi?

Terima kasih
Ummu Ayman berkata…
Assalamualaikum ainhany,

Banyakkan berzikir ... tapi zikir yang betul, mengarahkan jiwa tepat ke Allah ..insyaAllah kesan di jiwa seperti juga kita solat. InsyaAllah di sebelah pagi dan petang ada zikir Al-Mathurat yang SANGAT baik untuk diamalkan. InsyaAllah akan meninggalkan kesan kepada diri kita termasuk sifat dan perangai kita ...

Banyakkan juga membaca buku2 agama ...

InsyaAllah kalau kita sudah biasa khusyuk dalam solat ... di luar solat kita tetap khusyuk, sentiasa jiwa terikat ke Allah dan tak menimbulkan masalah ketika kita uzur ..

Hanya mungkin kita sering tewas dengan Qiyamulail ... bila uzur kita jarang bangun untuk berqiyamulail ... padahal tak ada malasalah untuk bagun malam walaupun kita tak boleh solat ...

Harap dapat membantu =)
Tanpa Nama berkata…
amalan ihsan....