POS TERKINI

Selasa, September 28, 2010

Allah Ajarkan Berserah kepadaNya

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh,

Apa khabar sahabat semua. Agak lama rasanya saya tidak berkesempatan menulis di ruangan ini. Mungkin masa tidak mengizinkan. Apapun, saya mendoakan sahabat semua sentiasa dibimbing dan dituntun Allah menuju jalanNya. Indah hidup dituntun Allah ...

Pada hari ini saya ingin berkongsi pengalaman yang saya lalui diajar Allah berserah kepadaNya. Saya mempunyai penyakit gastrik yang agak ganjil. Lebih kurang 8 tahun yang lalu, saya sering dimasukkan ke hospital kerana apabila saya diserang rasa sakit, jantung saya akan berdegup dengan laju dan saya mengalami rasa seperti sakit dibahagian paru-paru. Sudah begitu banyak hospital pakar yang saya pergi dan sudah ramai doktor pakar saya temui namun saya tidak sembuh sepenuhnya. Alhamdulillah, semenjak saya memulakan herba yang diberikan oleh Dr Aslina, kawan baik saya, penyakit saya nampaknya beransur pulih. Namun ada masanya terutamanya jam 3 atau 4 pagi, saya akan terjaga kerana terasa sakit dan degupan jantung yang laju.

Kalau dahulu saya sering dibawa ke hospital walaupun jam 3 atau 4 pagi. Namun kerana kasihankan suami saya yang terpaksa bangun di awal pagi, saya cuba menenangkan kondisi saya dengan memakan ubat gastrik, meminum air zam-zam dan berdoa kepada Allah. Tidak saya nafikan ketakutan yang dirasa apabila diserang sakit tersebut dan kerana rasa ketakutan maka saya sering berdoa kepada Allah apabila dalam keadaan sakit itu. Alhamdulillah, lebih kurang dalam 30 minit sehingga 1 jam, keadaan saya pulih, insyaAllah tanpa perlu di bawa ke hospital.

Beberapa hari yang lalu, saya diserang lagi rasa kesakitan dan jantung saya berdegup laju. Namun pada kali ini, ada yang mengajar di dalam diri saya bahawa apa yang sedang saya alami itu merupakan perancangan Allah. Justeru saya malu untuk berdoa seolah memaksa Allah untuk tidak mengikut perancanganNya. Pada sesaat itu juga (begitu cepat sekali), diri dan badan saya terus merelakan kesakitan itu dan secara otomatisnya, saya mahu ikut saja kehendak dan perancangan Allah. Apa saja yang akan berlaku malam ini, saya relakan dan ikutkan ... itulah lebih kurang rasa hati saya.

Apa yang mengejutkan saya, degupan jantung yang laju kembali berdegup normal dalam tempoh beberapa saat saja selepas saya merelakannya. Saya sangat merasakan kedekatan Allah ketika itu, Allah yang sebenarnya sedang melakukan sesuatu dengan organ dibadan saya. Suasana seterusnya terasa indah sekali. Saya merasakan keindahan berserah kepada Allah. Seperti air yang mengalir dengan tenang tanpa ada halangan .... terus ia mengalir tanpa susah dan payah. Namun bayangkan apabila kita tidak mahu mengikuti apa yang dimahukan Allah dan kita berdoa seolah memaksa Allah mengikut kemahuan kita, kehidupan jadi huru hara, badan sakit dan jiwa merana ...

Hanya Allah Yang Maha Mengetahui

Rabu, September 08, 2010

Allah Ajarkan Islam Itu Mudah

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh,

Dengan menyebut namaMu Ya Allah Yang sentiasa mengajarkan kami dengan penuh kelembutan dan kasih sayang ... Alhamdulillah bersyukur ke hadrat Allah kita sudah dapat menjalani ibadah berpuasa di bulan Ramadhan dan hari ini sudah masuk hari ke 29. Suasana pagi ini sangat tenang, seolah-olah tidak ada angin yang bertiup, pancaran matahari ditutupi lapisan demi lapisan memberikan satu suasana yang nyaman .... Adakah malam tadi malam lailatuqadar? Hanya Allah Yang Maha Mengetahui ... sebenarnya saya jarang suka membincangkan tentang bilakah jatuhnya malam tersebut dan saya sangat khuatir dengan slogan seperti mencari lailatul qadar ... saya takuti ia menjejaskan keikhlasan kita beribadah hanya kerana Allah dan tidak punya apa-apa kepentingan diri ... yang dikejarnya redha Allah ... Apapun, semoga ramadhan kali ini menjadi satu latihan yang berkesan terhadap diri kita sehingga ia dapat membentuk perilaku yang lebih baik, perilaku orang yang bertakwa insyaAllah ...

Hari ini saya ingin membincangkan tentang Islam itu mudah, satu kefahaman yang saya perolehi beberapa waktu dahulu semenjak saya mengikuti pengajian dari Pak Ustaz Abu Sangkan. Alhamdulillah, peristiwa yang berlaku di bulan Ramadhan ini memantapkan lagi keyakinan saya bahawa Islam itu mudah ...

Cuba bayangkan sikap kita yang tidak baik yang begitu sukar kita ubah. Diri kita yang sebenar tahu bahawa sikap itu tidak baik dan diri kita pastinya mahu berubah sikap. Tapi perubahan diri ini sangat mudah dibicarakan tapi tak semudah untuk dilakukan. Anda setuju dengan saya? Saya rasa anda setuju : ) Saya tidak ketinggalan ... banyaknya sikap yang tidak baik yang ingin sekali saya ubah tapi rasanya sangat tidak berdaya ... ya, kerana kekuatan dan daya itu tidak ada pada diri kita tapi ada pada Allah ... hanya dengan daya dan kekuatan dari Allah kita dapat berubah ...

Alhamdulillah dibulan Ramadhan ini ada yang saya kenali telah membuat perkongsian betapa perubahan sebuah sikap di dalam diri begitu mudah berlaku tanpa melalui susah dan lelah ... ada satu kekuatan yang dirasa dalam diri di dalam membentuk sikap yang baru ... Dirinya hanya tinggal mengikut saja kehendak hati yang ketika itu mahukan sikap yang baru itu ... sangat mudah ... sudah diletakkan dalam hati maka jadinya mudah ... Padahal tidak dapat dia bayangkan dahulunya ianya satu perkara yang sangat sukar dilakukan .... Apa yang dilakukan hanya memastikan dia benar-benar dapat melemahkan nafsunya di sepanjang Ramadhan dan membantu mengukuhkan ruhaninya dengan solat dan ibadah pada malamnya. Itu saja, dan berlaku satu perubahan hebat yang dirasanya tidak dapat dibeli dengan wang seberapa banyak pun ....

Perkongsian ini sangat meyakinkan saya bahawa Islam itu mudah and change of attitude can be easy ... really! Allah sudah menyediakan latihannya iaitulah 5 perkara dalam Rukun Islam, Mengucap dua kalimah Syahadah, Solat lima waktu, Puasa di bulan Ramadhan, Menunaikan zakat dan Haji di Baitullah bagi yang mampu. Masalahnya kenapa sudah kita lakukan tapi masih tiada berlaku perubahan sikap dan diri? Pastinya kaedah melakukan itu yang tidak tepat ... Justeru jangan susah hati dong ... kita belajar untuk melakukan ibadah wajib dalam Rukun Islam. Itu fardhu ain ... kalau mahu belajar yang lain-lain silakan tapi pastikan utamakan yang ini dulu .... InsyaAllah kita akan dapat menyusuri perjalanan terindah bersama cinta sejati yang akan tetap menemani : )

Selamat Menyambut hari raya aidilfitri dengan kesedaran fitri yang suci ... Maafkan salah dan silap saya di dalam menuturkan kata-kata di blog ini. Semoga kebahagiaan kan terus menyapa sampai bila-bila ...

Hanya Allah Yang Maha Mengetahui