Allah Ajarkan Mengukuhkan Kesedaran Ruhani di bulan Ramadhan

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh,


Mari sama-sama kita memulakan dengan menyebut Nama Tuhan kita Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani kita semua setiap saat dan ketika ... Mari kita sama-sama bersyukur kepada Allah Tuhan kita yang telah memberi kita umur sampai ke hari ini untuk memasuki bulan yang penuh berkah ... bulan Ramadhan.


Sebelumnya saya ingin mengambil kesempatan mengucapkan terima kasih kepada semua fasi dan guru-guru yang terlibat yang telah sama-sama menjayakan Kursus Solat Khusyuk untuk pelajar-pelajar tingkatan 2 di sekolah seksyen 5 wangsa maju. Alhamdulillah lebih 200 pelajar telah hadir ke kursus tersebut dan tak dapat saya ukirkan rasa terima kasih kepada Allah yang telah menguruskan kursus tersebut dengan cukup sempurna. Saya juga merasa terharu dengan kehadiran Ahli Jawatankuasa Solat Center Malaysia dan alumni Kursus Solat Khusyuk yang sama-sama turun padang untuk berkongsi apa yang telah dipelajari di dalam Kursus Solat khusyuk. Segala yang dicurahkan insyaAllah akan mendapat sebaik-baik ganjaran dari Allah. Semoga akan lahir di kalangan anak-anak ini mereka yang akan membawa ummah ke jalan Allah insyaAllah.


Pada hari pertama kita berpuasa di bulan Ramadhan tahun ini, saya ingin berkongsi apa yang diajarkan Allah kepada saya tentang hakikat berpuasa di bulan Ramadhan. Saya masih ingat lagi di satu sesi usrah yang saya hadiri pada tahun lepas di mana sahabat-sahabat seusrah dengan saya begitu semangat berkongsi amalan-amalan yang dilakukan di dalam bulan Ramadhan seperti bangun malam bertahajud dan berzikir kepada Allah, membaca Al-Qur'an dan sebagainya. Perbincangan banyak berkisar kepada festival amal di dalam bulan Ramadhan ini. Saya mendengarkan dengan teliti perbincangan tersebut dan dihujungnya saya bertanya kepada sahabat-sahabat saya; bagaimana kita nak pastikan apa yang kita laksanakan pada bulan Ramadhan ini berterusan selepas bulan Ramadhan nanti? Terdiam semuanya, mengambil masa untuk berfikir ... namun akhirnya tiada siapa yang dapat memberi jawapan.

Sahabat sekelian, cuba kita singkap kembali amalan kita selepas bulan Ramadhan, semakin hari semakin merosot bukan? Tidak sama seperti mana amalan kita di bulan Ramadhan dan yang paling menyedihkan apabila kita melakukan dosa dan maksiat selepasnya di mana di dalam bulan Ramadhan kita menangis-nangis memohon ampun kepada Allah, bertaubat nasuha .. Di mana silapnya ... Padahal Allah telah menyebut bahawa;


"Telah diwajibkan ke atas kamu berpuasa sepertimana diwajibkan ke atas orang-orang yang terdahulu dari kamu agar kamu bertakwa"


Maka hasilnya puasa di bulan Ramadhan pastinya takwa. Namun sudah berapa tahun kita berpuasa di bulan Ramadhan tapi kenapa kita masih merasa jauh dari mencapai tahap takwa? Pasti ada silapnya di dalam amalan kita berpuasa ...


Sahabat sekelian, ketika datangnya bulan Ramadhan, di mana tumpuan kita dalam beramal ... puasanya atau solat sunat tarawikh dan ibadah di malamnya? Saya rasa kita lebih memberi tumpuan kepada amalan-amalan di malamnya bukan? Yang mana fardhu? Puasanya atau amalan-amalan di malamnya? Pastinya puasa itu yang fardhunya tapi kita jarang memberi tumpuan kepada kesempurnaan fardhunya itu yang mana kalau kita buat dengan betul akan menghasilkan insan yang bertakwa kepada Allah seperti firman Allah tadi.

Sila rujuk kembali penulisan saya terdahulu berkaitan dengan Puasa ( Allah ajarkan hakikat berpuasa di bulan Ramadhan). Saya ada menyebutkan bahawa jasad kita bukanlah diri kita. Ini tangan kita, tapi tangan kita itu bukan kita. Ini kaki kita tapi itu bukan kita ... segala jasad yang ada pada kita akan kembali ke tempat asalnya, tanah ... tapi diri kita yang sebenarnya iaitu ruh (jiwa) akan kembali pada Allah ... Ini adalah kerana kita semua sebenarnya adalah ruh (jiwa) yang datangnya dari Allah dan fitrahnya sentiasa ingin kembali kepada Allah. Apabila ruhani kita yang mengendalikan diri kita insyaAllah kita akan menjadi Khalifah Allah yang menunaikan amanah dan tanggungjawab kepada penciptaNya kerana sememangnya ruh yang ditiupkan Allah ke dalam jasad kita (tanah yang diberi bentuk dan rupa) adalah suci dan fitrahnya sentiasa mahu dekat dengan Allah dan sentiasa tunduk kepada kehendak Allah. Berbeza dengan jasad kita yang datangnya dari tanah, fitrahnya sentiasa ingin ke tanah; rumah, kereta, pasangan yang berbeza yang datangnya dari tanah : ) , tanah berhektar-hektar ... itulah kehendak jasad dan nafsu ...

Kegagalan kita untuk sentiasa tunduk kepada Allah kerana selama ini, nafsu dan syaitan yang mengendali diri kita. Apabila ikatan ruh (diri kita yang sebenar) dengan Allah tidak mantap maka nafsu atau syaitan yang menjadi pemandu fikiran dan perasaan kita. Namun apabila kita berpuasa di bulan Ramadhan (bulan di mana iblis dan syaitan diikat oleh Allah), kekuatan nafsu berkurangan dan semakin mengecil. Ketika itu Ruh akan mula mengendali diri atau saya lebih suka menyebut suasana ini sebagai kesedaran Ruhani. Kesedaran ruhani mula mengendali fikiran dan perasaan kita. Diri kita secara keseluruhannya di pandu oleh ruhani. Justeru kita akan dapati hati dan jiwa kita mula tenang dan suka kepada perkara-perkara yang mendekatkan diri dengan Allah. Apabila kesedaran ruhani mula aktif bererti ada hubungan langsung antara kita (jiwa yang dialiri ruh itu) dan Allah. Maka kita akan dipandu dengan sinar ketuhanan. Allah yang memandu kita sebenarnya, menyinarkan cahayaNya ke dalam jiwa kita dan mengurniakan ilham ketakwaan ke dalam diri kita. Justeru ketika kita berpuasa, aku yang sebenar (jiwa yang dialiri ruh) menjadi pemandu kepada jasad. Aku yang sebenar yang mengendali diri. Ilham ketakwaan dimasukkan Allah ke dalam jiwa kita dan kita mahu lakukan apa-apa yang mendekatkan diri dengan Allah.

Cuba perlahan-lahan perhatikan apa yang terjadi pada diri kita ketika berpuasa. Dari pagi kita berpuasa, kesedaran ruhani semakin kukuh, kita kukuhkan lagi dengan solat yang khusyuk pada waktu zuhur dan asar. Cuba perhatikan solat asar kita ... begitu mudah khusyuknya pada Allah bukan? Kesedaran ruhani benar-benar telah mengendali diri kita. Kita mengikut kehendaknya. Kita rasa dekat dengan Allah. Kemudian lebih kurang jam 6:30 petang kita mula ke pasar juadah ... bayangkan kita lihat makanan di sana sini ... maka ketika ini kalau tidak dikawal nafsu dan kehendak makan, maka kita akan mula membeli berbagai-bagai macam makanan dan pada ketika ini, kesedaran ruhani yang sudah semakin mantap mengendali diri seolah ditarik oleh kesedaran nafsu yang mula membesar. Nafsu mula mengendali fikiran dan perasaan kita. Tiba waktu maghrib, kita pun makan dengan kenyangnya dan ketika ini pastinya diri kita telah berjaya dikendalikan oleh nafsu. Kesedaran ruhani mula jatuh ke tahap yang lebih rendah dari kesedaran nafsu. Kemudian kita solat Maghrib dan Isyak dengan rasa penuh kekenyangan dan saya rasa ketika ini pastinya kekhusyukan kita menurun sekurang-kurangnya 50 peratus (dari solat asar).

Namun perhatikan sekiranya kita tidak pergi ke pasar juadah, insyaAllah kesedaran ruhani dapat dipertahankan. Apabila tiba waktu berbuka, kita berbuka ala kadar sekadar untuk memberi tenaga semula kepada badan kita. Contohnya kita berbuka dengan tiga biji kurma dan air. Bayangkan solat maghrib kita ... InsyaAllah ketika itu tidak sukar untuk kita khusyuk dan meningkatkan lagi kesedaran ruhani yang sediada. Selepas solat maghrib barulah kita makan nasi (juga dengan ala kadar) dan bersiap untuk solat Isyak dan Tarawikh. InsyaAllah pada waktu itu kesedaran ruhani kita terus dikukuhkan lagi. InsyaAllah pada malamnya dengan kesedaran ruhani yang mantap, akan mudah kita untuk bangun malam dan beribadah kepada Allah.

Begitulah mantapnya kesedaran ruhani kita pada satu hari kita berpuasa. Bayangkan proses yang sama kita ulang selama satu bulan berpuasa. Pastinya kesedaran ruhani begitu kukuh hingga dapat melahirkan insan bertakwa di akhir Ramadhan insyaAllah. Justeru kesedaran ruhani insan yang bertakwa ini akan terus membimbingnya dengan sinar Ilahi untuk terus beristiqamah dengan amalan yang dilakukan di sepanjang bulan Ramadhan.

Jom sama-sama kita masuki latihan takwa di bulan Ramadhan. Jom nekad untuk katakan tidak ke pasar juadah : ) dan berbuka dengan apa yang ada ... Jangan lupa solat dengan khusyuk dan berzikir dengan mengarahkan jiwa tepat kepada Allah.

Semoga kita 'graduate' sebagai insan bertakwa di akhir Ramadhan nanti insyaAllah dan kembali ke fitrah yang suci sebagai "Ruh" yang ditiupkan Allah yang menjadi pengendali diri, fikiran dan perasaan sehingga kita kembali kepadaNya ...

Hanya Allah Yang Maha Mengetahui

Ulasan

ainhany berkata…
salam k.nora,

subhanallah..
ctatn yng amat 'halus' dan lembut menyentuh qalbu..segalanya bermula dari pena hati yang mantop.

InsyaALAH sedang belajar utk mendidik dan menjinak ruhani.Bersyukur dan berpada.
Ummu Ayman berkata…
Wsalam Ainhany,

Alhamdulillah, sekadar sharing suatu perkara yang sudah lama kita terlepas ... tapi bersyukur kita masih tidak terlewat untuk kembali menghayati puasa yang sebenarnya ..
normaznah berkata…
Assalamualaikum Pn Nora, semoga puasa kita kali ini lebih baik daripada yang lalu. Semoga dikurniakan pencerahan hati oleh Allah. Natijahnya lahir sifat taqwa dalam diri kita semua. Amin. Sekiranya Pn Nora berpeluang bertemu guru kita, sampaikan salam saya dan minta didoakan saya sekeluarga dan semua kita ye.
Ummu Ayman berkata…
Wa'alaikummussalam,

Dr Maznah ya? InsyaAllah saya sampaikan nanti pada Pak Ustaz Abu Sangkan. InsyaAllah saya ke sana hari ini. Selamat Berpuasa ..
Ummi Hajjah berkata…
Terima kasih atas perkongsian ilmu ini. Jika kami di pasir gudang berminat untuk mengadakan program kursus solay kyusyuk ini gimana ya?
Ummu Ayman berkata…
Salam Ummi Hajjah, insyaAllah boleh diuruskan. Cadangnya bila? Pihak Ummi organize kan tempat, peserta, logistik ... kami uruskan penceramahnya ... untuk detailnya boleh sms terus pada saya 0196241965 :)