Isnin, Ogos 23, 2010

Allah Ajarkan Tentang Kalimah Syahadah





Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh

Dimulakan dengan menyebut namaMu Yang Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani .. Alhamdulillah, mari sama-sama kita bersyukur ke hadrat Allah kita sudah memasuki hari ke 13 berpuasa. Begitu cepat masa berjalan tak sedar sudah hampir ke pertengahan bulan Ramadhan. Alhamdulillah saya dan rakan-rakan telah dapat mengikuti Training of Trainers Solat Khusyuk dengan Pak Ustaz Abu Sangkan di Solat Center Jatibening, Jakarta (gambar di atas) baru-baru ini dan sangat-sangat bersyukur ke hadrat Allah saya dapat mengikutinya. Alhamdulillah saya mendapatkan sesuatu yang tak pernah saya terdugakan sebelum ini .. suatu perjalanan spiritual yang sebenarnya … sudah berapa lama kita terlepas perjalanan ruhani yang sangat memberi kenikmatan yang menambahkan lagi iman di hati insyaAllah … Sahabat yang dirahmati Allah, mari sama-sama kita berdoa agar kita termasuk golongan yang dipilih Allah untuk dapat memasuki perjalanan ruhani bertemu dengan Nya.

Bagaimana puasa sahabat-sahabat semua selepas masuk hari ketigabelas? Adakah puasa itu dapat meningkatkan kekhusyukan solat? Sekiranya betul kaedah puasa yang kita jalani, insyaAllah kekhusyukan solat akan meningkat. Sekiranya tidak, ada lagi penambahbaikan yang perlu kita lakukan ..Yuk, ada masa lagi …masih ada lagi insyaAllah lebih separuh bulan untuk kita berusaha mencapai target Puasa untuk menjadi orang yang bertakwa kepada Allah.

Saya sarankan agar sahabat semua dapat menonton siaran rakaman metro TV keajaiban solat dengan Pak Ustaz Abu Sangkan di bawah tajuk Mengapa Berpuasa. Semoga dapat membantu kita di dalam menambahbaikkan lagi tingkatan puasa kita agar tercapai target berpuasa di bulan Ramadhan ini iaitu untuk menjadi insan yang bertakwa, insyaAllah. http://www.metrotvnews.com/index.php/metromain/newsprograms/2010/08/11/6492/Mengapa-Berpuasa

Mengapa kita berpuasa? Berpuasa di bulan Ramadhan adalah salah satu dari rukun Islam yang lima. Kelima-limanya saling berkaitan. Rukun Islam yang lima adalah satu latihan yang dicipta Allah untuk mengembalikan kita ke fitrah kita yang sebenar iaitu Ruh yang suci yang ditiupkan ke dalam tanah yang diberi bentuk. Dengan kembalinya kita ke fitrah yang suci itu insyaAllah kita menjadi orang yang beriman, wakil Allah yang hebat di dunia ini.

Kalimah Syahadah adalah suatu perjanjian kita dengan Allah. Perjanjian ini berasal dari rencana Allah bahawa kita akan diturunkan sebagai wakil Allah di muka bumi. Ketika kita masih di alam ruh (diri kita yang sebenarnya) kita sudah berikrar dan berjanji kepada Allah. Maka Kalimah Syahadah itu menuntut agar setiap apa yang kita lakukan di dunia ini harus kembali kepada tujuan kita dihantar ke muka bumi ini iaitu menjadi Wakil Allah. Tidak ada tujuan yang lain dari itu, Tiada Tuhan Yang Disembah Melainkan Allah … Maksud yang disembah di sini yang sering disalahertikan di mana ramai yang beranggapan perkataan 'yang disembah' hanya bermaksud sembahan di dalam ibadah khusus seperti solat, puasa dan sebagainya …. Justeru apabila diri tidak menyembah berhala maka dianggap sudah sempurna Kalimah Syahadah. Kesempurnaan Kalimah Syahadah terjadi apabila seluruh kehidupan kita di dunia ini berada di dalam ruang lingkup perjanjian dengan Allah sebelum diturunkan di dunia ini lagi … Tidak ada tujuan yang lain SELAIN DARI MENJADI WAKIL ALLAH di muka bumi ini.

"Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada para malaikat, 'Aku hendak menjadikan khalifah di bumi ...' " (Al-Baqarah 2: 30)

Justeru jika kita hidup di dunia ini bertujuan untuk mengumpul harta bagi kepentingan diri dan keluarga sendiri, maka kita sudah mengengkari Perjanjian yang termaktub di dalam Kalimah Syahadah itu. Kita bertuhankan harta, diri dan keluarga. Maaf sekiranya agak tegas perkara ini tetapi inilah yang tidak diberi penekanan dalam masyarakat hari ini yang menyebabkan kehidupan jadi sengsara dengan berbagai masalah yang menimpa.

Rasulullah saw berpesan; “Setiap perkara bermula dengan niat”. Kita akan mendapat balasan mengikut apa yang kita niatkan. Bayangkan apa yang kita niatkan bila kita pergi keluar rumah bekerja … Kenapa kita pergi mencari rezeki? Yuk, kita baiki sedikit dan betulkan niat kita sebagai wakil Allah untuk membesarkan anak-anak kita, untuk memberi pendidikan terbaik untuk anak-anak kita, untuk membantu ibubapa, sanak saudara dan orang-orang yang memerlukan, untuk membantu kerja-kerja perjuangan menegakkan Islam sehingga Islam tertegak di bumi ini, untuk membantu ekonomi Islam dan apa saja asalkan untuk Allah dan bukan untuk diri kita sendiri.

Kalimah Syahadah yang kedua iaitu "Aku bersaksikan bahawa Rasulullah saw adalah pesuruh Allah". Rasulullah saw dihantar ke dunia ini sebagai rahmat kepada alam semesta, mengenalkan manusia kepada TuhanNya dan mengajak manusia untuk kembali bertuhankan Allah serta menjalankan peranan sebagai wakilNya di bumi. Kita yang menjadi wakil Allah juga sepatutnya menjadi rahmat kepada alam semesta, menyambung perjuangan Rasulullah saw, menegakkan Islam secara berjemaah dan menyebarkan dakwah Islam di dalam ruang lingkup peranan yang dapat kita berikan secara maksimanya (bukan secara minima atau part time).

Ketika di TOT baru-baru ini, Pak Ustaz Abu Sangkan menceritakan bagaimana sikap seorang wakil Allah yang sebenarnya. Kata Pak Ustaz, setiap kali seorang wakil Allah itu bangun dari tidur, dia akan berusaha melaksanakan tugasan dan tanggungjawabnya sebaik mungkin sebagai wakil Allah kerana baginya sikap terhadap Allah perlu ditanggapi dengan serius dan bukan dihadapi dengan secara bermain-main. Allah berfirman di dalam salah satu ayatNya yang bermaksud, ".. apakah kamu mengira Kami menciptakan kamu secara bermain-main?"

Pada seorang wakil Allah yang sebenar, dia mungkin hanya mempunyai satu hari itu saja lagi dan hari itu akan digunakan dengan sepenuhnya untuk melaksanakan tugasannya. Justeru seorang wakil Allah sewajarnya merupakan seorang yang sangat produktif dan efektif. Dia tidak suka menangguh kerja. Setelah menumpukan perhatian secara serius kepada tugasannya, dia beristirehat dengan solat yang sangat memberi ketenangan dan kebahagiaan. Hidup dan rezekinya diurus Allah cukup sempurna ... tidak ada resah dan gelisah .. kebahagiaan menyapanya sepanjang kehidupannya.

Sahabat sekelian, ramai di antara kita menghabiskan umur dan waktu untuk mencari kesenangan dan kebahagiaan hidup. Namun, tidak juga tenang dan bahagia malah bertambah masalah di dalam kehidupan. Sesekala datang musibah kepada kita tanda kasih sayang Allah untuk memaksa kita datang kepadaNya, namun ramai yang tidak mengendahkannya dan lebih suka bergantung kepada selainNya bagi menghadapi musibah yang dihadapi. Justeru terkapai-kapailah di dalam kehidupan yang tak jelas arah tujuan. Masa muda hilang begitu saja, kebahagiaan tetap tidak dirasa ...

Ketahuilah sahabatku yang dirahmati Allah, ketenangan dan kebahagiaan itu sangat dekat sekali denganmu ... Bebaskan keterikatan dengan hawa nafsu dan dunia yang sedang menghalangmu dari kebahagiaan yang sangat dekat itu. Kembalilah kepada perjanjianmu dengan Allah, yang menghantarmu ke dunia ini sebagai dutaNya yang sangat istimewa ...


Hanya Allah Yang Maha Mengetahui

Rabu, Ogos 11, 2010

Allah Ajarkan Mengukuhkan Kesedaran Ruhani di bulan Ramadhan

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh,


Mari sama-sama kita memulakan dengan menyebut Nama Tuhan kita Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani kita semua setiap saat dan ketika ... Mari kita sama-sama bersyukur kepada Allah Tuhan kita yang telah memberi kita umur sampai ke hari ini untuk memasuki bulan yang penuh berkah ... bulan Ramadhan.


Sebelumnya saya ingin mengambil kesempatan mengucapkan terima kasih kepada semua fasi dan guru-guru yang terlibat yang telah sama-sama menjayakan Kursus Solat Khusyuk untuk pelajar-pelajar tingkatan 2 di sekolah seksyen 5 wangsa maju. Alhamdulillah lebih 200 pelajar telah hadir ke kursus tersebut dan tak dapat saya ukirkan rasa terima kasih kepada Allah yang telah menguruskan kursus tersebut dengan cukup sempurna. Saya juga merasa terharu dengan kehadiran Ahli Jawatankuasa Solat Center Malaysia dan alumni Kursus Solat Khusyuk yang sama-sama turun padang untuk berkongsi apa yang telah dipelajari di dalam Kursus Solat khusyuk. Segala yang dicurahkan insyaAllah akan mendapat sebaik-baik ganjaran dari Allah. Semoga akan lahir di kalangan anak-anak ini mereka yang akan membawa ummah ke jalan Allah insyaAllah.


Pada hari pertama kita berpuasa di bulan Ramadhan tahun ini, saya ingin berkongsi apa yang diajarkan Allah kepada saya tentang hakikat berpuasa di bulan Ramadhan. Saya masih ingat lagi di satu sesi usrah yang saya hadiri pada tahun lepas di mana sahabat-sahabat seusrah dengan saya begitu semangat berkongsi amalan-amalan yang dilakukan di dalam bulan Ramadhan seperti bangun malam bertahajud dan berzikir kepada Allah, membaca Al-Qur'an dan sebagainya. Perbincangan banyak berkisar kepada festival amal di dalam bulan Ramadhan ini. Saya mendengarkan dengan teliti perbincangan tersebut dan dihujungnya saya bertanya kepada sahabat-sahabat saya; bagaimana kita nak pastikan apa yang kita laksanakan pada bulan Ramadhan ini berterusan selepas bulan Ramadhan nanti? Terdiam semuanya, mengambil masa untuk berfikir ... namun akhirnya tiada siapa yang dapat memberi jawapan.

Sahabat sekelian, cuba kita singkap kembali amalan kita selepas bulan Ramadhan, semakin hari semakin merosot bukan? Tidak sama seperti mana amalan kita di bulan Ramadhan dan yang paling menyedihkan apabila kita melakukan dosa dan maksiat selepasnya di mana di dalam bulan Ramadhan kita menangis-nangis memohon ampun kepada Allah, bertaubat nasuha .. Di mana silapnya ... Padahal Allah telah menyebut bahawa;


"Telah diwajibkan ke atas kamu berpuasa sepertimana diwajibkan ke atas orang-orang yang terdahulu dari kamu agar kamu bertakwa"


Maka hasilnya puasa di bulan Ramadhan pastinya takwa. Namun sudah berapa tahun kita berpuasa di bulan Ramadhan tapi kenapa kita masih merasa jauh dari mencapai tahap takwa? Pasti ada silapnya di dalam amalan kita berpuasa ...


Sahabat sekelian, ketika datangnya bulan Ramadhan, di mana tumpuan kita dalam beramal ... puasanya atau solat sunat tarawikh dan ibadah di malamnya? Saya rasa kita lebih memberi tumpuan kepada amalan-amalan di malamnya bukan? Yang mana fardhu? Puasanya atau amalan-amalan di malamnya? Pastinya puasa itu yang fardhunya tapi kita jarang memberi tumpuan kepada kesempurnaan fardhunya itu yang mana kalau kita buat dengan betul akan menghasilkan insan yang bertakwa kepada Allah seperti firman Allah tadi.

Sila rujuk kembali penulisan saya terdahulu berkaitan dengan Puasa ( Allah ajarkan hakikat berpuasa di bulan Ramadhan). Saya ada menyebutkan bahawa jasad kita bukanlah diri kita. Ini tangan kita, tapi tangan kita itu bukan kita. Ini kaki kita tapi itu bukan kita ... segala jasad yang ada pada kita akan kembali ke tempat asalnya, tanah ... tapi diri kita yang sebenarnya iaitu ruh (jiwa) akan kembali pada Allah ... Ini adalah kerana kita semua sebenarnya adalah ruh (jiwa) yang datangnya dari Allah dan fitrahnya sentiasa ingin kembali kepada Allah. Apabila ruhani kita yang mengendalikan diri kita insyaAllah kita akan menjadi Khalifah Allah yang menunaikan amanah dan tanggungjawab kepada penciptaNya kerana sememangnya ruh yang ditiupkan Allah ke dalam jasad kita (tanah yang diberi bentuk dan rupa) adalah suci dan fitrahnya sentiasa mahu dekat dengan Allah dan sentiasa tunduk kepada kehendak Allah. Berbeza dengan jasad kita yang datangnya dari tanah, fitrahnya sentiasa ingin ke tanah; rumah, kereta, pasangan yang berbeza yang datangnya dari tanah : ) , tanah berhektar-hektar ... itulah kehendak jasad dan nafsu ...

Kegagalan kita untuk sentiasa tunduk kepada Allah kerana selama ini, nafsu dan syaitan yang mengendali diri kita. Apabila ikatan ruh (diri kita yang sebenar) dengan Allah tidak mantap maka nafsu atau syaitan yang menjadi pemandu fikiran dan perasaan kita. Namun apabila kita berpuasa di bulan Ramadhan (bulan di mana iblis dan syaitan diikat oleh Allah), kekuatan nafsu berkurangan dan semakin mengecil. Ketika itu Ruh akan mula mengendali diri atau saya lebih suka menyebut suasana ini sebagai kesedaran Ruhani. Kesedaran ruhani mula mengendali fikiran dan perasaan kita. Diri kita secara keseluruhannya di pandu oleh ruhani. Justeru kita akan dapati hati dan jiwa kita mula tenang dan suka kepada perkara-perkara yang mendekatkan diri dengan Allah. Apabila kesedaran ruhani mula aktif bererti ada hubungan langsung antara kita (jiwa yang dialiri ruh itu) dan Allah. Maka kita akan dipandu dengan sinar ketuhanan. Allah yang memandu kita sebenarnya, menyinarkan cahayaNya ke dalam jiwa kita dan mengurniakan ilham ketakwaan ke dalam diri kita. Justeru ketika kita berpuasa, aku yang sebenar (jiwa yang dialiri ruh) menjadi pemandu kepada jasad. Aku yang sebenar yang mengendali diri. Ilham ketakwaan dimasukkan Allah ke dalam jiwa kita dan kita mahu lakukan apa-apa yang mendekatkan diri dengan Allah.

Cuba perlahan-lahan perhatikan apa yang terjadi pada diri kita ketika berpuasa. Dari pagi kita berpuasa, kesedaran ruhani semakin kukuh, kita kukuhkan lagi dengan solat yang khusyuk pada waktu zuhur dan asar. Cuba perhatikan solat asar kita ... begitu mudah khusyuknya pada Allah bukan? Kesedaran ruhani benar-benar telah mengendali diri kita. Kita mengikut kehendaknya. Kita rasa dekat dengan Allah. Kemudian lebih kurang jam 6:30 petang kita mula ke pasar juadah ... bayangkan kita lihat makanan di sana sini ... maka ketika ini kalau tidak dikawal nafsu dan kehendak makan, maka kita akan mula membeli berbagai-bagai macam makanan dan pada ketika ini, kesedaran ruhani yang sudah semakin mantap mengendali diri seolah ditarik oleh kesedaran nafsu yang mula membesar. Nafsu mula mengendali fikiran dan perasaan kita. Tiba waktu maghrib, kita pun makan dengan kenyangnya dan ketika ini pastinya diri kita telah berjaya dikendalikan oleh nafsu. Kesedaran ruhani mula jatuh ke tahap yang lebih rendah dari kesedaran nafsu. Kemudian kita solat Maghrib dan Isyak dengan rasa penuh kekenyangan dan saya rasa ketika ini pastinya kekhusyukan kita menurun sekurang-kurangnya 50 peratus (dari solat asar).

Namun perhatikan sekiranya kita tidak pergi ke pasar juadah, insyaAllah kesedaran ruhani dapat dipertahankan. Apabila tiba waktu berbuka, kita berbuka ala kadar sekadar untuk memberi tenaga semula kepada badan kita. Contohnya kita berbuka dengan tiga biji kurma dan air. Bayangkan solat maghrib kita ... InsyaAllah ketika itu tidak sukar untuk kita khusyuk dan meningkatkan lagi kesedaran ruhani yang sediada. Selepas solat maghrib barulah kita makan nasi (juga dengan ala kadar) dan bersiap untuk solat Isyak dan Tarawikh. InsyaAllah pada waktu itu kesedaran ruhani kita terus dikukuhkan lagi. InsyaAllah pada malamnya dengan kesedaran ruhani yang mantap, akan mudah kita untuk bangun malam dan beribadah kepada Allah.

Begitulah mantapnya kesedaran ruhani kita pada satu hari kita berpuasa. Bayangkan proses yang sama kita ulang selama satu bulan berpuasa. Pastinya kesedaran ruhani begitu kukuh hingga dapat melahirkan insan bertakwa di akhir Ramadhan insyaAllah. Justeru kesedaran ruhani insan yang bertakwa ini akan terus membimbingnya dengan sinar Ilahi untuk terus beristiqamah dengan amalan yang dilakukan di sepanjang bulan Ramadhan.

Jom sama-sama kita masuki latihan takwa di bulan Ramadhan. Jom nekad untuk katakan tidak ke pasar juadah : ) dan berbuka dengan apa yang ada ... Jangan lupa solat dengan khusyuk dan berzikir dengan mengarahkan jiwa tepat kepada Allah.

Semoga kita 'graduate' sebagai insan bertakwa di akhir Ramadhan nanti insyaAllah dan kembali ke fitrah yang suci sebagai "Ruh" yang ditiupkan Allah yang menjadi pengendali diri, fikiran dan perasaan sehingga kita kembali kepadaNya ...

Hanya Allah Yang Maha Mengetahui

Isnin, Ogos 02, 2010

Allah Ajarkan Hidup Berketuhanan

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh,


Dengan NamaMu Ya Allah, Yang Maha Pemurah dan Mengasihani kami. Menemui sahabat-sahabat semua semoga Allah memilih kita untuk dibimbingNya dan dituntunNya sehingga kita menjadi orang yang benar-benar yakin kepada Allah dan bertakwa kepadaNya. Alhamdulillah saya sangat bersyukur ramai yang telah dapat menghadiri Kursus Solat Khusyuk dan halaqah yang dijalankan setiap minggu. Bermula dengan Masjid Lama di Bt 6 Gombak, diteruskan di Masjid Klang Gate, Hulu Kelang, Masjid Al Hidayah Seksyen 18 Shah Alam minggu berikutnya, diteruskan kursus ke Kucing Serawak, Masjid Bandar Bukit Puchong dan Surau Hj Ismail, Bandar Puncak Alam menutup tirai sebelum Ramadhan insyaAllah. Halaqah Solat Khusyuk juga dapat diadakan pada setiap minggu alhamdulillah dan saya bersyukur kerana dapat menghadiri siri halaqah yang dijalankan yang membuatkan saya faham dan dapat merasai hidup berketuhanan. Itulah kehidupan yang sebenarnya .... kehidupan penuh kebahagiaan ...

Topik ini sangat berat untuk saya tulis dan saya memohon pada Allah untuk membantu saya menyiapkan penulisan ini kerana tiada daya dan upaya melainkan dengan pertolongan Allah.

Kita sentiasa dapat merasakan diri sebagai anak kepada seorang ibu bukan? Sekiranya kita mempunyai suami/isteri, kita sentiasa merasakan suami kepada seorang isteri atau isteri kepada seorang suami ... dan perasaan ini tidak akan dapat kita lepaskan ... sentiasa merasainya pada setiap ketika. Bagaimana dengan perasaan merasakan diri seorang hamba kepada Allah? rasa berketuhanan ... seperti kita merasakan kita bersuami, kita beristeri ... Apakah perasaan ini dapat kita rasakan setiap waktu dan ketika juga? Sekarang bayangkan kita berjalan bersama seseorang, katakan kita berjalan bersama suami/isteri kita ... pada ketika kita berjalan, ketika kita berada di hadapan, kita dapat merasai bahawa suami/isteri kita ada dibelakang kita bukan? Kita sentiasa merasai kehadiran teman kita itu ... tak kan terlepas rasa itu. Apabila kita ke kedai bersama contohnya, ketika kita asyik memilih barangan yang hendak dibeli, kita toleh kekiri ke kanan melihat di mana teman yang bersama kita ... kita merasakan kehadirannya ... bagaimana dengan kehadiran Allah dalam diri kita? dapatkah kita rasakan? Padahal Allah dulu yang bersama kita sejak kita masih dalam kandungan ibu sampai sekarang. Padahal Allah yang sentiasa ada bersama dan tidak pernah meninggalkan kita walau sesaat pun. Padahal Allah yang sedang mengepam jantung kita .... Allah yang sedang mengalirkan darah ke setiap tubuh kita ... dapatkah kita merasakan ada Allah bersama kita setiap waktu? dapatkan kita merasakan aku hamba Allah setiap ketika?

Sahabat yang dirahmati Allah semua, ketika solat kita merasa 'connect' dengan Allah. Apabila ada daya yang menyambung kita kepada Allah ketika kita solat, kita akan merasakan kebahagiaan yang tidak dapat kita bandingkan dengan apa juga. Kebahagiaan yang tak tertara nikmatnya. Bayangkan sekiranya kita dapat merasa daya sambung dengan Allah itu dari mula kita bangun tidur sehingga kita tidur semula, kita mendapat kebahagiaan setiap waktu dan ketika ... kita mendapat kebahagiaan yang sebenarnya di dunia ini ... Itulah yang sebenarnya dicari oleh ramai manusia ... tapi masalahnya dia gagal untuk sambung dengan Allah tapi sambung dengan selain Allah ...

Daya sambung ini sering disebutkan dalam kelas-kelas pengajian kita sebelum ini sebagai "menghadirkan hati kita dengan Allah", "mengingati Allah", "merasakan kehadiran Allah" ... tapi masalah yang dihadapi oleh kita bagaimana ya? Bagaimana mengingati Allah? Bagaimana merasakan kehadiran Allah. Dengan berzikir? Maka kita berzikir dengan sebutan Subhanallah, Alhamdulillah, Allahuakbar ... tapi aktiviti yang kita lakukan ternyata menjadikan kita bosan ... kita rasa penat menyebut dan memuji Allah atau fikiran kita melayang-layang kita ketika kita menyebut pujian-pujian kepada Allah ... dan akhirnya kita tinggalkan aktiviti itu ... atau tak beristiqamah dengannya. Kenapa kita rasa penat dan membosankan padahal Allah telah menjanjikan bahawa dengan mengingati Allah hati akan tenang ... dengan mengingati Allah pastinya membahagiakan bukan membosankan .... Pastinya kaedah kita melakukan aktiviti itu gagal menghasilkan 'mengingati Allah", gagal menghasilkan "merasakan kehadiran Allah" ... betul tak? Sebutan kita hanya dibibir saja ... apatah lagi jika yang ingin disebutnya sampai 1000 kali ...

Cuba kita padamkan segala apa yang ada ... padamkan rumah kita, padamkan kereta kita, padamkan bumi ini, padamkan seluruh bulan, bintang dan alam ini, padamkan semuanya sehingga tak ada suatu pun yang ada lagi ... Apa yang tinggal? Hanya kita dan Allah bukan? Sekarang rasakan wujudnya Allah itu, rasakan hadirnya Allah itu ... jangan digunakan fikiran, jangan digunakan emosi dan perasaan ... diam dan rasakan ...kita berhadapan dengan Allah yang Maha Hidup, pasti kita merasakan ada daya yang menyambung kita dengan Allah. Bayangkan kita menghadap ibu kita, sungguh-sungguh kita menghadap ibu kita ... adakah kita merasakan sesuatu ? Adakah kita merasakan kehadiran ibu kita? Adakah kita merasakan ada satu daya yang menyambung antara kita dan ibu kita? Terasa bukan? Pastinya terasa berbanding kita tidak menghadap ibu kita. Dengan ibu sudah terasa, apa lagi dengan Allah, pastinya dapat merasakan jika kita benar-benar yakin kita sedang berhadapan dengan Allah ...

Tundukkan wajah kita, diam ... dan hanya rasakan saja ... jangan difikirkan, jangan diluahkan apa-apa perasaan kepada Allah (kerana kita tidak mahu memasuki wilayah emosi, kita mahu memasuki wilayah spiritual) jangan dikatakan apa-apa pun. Diam dan rasakan hubungan itu ... kita akan merasakan suatu suasana perasaan 'sambung' dengan Allah dan perlahan-lahan sebutkan Allah ... Lailahaillallah, Allahuakbar dan sebutan-sebutan memuji Allah yang lain ... rasa 'sambung' ini biasanya akan memberi kesan kepada fizikal dan perasaan kita ... ada yang rasa bergetar, ada yang rasa merinding, ada yang rasa ingin menangis, yang pentingnya bukan rasa difizikalnya tapi rasa dekatnya dengan Allah ... rasa kehadiran Allah itu. Kemudian akan terasa dialirkan ketenangan di dalam jiwa, hilang apa juga tekanan. InsyaAllah kita akan rasakan kebahagiaan dan rasa berketuhanan ...

Latihan merasakan hubungan dengan Allah dan rasa berketuhanan ini Allah kukuhkan melalui ibadah-ibadah dalam rukun Islam yang lima, Mengucapkan Dua Kalimah Syahadah, Solat, Puasa, Zakat dan Haji. Sudah berapa ramai di kalangan kita merasakan sudah cukup melakukan semua rukun Islam tapi masih belum dapat merasakan hidup berketuhanan, belum dapat merasakan aku hamba Allah setiap waktu dan ketika, masih belum dapat merasakan kehadiran Allah dalam diri, masih belum mencapai tahap takwa kepada Allah. Allah berfirman di dalam Al-Qur'an yang maksudnya; "Diwajibkan di atas kamu berpuasa seperti mana telah diwajibkan ke atas orang-orang yang terdahulu dari kamu supaya kamu bertakwa" Sudah berapa lama kita berpuasa di bulan Ramadhan tapi kenapa sampai sekarang merasakan diri belum bertakwa padahal Allah menyebutkan bahawa Puasa di Bulan Ramadhan itu hasilnya takwa ... Justeru harus kita teliti di mana silapnya latihan pengukuhan yang Allah siapkan untuk kita di dalam Rukun Islam Yang Lima ini.

Satu saja yang dapat saya simpulkan ... ibadah kita tidak kita lakukan dengan rasa Ihsan ... Bukankah itu yang diajarkan rasulullah saw ... Ihsan itu ertinya kita beribadah seolah-olah kita merasakan melihat Allah dan sekiranya kita tidak dapat merasa melihat Allah kita dapat merasakan Allah melihat kita ... jom semak semula, solat kita, puasa kita, zakat kita, haji kita ... adakah kita melakukan ibadah dengan rasa 'sambung' atau 'sadar' kehadiran Allah? Itulah nikmat yang tak tertaranya ...

Kita rasa sukar untuk merasakan rasa sambung dengan Allah? Kadang-kadang sambung kadan-kadang tidak? Ia perlu dilatih ... Alhamdulillah ada latihan dan metodologinya ... Pelatihan Solat Khusyuk oleh Pak Ustaz Abu Sangkan memberikan panduan dan membantu kita dengan latihan praktikalnya. Justeru saya menyeru kepada sahabat-sahabat semua agar cuba sedaya upaya mengikuti Kursus-kursus Solat Khusyuk yang diadakan samada di Malaysia atau di Indonesia.

Hidup berketuhanan ini bukan sekadar kita sentiasa merasakan hadirnya Allah dalam hidup kita tetapi merasakan kita sebagai hamba Allah dan KhalifahNya. Kita dapat merasakan dengan jelas ada amanah dan tanggungjawab yang diberikan kepada Allah kepada kita untuk disempurnakan di dunia ini sebelum kita dipanggil pulang nanti. Dengan rasa hadir Allah dalam diri kita, kita akan sentiasa berserah kepada Allah dan sedia tunduk dan patuh atas apa juga kehendakNya. Ketundukan dan kepatuhan ini insyaAllah tidak sukar apabila Allah yang akan meletakkan kehendakNya ke dalam hati kita ... Segalanya dibimbing Allah insyaAllah dengan syarat kita sentiasa mencari jalan menuju Allah, sentiasa berusaha menyucikan jiwa kita ...

"Maka Allah mengilhamkan kepada jiwa itu (jalan) kefasikan dan ketakwaan. Sesungguhnya beruntunglah bagi orang yang mensucikannya Dan merugilah bagi yang mengotorinya "
(Asy -Syams: 7 - 8)

Semoga kita dapat sentiasa merasakan sambung dengan Allah dalam apa juga keadaan dan pada setiap waktu dan ketika. Sentiasa bersungguh-sungguh memenuhi tugas dan tanggungjawab sebagai wakil Allah dimuka bumi ini. InsyaAllah kita akan meninggalkan segala keresahan, segala kegelisahan dan menemukan kebahgiaan yang berpanjangan apabila merasai hidup berketuhanan ...

Hanya Allah Yang Maha Mengetahui