POS TERKINI

Selasa, Julai 20, 2010

Allah Ajarkan Dia Yang Menguruskan Rezeki

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh,

Dengan Nama Allah Yang Maha Mengasihani kita semua dan Maha Menyayangi hamba-hambaNya ... Betemu kembali sahabat-sahabat semua ... saya merasakan kebersamaan kita semua, saya merasakan kehadiran sahabat-sahabat semua dalam kehidupan saya ... terima kasih di atas segala sokongan yang diberikan dan nikmat persahabatan di alam cyber ini dari Allah jua insyaAllah ....

Saya pernah menulis tentang rezeki diurus Allah ini ... tapi memandangkan tajuk ini sering menjadi suatu yang memberi tekanan kepada manusia, saya ingin menulis lagi berdasarkan pengalaman yang saya lalui akhir-akhir ini; maklumlah kehidupan bekerja sendiri pastinya memberi pengalaman yang jauh berbeza dari bekerja makan gaji seperti sebelumnya.

Kerana wang, persahabatan jadi permusuhan, kerana wang suami isteri bercerai, kerana wang, anak isteri ditinggalkan, kerana wang, hilang semua pertimbangan ... aduh sayang seribu kali sayang ... hanya kerana wang!

Alhamdulillah, saya melalui pengalaman dan pengajaran dari Allah tentang rezeki. Saya rasa sahabat semua juga sering diajarkan Allah bukan ... Izinkan saya berkongsi sedikit pengalaman yang ada, moga-moga dapat membantu kita di dalam meneruskan kehidupan ini dengan beroleh rezeki yang diberkati Allah.

Allah sememangnya menyuruh kita mencari karuniaNya di dunia ini. Banyak ayat-ayat Allah di dalam Al-Qur'an yang menyuruh kita berusaha kerana sunnahtullah itu kalau kita berusaha, maka kita akan mendapat pulangan yang baik. Sememangnya itu ketetapan Allah. Dengan berusaha mencari rezeki bererti kita berperanan sebagai wakil Allah ... contohnya kita mencari rezeki menjual surat khabar, maka kita berperanan sebagai wakil Allah memudahkan manusia mendapat surat khabar untuk dibaca agar mereka tahu apakah isu semasa yang sedang berlaku, apakah penyakit yang sedang berleluasa dan perlu diberi perhatian, apakah isu-isu ekonomi yang akan memberi kesan kepada ekonomi keluarga ... wah besar peranannya orang yang menjual surat khabar ini ... Itulah ketetapan Allah ... bertaburan manusia mencari rezeki dan tanpa manusia sedari mereka sedang memenuhi kehendak Allah menjadi wakilNya menguruskan dunia ini ...

Namun pada hakikatnya Allah itulah pemberi rezeki. Allah itulah yang menguruskan rezeki ...Segala yang ada dilangit dan bumi adalah milik Allah semuanya. Seandainya kita bertakwa kepada Allah dan tunduk kepada perintah Allah maka Allah akan menguruskan rezeki kita ....

Untuk membicarakan tentang rezeki ini, kita perlu membicarakan tentang ikhlas ... kita perlu kembali kepada tujuan kita dihidupkan iaitu untuk menjadi hamba dan khalifah Allah, wakilNya di bumi ini. Justeru apa saja yang kita lakukan terus ikhlaskan diri sebagai wakilNya yang sedang berperanan di muka bumi ini. Maka segala apa yang kita lakukan dalam usaha mencari rezeki akan diikhlaskan untuk Allah ... contohnya sekiranya saya seorang guru, maka saya merasakan bahawa saya sedang menjadi wakil Allah di dunia ini untuk mengajarkan anak-anak ilmu pengetahuan ... rezeki saya, saya serahkan pada Allah dan saya yakin Allah akan menguruskannya ... Maka kita akan membuat pekerjaan kita dengan yang sebaiknya kerana kita wakil Allah, justeru pasti Allah akan memberi pulangan yang terbaik juga kepada kita di dalam bentuk rezeki YANG DIBERKATINYA.

Berikut adalah beberapa pengalaman yang saya lalui sebagai sedikit panduan: -

1. Seorang yang saya kenali mendapat kontrak kerajaan tetapi dia sangat mengutamakan keuntungan dan sanggup mengorbankan kualiti perkhidmatan yang diberikan. Akhirnya kontraknya cukup bertahan selama lebih kurang 6 bulan sahaja dan syarikatnya diblacklist ... Seorang usahawan yang lain yang juga saya kenali sanggup mendapat keuntungan yang minimal sahaja kerana berusaha memberikan perkhidmatan yang berkualiti. Dia yakin dia sedang berkhidmat sebagai wakil Allah dan justeru dia sanggup menghabiskan wang semata-mata agar ia memberikan perkhidmatan yang terbaik. Kontraknya disambung dengan jumlah yang lebih besar.

2. Suatu ketika dahulu, saya takut untuk berhenti kerja kerana memikirkan perbelanjaan perubatan yang tinggi yang perlu saya tanggung sekiranya saya berhenti kerja. Ini adalah kerana syarikat lama saya menanggung semua kos perubatan saya dan anak-anak. Alhamdulillah Allah memberi kekuatan untuk saya membuat keputusan berani untuk berhenti kerja dan menyerahkan segala urusan rezeki kepada Allah. Alhamdulillah, di dalam tempoh tidak sampai 6 bulan saya berhenti kerja, saya dan keluarga kini mendapat perlindungan perubatan dari sebuah organisasi. Itulah kadang-kadang kita terlupa bahawa Allah yang menguruskan segalanya, menguruskan rezeki kita. Tak pernah terjangka oleh saya perkara ini berlaku ... terpaku saya menyaksikan ... dan terus mengungkapkan kata-kata Lailahaillallah ... penyaksian saya bahawa Tiada Tuhan SelainMu Ya Allah ...

3. Pada suatu hari saya agak tertekan kerana saya perlu mengeluarkan perbelanjaan yang agak besar untuk menganjurkan satu program tetapi malangnya saya tidak mempunyai cukup modal kerana terdapat perbelanjaan yang telah saya keluarkan belum dibayar oleh badan-badan organisasi tertentu. Alhamdulillah, saya kosongkan segala fikiran saya dan terus berserah dan memohon sungguh-sungguh pada Allah ... Minta duit Ya Allah ... kata saya ... Minta duit ... begitulah saya memohon pada Allah. Alhamdulillah esok paginya saya lihat akaun di bank saya cukup untuk menanggung bukan satu program malah beberapa program : )

4. Seorang rakan suami saya telah menalipon seorang yang terlibat di dalam pemberian kontrak kepada syarikat saya dan suami. Rakan suami saya itu memburukkan saya dan bertanya kepada orang itu kenapa memberikan kontrak kepada saya. Pada mulanya saya agak rasa terkilan bagaimana seorang yang dilihat sebagai rakan kepada suami saya dan mempunyai ilmu pengetahuan agama sanggup berbuat begitu ... namun alhamdulillah segera saya diingatkan Allah bahawa rezeki saya itu diuruskan Allah ... justeru tidak ada apa-apa lagi perasaan marah atau terkilan ... biarkan saja ... lega rasanya.

5. InsyaAllah saya sedang berusaha membuka satu perniagaan yang baru. Saya tertanya-tanya berapa harga yang perlu saya letakkan kepada pelanggan saya. Agak berat juga saya memikirkan dan saya memohon kepada Allah untuk membantu saya. Alhamdulillah, Allah mentakdirkan saya mengikuti satu siri kuliah di radio IKIM dan disitu diceritakan tentang seorang sahabat yang menjual unta. Dia membeli seekor unta dengan harga katakan 100 rupiah dan menjualnya juga dengan harga 100 rupiah, tetapi mengambil keuntungan atas tali unta itu. Dia mengambil tali unta itu ... Alhamdulillah kemudian perniagaannya semakin maju dan dia berjaya menjadi usahawan yang berjaya ... Dari kisah ini saya belajar tentang barokah ... biar sedikit keuntungan kita tapi barokah disisi Allah kerana pada hakikatnya Allah yang menguruskan rezeki ...

Semoga selepas ini kurang tekanan kita bila memikirkan masalah rezeki ini ... InsyaAllah ikhlaskan diri dan hati untuk Allah, lepaskan segala rasa ingin memiliki, buat yang terbaik sebagai wakil Allah insyaAllah rezeki kita akan diurusNya dengan sempurna!


Hanya Allah Yang Maha Mengetahui

2 comments:

ainhany berkata...

salam pn nora,

subhanallah..betapa paparan ini mmberi makna secara langsung dan telus kita hanya mewakiliNYA..
Segala percaturan dan konflik diri akan mnjadi tenang dan berserah..ALHAMDULILAH

semuga saya mmpu megetuk pintu hati agar sedar keujudan diri..terimakasih dan doakan saya juga.. TERIMAKSIH ALLAH

Ummu Ayman berkata...

Salam Ainhany,

Alhamdulillah ... syukur kita panjatkan kepada Allah, kita dapat merasai Allah itu Yang Maha Memberi Petunjuk, Al Hadi ... kita kenal Allah sekarang dialah Al Hadi .. bukan sekadar kita faham Allah Al Hadi melalui hafalan asmaul husna ... dapat mengenal Allah itu nikmat :)

InsyaAllah semoga Allah terus membimbing kita semua ...

Salam
Nora