Ahad, Jun 27, 2010

Allah Ajarkan Tentang Ingat kepadaNya

Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh,

Kita mulakan dengan menyebut nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani ... Alhamdulillah, bersyukur saya kepada Allah diberi kekuatan jiwa dan fizikal untuk saya terus menulis di blog ini. Topik di atas sebenarnya ingin saya tuliskan beberapa hari yang lalu apabila isu tentang ingat kepada Allah ini ditanyakan kepada saya di dalam facebook, tetapi badan saya terlalu letih untuk meneruskan penulisan dan alhamdulillah Allah mengembalikan semula kekuatan untuk saya mencatat sedikit perkongsian diajarkan Allah tentang ingat kepadaNya.

Sebelum saya menuliskan penulisan ini, ingin saya rakamkan ucapan terima kasih kepada seorang hamba Allah yang telah menginfakkan RM3000 untuk pelatihan solat khusyuk. Sebenarnya lebih kurang dua hari sebelum itu, saya memohon pada Allah untuk mendapatkan PA system untuk kegunaan pelatihan solat khusyuk memandangkan PA system sediada sudah lama dan memberi kesan kepada Pelatihan yang dijalankan. Alhamdulillah, Allah yang menggerakkan hamba yang dipilihNya untuk menginfakkan sejumlah wang itu yang insyaAllah akan digunakan untuk membeli PA system yang baru. Semoga sumbangan itu menjadi amal jariah di akhirat nanti.

Saya ditanya di dalam facebook bagaimana untuk otomatik ingat kepada Allah. Seperti sang kekasih yang secara otomatiknya akan ingat kepada kekasihnya saat baru bangun tidur sampailah ia kembali tidur. Pastinya tiada siapa yang memaksakan untuk sang kekasih itu mengingati kekasihnya bukan. Ingatan itu terus datang secara otomatik, lihat pinggan nampak muka yang dikasihi, nampak kereta macam kereta sidia, bergetar hati .... semua yang pernah mengalami alam percintaan faham benar perasaan ini : ) dan ingat benar bagaimana mudahnya untuk sering mengingati yang dicintai.

Mengingati Allah juga boleh berlaku secara otomatik apabila manusia itu sudah mencintai Allah dan Allah mencintai mereka ... secara ringkasnya berlaku saling cinta mencintai antara manusia dan Allah. Mengingati dan mengasihi Allah bukan boleh dipaksa atau dibuat-buat tapi boleh dilatih dan insyaAllah dengan latihan yang betul, perasaan itu datang dengan sendirinya dan ingatan itu PASTINYA akan kepada Allah setiap masa di mana jua.

Allah sudah mengajar kita bagaimana untuk melatih diri kita agar mengenali Allah, mengasihi, mencintai dan mengingatiNya. Semuanya terdapat di dalam Rukun Islam yang lima. Mengucap dua kalimah syahadah, Solat, Puasa, Zakat dan Haji. Masalahnya ramai yang merasakan sudah melaksanakan 5 perkara tersebut tapi masih tidak ada rasa cinta kepada Allah, susah untuk mengingati Allah setiap masa dan ketika ... Kenapa ya?

Adakah ibadah kita itu mampu menjadi latihan yang berkesan yang dapat menjadikan kita orang yang beriman, yang cinta kepada Allah dan sentiasa mengingatiNya setiap waktu. Seperti yang diceritakan oleh Pak Yus di Pelatihan Solat Khusyuk, bayangkan seorang yang berlatih Taekwando ... setiap minggu dia berlatih selama dua hari. Setiap latihan mengambil masa 2 jam. Bayangkan apa yang terjadi kepadanya setelah lima tahun, pastinya dari talipinggang putih akan bertukar kepada hitam insyaAllah dengan latihan yang betul. Tapi bayangkan seorang lain yang tidak bersungguh-sungguh menjalani latihan, dalam tempoh lima tahun mungkin masih bertalipinggang putih ....

Begitu juga ibadah kita kepada Allah. Masih ingat lagi pengertian Ihsan? Nabi juga ditanya oleh Jibril tentang ihsan. Nabi bersabda, “Yaitu engkau beribadah kepada Allah seolah-olah engkau melihat-Nya, maka apabila kamu tidak bisa (beribadah seolah-olah) melihat-Nya, maka sesungguhnya Dia melihatmu”. Inilah kualiti ibadah yang MESTI kita lakukan. Bagaimana solat kita, zikir kita? Adakah kita berusaha untuk membina hubungan jiwa dengan Allah ketika melakukan ibadah-ibadah ini? Adakah kita berusaha untuk mencapai tahap Ihsan di dalam ibadah yang kita lakukan. Sekiranya kita tidak berusaha, jadilah kita seperti pelajar taekwando yang berlatih sambil lewa tadi, tidak menjalankan latihan dengan betul maka TIDAK AKAN mencapai hasil yang diharapkan ... selamanya dia bertalipinggang putih ....

Begitulah juga kita hari ini, sudah berapa lama kita solat tapi masih tidak khusyuk ... Sudah berapa lama kita berpuasa di bulan Ramadhan tapi kenapa nafsu masih sukar ditundukkan?

Ibadah yang telah Allah wajibkan di dalam Rukun Islam yang lima adalah latihan yang Allah ciptakan untuk hambaNya. Dengan latihan yang betul, kita akan melihat sendiri perubahan diri kita kerana insyaAllah sekiranya betul latihan yang dijalankan insyaAllah akan terhasil MUKMIN yang hebat, yang ikhlas, berakhlak mulia, berdisplin, prihatin dan produktif. Islam itu mudah tapi mungkin kita tidak menjalankannya dengan betul.

Untuk latihan ... cuba puasa sunat ... dan lihat bagaimana tahap kita mengingati Allah berbanding hari yang kita tidak berpuasa. Berbeza bukan ... nah itu satu buktinya ... mengingati Allah itu mudah apabila kita mengikuti latihan yang Allah sediakan.

Semoga berjaya : )

Hanya Allah Yang Maha Mengetahui

Tiada ulasan: