POS TERKINI

Khamis, Mei 20, 2010

Allah Ajarkan kehebatan Ikhlas keranaNya

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani ... Terima kasih Ya Allah, saya demam hari ini : ) itulah perasaan yang muncul bila saya demam bermula semalam. Bermula lebih kurang jam 9 malam tadi, badan saya mula terasa lemah, terpinga seketika kemana hilangnya tenaga yang cukup banyak bila saya menyampaikan ceramah kepada sekumpulan jemaah wanita di Surau Taman Permata pada jam 3 petang pada hari yang sama. Tiba-tiba tenaga itu semakin merosot dan hampir hilang semuanya bila jam menunjukkan 12 tengahmalam dan saya tidur dalam keadaan yang begitu lemah. Alhamdulillah pagi ini sebaik sahaja saya menunaikan solat subuh, muncul dihati saya rasa syukur kerana saya demam. Sudah agak lama juga saya tidak demam serta berharap di dalam hati agar ianya dapat membersihkan dosa-dosa saya kepada Allah. Seperti bagaimananya tenaga itu hilang, saya dapati ia kembali sedikit demi sedikit pada pagi ini. Dengan sedikit kekuatan itu saya menulis, insyaAllah. Alhamdulillah, itulah Allah ... yang memberikan kita kekuatan dan pada bila-bila masa saja Dia boleh mengambilnya kembali.

Saya pernah menulis tentang Ikhlas kerana Allah dan saya diajarkan bahawa ikhlas kerana Allah ini adalah antara kunci utama jalan menuju Allah, kunci penting di dalam turunnya hidayah Allah yang akan membimbing kita insyaAllah. Penulisan kali ini juga tentang ikhlas tetapi mungkin dari perspektif yang agak berlainan.

Pada lebih kurang dua minggu yang lepas, DVD Pelatihan Solat Khusyuk oleh Pak Ustaz Abu Sangkan telah pun siap dan diserahkan kepada kami. Masalahnya DVD yang diserahkan perlu dibungkus terlebih dahulu dan diletakkan labelnya kerana syarikat yang membuatnya tidak menyediakan perkhidmatan tersebut. Kami perlu menyiapkan secepat mungkin untuk menghantar pesanan yang diterima sebelum ini. DVD itu semuanya dihantar ke rumah saya. Pada masa itu kerana saya agak sibuk dengan beberapa tugasan yang lain, ingin saja saya menghantarnya kepada pembantu saya di pejabat untuk menguruskannya. Saya melihatkan tugasan itu mudah dan ringan. Kalau di pejabat saya dahulu, tugas-tugas seperti itu diserahkan kepada pembantu tadbir kerana saya tidak sempat untuk menguruskannya.

Namun, saya pelik kenapa dihati saya ketika itu begitu ingin sekali menyiapkan kerja itu, walaupun saya tahu kerja itu ringan dan mudah serta saya sedari saya mempunyai kerja-kerja yang lain yang perlu disiapkan. Walaupun tidak ada alasan yang dapat saya berikan, saya katakan pada diri saya, buatlah kerana Allah walaupun kecil. Jadi saya menghabiskan lebih kurang dua hari untuk menyiapkan label dan membungkus DVD-DVD itu. Memandangkan masa yang agak panjang yang akan digunakan, maka saya memasang DVD tersebut di hadapan saya dan sambil bekerja saya mengulangkaji pelatihan solat khusyuk itu melalui DVD itu. Subhanallah, Alhamdulillah dan terima kasih Allah ... tiada yang dapat saya ucapkan, saya diajarkan berzikir kepada Allah dengan betul sehingga menimbulkan getaran di dalam jiwa sehingga tersungkur dan menangis.

Sebelum ini di dalam usrah, kami sering membincangkan firman Allah yang bermaksud;

"Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu apabila disebut nama Allah , gementarlah hati mereka dan apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayatNya, bertambahlah iman mereka (keranaNya) dan kepada Tuhanlah mereka bertawakal"

(Al-Anfaal: 2)

Kami sering berbincang kenapa hati tidak bergetar ketika disebut nama Allah, adakah kita belum lagi boleh disebut orang-orang yang beriman. Alhamdulillah saya sudah faham. Kaedah berzikir dan mengingati Allahnya tidak betul, kesedarannya tidak tepat. Lihat saja kesedaran kita ketika mengingati Allah ketika bangun malam dan bertahajud sehingga dialirkan rasa gementar, syukur dan mudah menangis. Namum kesedaran itu jarang kita gunakan bila kita mengingati Allah pada waktu-waktu yang lain terutamanya pada waktu siang. Kesedaran yang total, ruhani kita aktif menuju Allah.

Saya sangat bersyukur diajarkan Allah perkara ini dan terus dapat saya fahami betapa kerja-kerja yang dipandang remeh, ringan, mudah dan kecil kalau dibuat kerana Allah begitu hebat ganjarannya di sisi Allah, insyaAllah tersedia ampunan, rahmat dan hidayah dari Allah. Saya bersyukur kerana membungkus DVD itu!

Antara pengajarannya yang ingin saya kongsikan di sini ialah (1) Jangan dipandang remeh sesuatu tugasan walaupun nampak kecil dan ringan. Mungkin kerja yang kecil itulah membuka jalan kepada ampunan dan rahmat Allah bila dilakukan dengan ikhlas, (2) Semua pekerjaan adalah tugasan dari Allah walaupun kecil dan nampak tidak penting di mata manusia. Biarlah kita seorang office boy atau seorang kerani atau seorang pemandu, itu tugasan yang Allah pilih untuk kita dan apabila kita lakukan dengan ikhlas, ganjaran besar menanti kita di sisi Allah di dunia dan di akhirat. (3) Komen yang saya dapat dari seorang rakan di facebook; apa saja yang dilakukan kerana Allah, yang kecil jadi besar disisiNya. Itulah kehebatan ikhlas kerana Allah.

Ayuh, jangan kita tunggu lagi ... serahkan apa saja yang kita akan lakukan kerana Allah. Tiada kepentingan diri, keluarga atau apa saja. Semuanya kerana Allah, insyaAllah kita nanti tinggal bersaksikan hebatnya ganjaran yang menanti untuk orang-orang yang ikhlas keranaNya. Semoga kita terpilih untuk tergolong di kalangan orang-orang yang mukhlisin ... amin ...

Hanya Allah Yang Maha Mengetahu

Khamis, Mei 13, 2010

Allah Ajarkan Tentang "Dimana Allah"

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh ...

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani ... Apa khabar sahabat? Syukur kita kepada Allah dipertemukan di alam cyber ini ... ada di antara kita ada di Amerika, di Mesir, di Germany, di Serawak, Di Kuala Lumpur ... alhamdulillah manusia-manusia yang berperanan sebagai khalifah Allah menggunakan fasiliti yang Allah berikan (akal, kaki, tangan dsb) memenuhi kehendakNya dan terwujudnya internet yang serba canggih hari ini.

Pertamanya saya sangat bersyukur kerana maid saya telah berhenti beberapa minggu lalu ... saya mendapat nikmat menjadi suri rumah dan ibu sepenuh masa, mencuci pinggan mangkuk, mengemas rumah, pergi ke pasar, masak, menggosok kain, mop lantai, lipat baju ... dan setiap kali saya melakukannya, insyaAllah dengan penuh kesedaran bahawa saya sedang menjalankan peranan saya sebagai khalifah Allah dan setiap perkara yang saya lakukan saya hargai walaupun sekadar mop lantai ... Saya tidak dapat bayangkan harganya perkara-perkara itu di hadapan Allah ... tidak boleh dibeli pastinya, bukan RM450 atau RM600 ... justeru saya ingin mengajak ibu-ibu yang seharian hidupnya dipenuhi dengan urusan rumahtangga agar kita merenung sekejap dan mensyukuri peluang yang Allah beri untuk berkhidmat kepada suami dan anak-anak yang menjanjikan ganjaran tak terhingga di hadapan Allah. Tahniah pada isteri/ibu yang sepenuh masanya menguruskan rumah dan anak-anak : )

Pada malam ini saya terpanggil untuk menulis setelah membaca nota di facebook di tulis oleh sahabat baik saya Salwani Ali (blog: Aku hamba Tuhan) tentang "Di mana Allah". Alhamdulillah saya juga mendapat sedikit pencerahan diajarkan Allah tentang perkara ini dan tajuk "Dimana Allah" ini saya masukkan dalam satu modul kursus "I love Solat" untuk anak-anak.

Ketika solat kita sering gagal mencapai kesedaran berbicara kepada Allah kerana persepsi kita adalah Allah jauh di Arasy. Persepsi ini sukar untuk dibuang kerana ia telah lama tertanam di dalam minda kita sejak kita anak-anak lagi. Persepsi dan apa yang ada di fikiran kita yang sering membelengu diri kita di dalam mengarahkan kesadaran kita kepada Allah. Persoalan "Di mana Allah" adalah persoalan pokok yang penting di dalam mengarah kesadaran ketika solat.

Ketika bersembang dengan Pak Ustaz Abu Sangkan di lapangan terbang sebelum keberangkatan pulang Ustaz ke Jakarta, Pak Ustaz mengatakan tentang laut ... Kalau sesuatu terjatuh di dalam laut, atasnya apa? Laut bukan? Bawahnya apa? Laut juga ... Kirinya? juga laut, bagaimana kanannya? Oh laut juga ... lautnya ada berapa? tanya Ustaz ... Satu! Begitulah juga dengan Allah, di mana pun kita mengadap di situlah wajah Allah ...

Allah Maha Besar? Sebesar apa? Besar sangat ... jawab anak-anak di dalam kursus I love Solat yang kami anjurkan ... Adakah sebesar bumi ini? tanya saya ... Jawab mereka besar lagi ... Adakah Allah ada disyurga? Saya cuba memerangkap mereka. Ada yang menganggukkan kepala ... dan saya katakan, wah kalau gitu syurga lagi besar dari Allah? Tak ... jawab mereka dengan kuat dan tegas .... Mereka dapat mengerti seketika itu bahawa tidak ada yang lebih besar dari Allah ... dan saya katakan, Ya tidak ada yang lebih besar dari Allah dan Rasulullah saw ajarkan Allah Maha Besar atau Allahu Akbar ..... Justeru, kita harus mempunyai kesedaran ini ketika kita mengangkat takbiratul ihram "Allahu Akbar" ... Allah Maha Besar dan meliputi semuanya termasuk diri kita .... Justeru Allah SANGAT DEKAT dengan kita! Kesedaran ini penting dalam solat.

Kesedaran Allah Maha Melihat ... Ya pastinya kita semua tahu Allah Maha Melihat. Tapi adakah kita berada di dalam kesedaran Allah Maha Melihat ketika solat? Teringat kursus solat khusyuk bersama Pak Ustaz Abu Sangkan ... Ustaz mengingatkan kita bahawa ketika kita solat, pastinya kita tidak dapat melihat Allah tetapi Allah melihat segala gerak geri kita, segala detikan hati kita .... Bila hati kita bersambung dengan Allah ketika solat, pastinya seperti orang yang bertemu, ada rasa di hati. Apabila kita mengadapNya dengan penuh kesedaran sedang berhadapan denganNya dan sedang berbicara penuh hormat denganNya, pastinya seperti orang bertemu dan berbicara ada respon dari yang sedang menjadi rakan perbicaraan. Begitu juga pertemuan dan perbicaraan dengan Allah; Allah merespon ... Allah menyambut kita .... ada rasa di hati ... ada getaran di dalam jiwa ... dan kemudian di aliri rasa ketenangan yang sangat hebat, tidak terbanding apa pun di dunia ini. Saya menamakannya syurga di dunia ...

Tiga kesedaran yang saya sebutkan di atas, di mana Allah (1), Allah Maha Dekat dan Maha Meliputi semuanya (2) dan Allah Maha Melihat (3) sangat penting di dalam mengarah kesadaran kepada Allah ketika solat dan merupakan beberapa kunci penting di dalam mencapai solat yang khusyuk. Hati dan jiwa perlu sentiasa terarah kepada Allah. Saat hati dan jiwa terpaling dari Allah, sesaat itu juga rasa hubungan dan getaran tadi hilang entah ke mana dan kita terpinga-pinga mencari kembali ... kembalikan kesedaran itu semula ....

Semoga sedikit sebanyak dapat membantu kita mencapai solat yang khusyuk dan dapat merasakan kesedaran di mana Allah tidak kira di mana kita berada : )

Hanya Allah Yang Maha Mengetahui

Isnin, Mei 10, 2010

Allah Ajarkan Tentang Menjaga Perasaan Ibu

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh,

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani kita semua setiap saat dan setiap ketika ... Dan jika dikumpulkan semua kasihsayang ibu di dunia ini dari zaman Nabi Adam sehingga kiamat nanti tidak akan dapat menyamai kasih sayang Allah kepada hamba-hambaNya. Bayangkan kasih seorang ibu, cubalah kita ukur kasihnya kepada anaknya, boleh diukur? Sekiranya ada alat yang boleh mengukur kasih sayang ibu pastinya tak terbaca alat itu kasih dan sayangnya seorang ibu kepada anak-anaknya ... kerana setiap kali ia ingin mengukurnya, saya yakin bacaannya akan sentiasa melebihi had limit ukuran alat itu ... sekadar cuba mengimiginasikan : ) cuba bayangkan ukuran kasih dan sayang Allah pada hambaNya ..

Alhamdulillah saya sangat bersyukur diajarkan Allah untuk menjaga perasaan Ibu dan kebetulan ketika diajarkan kepada saya, seluruh dunia sedang merayakan Hari Ibu ... Bermula dari semalam saya menerima sms dan panggilan telefon dari rakan-rakan yang mengucapkan Selamat Hari Ibu kepada saya. Tidak ketinggalan di facebook juga ramainya rakan-rakan yang menceritakan tentang kasihnya ibu .... Apa yang kita baca (walaupun begitu banyak buku-buku / sms / nota di facebook yang kita baca) belum tentu diberi rezeki oleh Allah untuk kita faham ... Apabila diajarkan oleh Allah, insyaAllah kita faham ... saya akan cuba berkongsi diajarkan Allah tentang menjaga perasaan Ibu, semoga diberi rezeki oleh Allah untuk memahaminya.

Saya tidak dapat menceritakan peristiwa yang berlaku yang membuatkan saya faham kerana saya khuatir ia boleh menyinggung hati mereka yang terlibat di dalam peristiwa tersebut. Namun di dalam peristiwa ini saya diajarkan Allah bahawa seorang ibu itu pastinya tidak sempurna ... kerana seorang ibu adalah manusia yang mempunyai banyak kelemahan seperti kita juga. Saya perhatikan dan amati di dalam masyarakat kita banyak sifat-sifat ibu yang mungkin menyebabkan anak-anak tidak begitu gembira, contohnya suka meleter, lebih menyayangi anak yang lain (persepsi), suka menjerit (saya pernah mendengar seorang ibu yang asyik menjerit pada anak-anaknya dari mula saya datang kerumahnya sampai saya balik), suka membazir, suka menunjuk-nunjuk, suka mengumpat menantu, suka bersolek dan sebagainya ... Apapun kelemahan ibu, kita tidak boleh sama sekali mengecilkan hatinya baik dengan apa cara sekalipun. Sebagai manusia biasa yang hatinya boleh terluka, saya yakin antara luka yang paling dalam adalah apabila dilukai oleh anaknya sendiri ... anak yang disusuinya, anak yang membuatkan dia tidak tidur malam berhari-hari, anak yang dijaganya seperti menatang minyak yang penuh ... Kita wajib menghormati ibu pada setiap waktu.

Ada seorang yang saya kenali yang suka bertanya kepada Allah di dalam urusan kehidupannya. Pada suatu hari dia mengatakan bahawa dia sangat bersyukur dibimbing Allah, diberi hidayah oleh Allah sehingga dia dapat mengenali Allah dan mendapat nikmat ketenangan hidup di bawah lembayung rahmat kasih sayang Allah. Satu hari ketika out-station di Perak, dia mengatakan bahawa dia mahu tahu kenapa Allah memilih dia dari kalangan keluarganya dan saudara maranya untuk diberi hidayah, kerana kehidupan yang dilalui sama seperti mereka tetapi Allah memilihnya untuk diberiNya petunjuk. Maka dia pun bertanya kepada Allah. Alhamdulillah menurutnya, tidak sampai beberapa saat dia bertanya Allah memberikan jawapannya ... Mahu tahu apa jawapannya? Allah terus mengingatkan kepadanya kisah ketika dia masih seorang pelajar. Ketika di universiti, dia bekerja sambil belajar dan hampir semua wang yang diperolehinya ketika belajar itu diberikannya kepada ibunya. Hebatnya ganjaran Allah kepada seseorang yang menjaga ibunya ... Tiada ganjaran yang lebih bermakna dari ganjaran hidayah dan petunjuk Allah .... namun balasan Allah juga pastinya hebat bagi seseorang yang menyakiti hati ibu ... Ampuni kami Ya Allah ...

Setelah diberi kefahaman ini, saya terbayangkan pengorbanan ibu saya yang membesarkan saya dan adik-adik sebagai ibu tunggal. Setiap petang apabila ibu saya pulang dari kerja, walaupun keletihan, ibu akan terus ke dapur untuk memasakkan kami makanan. Saya masih dapat melihat keletihan ibu ketika itu dan masih dapat membayangkan keletihannya menguruskan kami ...

Pastinya kita tidak dapat membalas kasih dan pengorbanan ibu tetapi sekurang-kurangnya kita berusaha untuk menjaga perasaan dan tidak melukakan hatinya. Semoga Allah mengampuni kita di atas segala keterlanjuran kata dan perbuatan yang telah mengecilkan hati ibu.

Sekiranya ibu kita masih ada bersyukurlah kerana ibu akan mendoakan kita setiap hari insyaAllah ... sekiranya ibu kita sudah tiada, doakanlah keselamatan untuknya di alam sana sebagaimana dia sering mendoakan kita ketika hayatnya ...

Kasih sayang ibu membawa ke syurga ... Selamat Hari Ibu ...

Hanya Allah Yang Maha Mengetahui

Isnin, Mei 03, 2010

Allah Ajarkan Dia Yang Maha Penyayang

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh ...


Dengan nama Allah Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang ... Pertamanya selamat datang ke blog "Ajarkan Aku Ya Allah" kepada pembaca-pembaca Majalah Nur. Alhamdulillah dan terima kasih saya ucapkan pada Majalah Nur yang mewar-warkan tentang blog ini di dalam ruangan Personaliti Nur edisi Mei 2010. Terima kasih pada pembaca yang telah memberikan maklumbalas berkenaan blog ini untuk dimasukkan ke dalam Majalah tersebut tetapi saya mohon maaf kerana maklumbalas itu tidak dikeluarkan kerana terdapat beberapa perubahan yang dilakukan atas keputusan pengarang ... pada mulanya fokusnya hanya pada blog ini tetapi mereka memutuskan untuk turut memfokuskan kepada aktiviti-aktiviti yang sedang dijalankan. Apapun terima kasih di atas sokongan semua, semoga apa saja yang kita lakukan adalah di dalam menyempurnakan tugasan kita sebagai wakil Allah ..



Pada hari ini saya ingin berkongsi diajarkan Allah bahawa Dialah Yang Maha Penyayang ... Pada suatu hari saya melihat gambar di atas. Gambar ini biasa saya lihat kerana memang ada di dalam komputer saya tetapi pada suatu hari saya melihat gambar yang sama tetapi ditanamkan kefahaman di dalam jiwa saya tentang kasih sayang Allah. Ketika saya melihatnya, diilhamkan ke dalam hati saya bagaimana Allah menghiasi gunung-gunung dengan salji yang indah demi kerana kasih sayangNya kepada hamba-hambaNya ... Maka terus saya tersedar betapa banyak tak terkira Allah menghiasi alam ini hanya untuk kita, kerana kasih sayangNya ... Selama ini memang saya tahu Allah Maha Pengasih lagi Maha Penyayang, tetapi perasaan yang saya alami kali ini sangat berbeza ... saya berusaha untuk menulis apa yang saya rasakan ini walaupun saya rasa begitu sukar untuk mengukirnya dengan kata-kata ... Sekiranya saya gagal, pembaca boleh saja mengamati gambar ini dan tunggu apa yang dirasakan dalam hati ...


Kasih sayang Allah itu tidak terukir dengan kata-kata dan tak tertulis dengan pena walau seluruh laut di bumi ini digunakan sebagai dakwatnya ... Bayangkan makanan yang Allah ciptakan untuk kita, makanan yang diperlukan untuk kita hidup. Boleh saja Allah ciptakan makanan itu cukup untuk membuatkan kita sihat dan hidup tanpa perlu ia merasa sedap. Tetapi Allah ciptakan makanan yang mempunyai berbagai rasa ... bayangkan ikan saja, berbagai jenis ikan tak terkira dengan berbagai rasa yang berbeza ... hanya untuk hambaNya. Bayangkan ayam, itik, lembu, rusa, arnab ... semuanya untuk kita. Keenakkannya berbeza ... Bayangkan buah-buahan ... tembikai, mangga, apple, rambutan, durian, strawberry, anggur, langsat, limau, pisang, jagung, jambu, betik, nenas, kuinin, salak ... lihat saja limau, berapa jenis limau ... mangga, berapa jenis mangga, durian, berapa jenis durian... setiap hari kita makan tetapi tidak kita rasakan kasih sayang Allah ketika kita memakannya ...




Saya merasakan seluruh diri dan kehidupan saya tenggelam dalam kasih sayang Allah. Sudah berapa lama saya hidup dan sudah berapa lama saya tidak merasai betapa PengasihNya Allah kepada saya sehingga sanggup mengingkari perintah dan larangan Allah ... Terbayang pula saya kepada usaha-usaha yang saya lakukan untuk menegakkan kalimah Allah ... aduh terlalu kecil jika saya sudah faham kasih sayang Allah ... malu saya kepada Allah ... malu saya untuk meminta kepada Allah, yang sudah diberi ini pun tidak terhitung banyakNya berbanding apa yang saya lakukan untuk Allah ...

Lihatlah dilangit ... setiap hari kelihatan berbeza ... indah permandangannya ... disiapkan untuk kita menatapinya ... tapi di mana Allah di dalam hati kita? Padahal setiap saat Allah menjaga kita ... tidak pernah sesaat Allah meninggalkan kita walaupun kita melakukan maksiat dan kejahatan ... itulah kasihnya Allah ... Dalam manusia lalai kepada Allah dan mengingkariNya, Allah buatkan U turn, ada yang jatuh sakit, ada yang kemalangan jalanraya ... agar kita kembali kepadaNya ... kerana kasihNya Allah kepada hambaNya ...


"Maka tidakkah mereka memerhatikan langit di atas mereka, bagaimana cara Kami membangunnya dan menghiasinya, dan tidak terdapat retak-retak sedikitpun?. Dan bumi yang Kami hamparkan dan kami pancangkan di atasnya gunung-gunung yang kukuh, dan Kami tumbuhkan di atasnya tanam-tanaman yang indah, untuk menjadi pelajaran dan peringatan bagi setiap hamba YANG KEMBALI (tunduk kepada Allah)" (Qaf: 6 - 8)

Pernahkah berlaku perkara yang tidak kita senangi dalam hidup kita? Contohnya kita kehilangan pekerjaan, kita disakiti, kita kehilangan sesuatu yang kita sayang ... yakinlah bahawa setiap yang berlaku dalam kehidupan kita Allah menulisnya dengan penuh kasih sayang ... kerana Allah itu Ar Rahman Ar Rahim ..... Tidak ada takdir yang buruk .. itu hanya persepsi mereka yang tidak dapat melihat kasih sayang Allah di sebalik peristiwa yang berlaku dalam kehidupan.

"Tiada satu bencanapun yang menimpa di bumi dan (tidak pula) pada dirimu sendiri melainkan telah tertulis dalam kitab (Lauhul Mahfuzh) sebelum Kami menciptakannya. Sesungguhnya yang demikian itu adalah mudah bagi Allah. ( Kami jelaskan yang demikian itu ) supaya kamu jangan berduka cita terhadap apa yang luput dari kamu, dan supaya kamu jangan terlalu gembira terhadap apa yang diberikan-Nya kepadamu. Dan Allah tidak menyukai setiap orang yang sombong lagi membanggakan diri. "

Al Hadid : 22-23.

Saudaraku, apa lagi alasan untuk kita tidak tunduk kepada Kehendak Allah ... apa lagi alasan untuk kita tidak menyempurnakan tugasan kita sebagai wakil Allah dengan sebaiknya (sebagai ibu/ayah/anak/pekerja/pendakwah..) dan apa lagi alasan untuk kita bermalas-malasan di dalam berjihad untuk menegakkan agamaNya?

"Apa yang di langit dan di bumi selalu meminta kepadaNya. Setiap waktu Dia dalam kesibukan. Maka Nikmat Tuhanmu yang manakah yang kamu dustakan"

(Ar Rahman: 29 - 30)

Hanya Allah yang Maha Mengetahui