Allah Ajarkan Tentang Jangan Meminta

Assalamualaikum wr. wb.


Alhamdulillah sudah hampir seminggu saya bekerja sendiri. Hampir setiap hari saya menghadiri mesyuarat atau appointment. Namun kehidupan saya lebih teratur dan lebih tenang dengan saya sendiri dapat menguruskan masa saya dan apa yang ingin saya lakukan. Walaupun baru hampir satu minggu tapi saya sudah mula ditarbiyah Allah untuk bergantung sepenuhnya kepada Allah dan ikhlaskan niat di dalam melaksanakan semua perkara. InsyaAllah selepas solat subuh, saya sering berdoa, Ya Allah Ya Bari', Kaulah yang Maha Merancang segalanya maka agendakanlah hari ku ini mengikut agendaMu ... InsyaAllah Allah akan menyusun hari kita dengan sempurnanya.


Pada hari ini saya ingin berkongsi diajarkan Allah untuk tidak meminta-minta. Kehidupan kita disusun Allah dan kita perlulah sentiasa bercita-cita agar setiap yang kita lakukan adalah mengikut kehendak Allah.

Pertama sekali saya diajarkan agar tidak meminta jawatan di dalam organisasi. Saya menyertai sebuah pertubuhan Islam sejak lebih 20 tahun yang lalu. Saya telah memegang berbagai jawatan di dalam organisasi ini. Saya menyedari bahawa apabila saya diberi amanah tanpa meminta-minta maka Allah mudahkan saya di dalam melaksanakan amanah itu ... Alhamdulillah seingat saya tidak pernah saya meminta sesuatu jawatan di dalam pertubuhan saya ... tapi kadangkala saya dengan cepat suka volunteer untuk ambil sesuatu tugasan dalam program-program yang kami rancangkan dan saya perasan juga bila saya yang volunteer bukan diberi oleh mesyuarat, saya tidak dapat menjalankan tugasan ini dengan baik ... Semenjak dari itu setiap kali mesyuarat saya lebih suka menunggu mesyuarat meminta saya melakukan suatu tugasan dan insyaAllah sekiranya tiada halangan saya terus menerimanya.


Di dalam syarikat lama saya, setiap kali kenaikan pangkat, saya tidak pernah meminta kenaikan pangkat. Semuanya diberikan kepada saya tanpa perlu memohon. Alhamdulillah saya bahagia bekerja di syarikat saya dan dimudahkan Allah. Namun untuk jawatan terakhir saya telah memohon kenaikan pangkat kerana polisi baru syarikat adalah pengiklanan jawatan kosong untuk kenaikan pangkat atau perpindahan. Maknanya kebanyakan kenaikan pangkat akan berlaku apabila calonnya memohon kenaikan pangkat. Saya telah memohon seperti calon-calon yang lain dan kemudian dari temuduga yang dijalankan saya telah ditawarkan kenaikan pangkat. Kemudian saya dapati bahawa saya menghadapi berbagai masalah di dalam kerja-kerja yang dilakukan di dalam memenuhi amanah di dalam jawatan baru ini. Saya tidak bahagia seperti sebelumnya dan sering stress .... Adakah ini kerana saya memohon untuk dinaikkan pangkat? Pastinya saya tiada pengetahuan tentang itu ...

Saya juga sering diberi projek-projek oleh rakan-rakan yang telah percaya kepada saya untuk mengendalikan sesuatu projek seperti event, latihan dan sebagainya. Alhamdulillah saya dapati semua projek-projek yang diberikan kepada saya ini dapat berjalan dengan lancar dan saya dapat rasakan pertolongan Allah di dalam melaksanakannya walaupun sebuah event yang besar yang diberi masa begitu singkat untuk membuat persiapannya.

Justeru pengalaman-pengalaman yang saya lalui ini mengajar saya agar saya tidak meminta suatu jawatan, tugasan ataupun projek ... InsyaAllah bila ianya diberi kepada saya nanti, sebenarnya itulah tugasan yang diberikan Allah kepada saya ...

Apa yang saya utarakan ini adalah apa yang saya lalui yang membuatkan saya lebih suka untuk menunggu tugasan yang berikutnya dari Allah ... Any comment?

Hanya Allah Yang Maha Mengetahui



Ulasan