Allah Ajarkan Tentang Pentingnya Ilmu Pemasaran

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh,

Bertemu lagi alhamdulillah ... saya agak sibuk bulan ini kerana setiap minggu mengendalikan Program Motivasi untuk anak-anak yang akan menduduki peperiksaan UPSR pada tahun 2010 ini. Program semalam dan hari ini sangat meletihkan saya tetapi saya sangat berpuas hati diberi peluang untuk mengenalkan mereka tentang siapa diri mereka, kenapa mereka ada di dunia ini dan tugas mereka untuk menguasai ilmu dan menjadi wakil Allah di terbaik insyaAllah ... Pada usia itu mereka sudah harus memahami hakikat itu semua agar keikhlasan mencari ilmu kerana Allah itu dapat terpahat ke dalam jiwa mereka sehingga mereka sampai ke universiti nanti insyaAllah dan seterusnya sehingga mereka pulang kepada Allah ... Masih saya ingat lagi bila saya bertanya kepada mereka ... kita berasal dari dunia ini ke ?, jawab mereka, tak ... kita guna roket apa datang ke dunia ini? tanya saya, perut mak kita ... jawab mereka.

Alhamdulillah saya bersyukur diajarkan tentang pentingnya ilmu pemasaran di dalam kerja-kerja dakwah ... Sebenarnya dari dulu lagi saya sering menyedari bahawa banyak program-program dakwah dan kemasyarakatan yang dianjurkan gagal mencapai sasarannya kerana masalah pemasaran tetapi saya tidak memberi sepenuh perhatian kearah peningkatan kelemahan tersebut.

Sejak kebelakangan ini saya mendapat kesedaran betapa kritikalnya pemasaran ini di dalam apa juga yang ingin kita lakukan, baik bisnes, dakwah, kerja-kerja kebajikan dan sebagainya ... Kita sering menumpukan perhatian kepada produk dan perkhidmatan yang ditawarkan tetapi kurang memberi perhatian kepada pemasarannya. Kerja-kerja dakwah dan kebajikan yang kita lakukan sebenarnya boleh mencapai sasaran yang lebih luas sekiranya pemasaran dijalankan secara strategik, efektif dan efisyen ... Kita sering tidak sanggup untuk menggunakan kaedah pemasaran yang strategik dan efektif kerana kita kekurangan modal ... Sebenarnya kita boleh memasarkan produk kita dengan efektif tanpa mengeluarkan belanja yang besar ... bagaimana ya?

Saya diajarkan bahawa di luar sana, perbelanjaan yang digunakan setahun di dalam pemasaran dan pengiklanan produk dan perkhidmatan berjumlah berbillion-billion ringgit. Mereka memerlukan berbagai medium yang strategik dan efektif untuk mengiklankan produk mereka. Usahasama boleh digunakan dengan syarikat-syarikat ini di dalam memasarkan program-program dakwah dan kebajikan kita ... win-win ... mereka mendapat medium yang baik dan dihormati rakyat untuk mengiklankan produk mereka, contohnya di banner-banner atau di bill board program kita, akan memaparkan logo-logo mereka sebagai sponsor bersama ... Mereka mendapat medium yang baik, kita mendapat dana untuk memasar dan mengiklankan program-program yang dianjurkan ... Kita dapat lihat di program-program pameran di convention center mempunyai berbagai sponsor, penyiar radio resmi, bank resmi dan sebagainya ...

Pada pandangan saya, kita yang terlibat di dalam kerja-kerja dakwah dan kebajikan ini jarang mempelopori bidang ini termasuk diri saya sendiri. Justeru demi usaha-usaha dakwah yang lebih luas dan berkesan, kita perlu menggunakan kaedah pemasaran terkini dan strategik. Semoga Islam dapat ditegakkan di negara yang kita cintai ini dan seluruh alam insyaAllah ...

Hanya Allah Yang Maha Mengetahui

Ulasan