POS TERKINI

Sabtu, Januari 30, 2010

Allah Ajarkan Untuk Ikut KehendakNya

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh ...

Alhamdulillah saya mendapat suatu pengalaman diajar Allah malam tadi untuk memastikan diri dan kehidupan ini sentiasa ikut kehendakNya ... walaupun sudah agak lewat malam, saya berusaha untuk merekodkan pengalaman ini yang sangat bererti bagi saya ... Mas Windy sahabat saya dari Solat Center Jogja Indonesia mencadangkan agar sebelum membaca penulisan saya ini kita membaca Basmallah terlebih dahulu agar Allah memberikan kita kefahaman ... kerana pada hakikatnya Allahlah yang sebenarnya mengalirkan ilham untuk saya menulis dan Allah jualah yang mengalirkan kefahaman ke dalam hati dan jiwa kita ... Bismillahirrahmanirrahim ... Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani ...

Saya mempunyai 3 mesyuarat yang perlu saya hadiri malam tadi ... Semuanya mempuyai kepentingan dan keutamaan (urgency) yang tersendiri. Saya tidak pasti mesyuarat mana yang perlu saya ikuti. Mesyuarat 1 adalah mesyuarat berkaitan dengan urusan masyarakat, Mesyuarat 2 berkaitan dengan persiapan kursus pada hari ini sehingga hari ahad, dan mesyuarat 3 adalah mesyuarat bersama dengan sepupu suami saya berkaitan dengan urusan perniagaan ... Saya tanya kepada Allah mesyuarat mana yang perlu saya pergi dan diilhamkan kepada Allah mesyuarat yang pertama ... Namun hati dan nafsu tidak mahu ke mesyuarat yang pertama kerana tempatnya agak jauh dan saya khuatir terpaksa pulang lewat kerana saya baru saja baik dari demam .... dan saya memilih untuk pergi ke mesyuarat yang kedua kerana tempatnya dekat dan mesyuarat yang ketiga kerana suami saya yang akan membawa kereta ... Itu lah jusifikasi saya memilih dua mesyuarat tersebut. Justeru saya pergi ke mesyuarat yang kedua terlebih dahulu ... dan cadangnya selepas itu suami akan menjemput saya untuk ke mesyuarat yang ketiga dan saya tidak pergi ke mesyuarat yang pertama ...

Lihat saja apa yang berlaku .... Ketika saya hadir ke mesyuarat yang kedua, tidak banyak contribution yang dapat saya berikan kerana mesyuarat tersebut banyak melibatkan fasi-fasi saya ... alhamdulillah mereka cukup berpengalaman ... sebaik selesai mesyuarat tersebut, saya hubungi suami untuk pergi ke mesyuarat yang ketiga dan saya dimaklumkan oleh suami saya bahawa beliau berkali-kali cuba menalipon sepupunya tetapi tidak diangkat ... maka mesyuarat itu dibatalkan. Memandangkan waktu telah lewat untuk pergi ke mesyuarat yang pertama, saya mengajak anak saya dan beberapa orang teman untuk makan di kedai .... Apa yang berlaku selepas itu hujan turun dengan lebatnya dan kami terperangkap dan hanya dapat pulang jam 12:30 malam! Saya pulang dengan hati yang gelisah ...

Pada pagi tadi hati saya jadi gelisah, semacam seribu penyesalan yang menimpa ... Menyesal kerana saya tidak ikut petunjuk Allah ... hati saya merintih memohon ampun pada Allah ... saya malu pada Allah ... Penyesalan dan taubat kepada Allah menghasilkan kenikmatan yang sukar saya gambarkan ... rasa sangat dekat dengan Allah, tidak mahu yang lain dari Allah, rasa cinta pada Allah ... Allah yang mengurniakan perasaan ini pada hamba-hambaNya yang menyesal dan bertaubat kepadaNya ... walaupun hambaNya membuat kesalahan tetapi dikurniakanNya kenikmatan, hebatnya Allah ... Subhanallah, alhamdulillah segala puji dan puja hanya untukMu Ya Allah ...

Kesimpulannya bila kita ikut kehendak Allah, insyaAllah dimudahkan Allah kehidupan kita, hati tenang dan bahagia tetapi apabila kita tidak ikut kehendak Allah, ada saja yang tak kena, hati jadi gelisah dan terseksa, kehidupan jadi sengsara...

Saya rasa begitu indah hari ini ... tenang dan bahagia hidup bersama Allah ... Allah ajarkan untuk sentiasa ikut kehendakNya dan Allah ajarkan apa yang perlu saya fokus dalam kehidupan ini yang pastinya tidak lain dari menyambung risalah perjuangan Rasulullah saw dan menegakkan kalimah Allah di muka bumi ini ...


Hanya Allah Yang Maha Mengetahui.

Selasa, Januari 26, 2010

Allah Ajarkan Untuk Bertanya kepadaNya

Assalamualaikum wr. wb.

Alhamdulillah saya dan suami baru pulang dari Jakarta untuk bertemu dengan Mas Opick dan keluarganya di Jakarta. Saya juga berkesempatan menziarahi Pak Ustaz Abu Sangkan dan isteri .. Alhamdulillah, Pak Ustaz dah buka restoran itik goreng ... sedap masakannya ... Penulisan di bawah ini saya telah mulakan pada 8 Disember 2009 yang lepas tetapi tidak dapat dihabiskan. Jadi saya sharekan di sini keseluruhan entry yang telah pun dapat saya habiskan pada malam ini, insyaAllah. Semoga dapat dimanfaatkan bersama ...

.........................................................................................................................

Alhamdulillah saya bersyukur dapat menulis di awal pagi begini mendapat kesegaran dan kekuaatan semula setelah begitu agak keletihan sebelum ini. Itulah nikmat awal pagi yang sering kita lalaikan ...

Saya ingin kongsikan pagi ini bagaimana Allah sentiasa mengajar saya dan memotivasikan saya untuk sentiasa bertanyakan kepadaNya .. kerana Dia adalah Yang Maha Tahu dan kita ini sentiasa tidak tahu ... apakah lebih elok kita ikut jalan A atau jalan B untuk ke tempat kerja pun kita tidak tahu .. kita sangkakan kalau ikut jalan A pastinya lebih cepat sampai tapi kemudian bila kita memasuki jalan A, tiba-tiba ada accident, kita mungkin sampai satu jam lewat ... Pernah terjadi tak ... kemudian dalam hati kita kata, eh kalau aku ikut jalan tadi lagi elok ... Belum tentu ... mungkin Jalan tadi lebih teruk jamnya pada hari itu, betulkan .. Itu baru tentang jalan, belum lagi tentang rezeki, tentang jodoh dan sebagainya ...

Kita selalu pening kepala untuk buat keputusan sehingga kadang-kadang tidak lalu makan, stress dan boleh sakit ... Kenapa kita susahkan diri kita, tanyakan saja pada Yang Maha Tahu itu ... Allah Yang Maha Mengetahui ...

Izinkan saya berkongsi bagaimana saya membuat keputusan untuk bersara awal pada usia 45 tahun. Suatu keputusan yang begitu amat sukar untuk dilakukan. Saya pun belum tahu samada pada usia tersebut saya pastinya akan bersara kerana hanya pada 16 Februari 2010 barulah saya mencapai usia 45, itupun kalau masih diberi kehidupan oleh Allah ... tapi saya telah pun membuat keputusan itu, menghantar surat permohonan dan telah pun diluluskan oleh pengurusan syarikat saya bekerja. Apapun, moga-moga perkongsian ini dapat dimanfaatkan oleh rakan-rakan pembaca yang dirahmati Allah.

Saya berfikir untuk berhenti kerja semenjak saya berusia lebih kurang 30 tahun, iaitu hampir 15 tahun yang lalu. Saya sering solat istikharah tetapi disebabkan kejahilan saya, saya sering stress bila memikirkan perkara itu. Setiap kali saya bertanya kepada Allah, saya tidak mendapat apa-apa jawapan seperti mimpi dan sebagainya tetapi kefahaman yang dialiri di dalam jiwa saya adalah Allah diam tidak memberi apa-apa respon kepada saya. Saya yakin Allah mendengar pertanyaan saya tetapi Allah tidak menjawabnya. Justeru saya bertekad tidak akan membuat keputusan sekiranya saya tidak mendapat isyarat yang jelas dari Allah.

Tahun berganti tahun, bulan silih berganti ... macam cerita dalam novel :) ... saya tidak pernah putus asa di dalam bertanya kepada Allah. Kadang kala saya lupa tapi apabila saya ingat, saya terus membuat solat istikharah lagi dan bertanya kepada Allah untuk berhenti kerja dari syarikat saya dan berkecimpung di dalam bidang yang saya minati iaitu Pembangunan Sumber Manusia ... Saya berjumpa dengan Naib Presiden Sumber Manusia agar pindahkan saya ke Bahagian Latihan namun atas sebab-sebab kepentingan syarikat saya diminta terus untuk membuat kerja-kerja perancangan. Saya bertanya kepada Allah, namun tiada jawapan dan saya terus bersabar kerana saya tidak mahu membuat keputusan berdasarkan kehendak saya kerana saya yakin kehendak Allah lebih baik dan saya ingin menjalankan kehidupan saya mengikut kehendak Allah. Biarpun saya meminati bidang pembangunan modal insan namun ianya belum tentu baik untuk saya ... Itulah yang saya yakini ... Allah lebih Mengetahui dan saya adalah yang sangat tidak mengetahui apa-apa melainkan apa-apa yang dikehendaki oleh Allah ...

Satu hari saya mendapat mimpi dan di dalam mimpi itu saya menyerahkan surat perletakan jawatan saya. Apabila saya sedar, saya agak kesedihan kerana saya rasa ketika itu saya sudah kehilangan kerja ... Namun beberapa lama kemudian saya teringat kembali pertanyaan saya kepada Allah yang telah sekian lama ... Akhirnya saya gembira bahawa setelah lebih 10 tahun saya bertanya Allah memberikan jawapannya. Suami dan anak saya mengusik saya, kata mereka mana tahu itu jawapan dari Allah ... kemudian saya terus menerus bertanya kepada Allah lagi samada dalam solat mahupun dalam doa-doa yang saya panjatkan dan setiap kali saya bertanya, Allah memberikan jawapanNya kepada saya dengan diilhamkan kepada saya ... JawapanNya jelas untuk saya bersara awal ...

Bukan mudah untuk meninggalkan pekerjaan apatah lagi bila ianya agak lumayan dan menjanjikan kesenangan ... Tidak kurang rakan-rakan yang tidak bersetuju dengan keputusan saya untuk bersara awal ... bermacam-macam hujah yang diberikan kepada saya ... Tidak kurang juga yang menakutkan saya dengan kesusahan yang akan saya hadapi ... Justeru dalam keadaan kebingungan memikirkan masa depan anak-anak (yang masih bersekolah) saya berdoa kepada Allah, walaupun Allah sudah banyak kali merespon, saya katakan pada Allah ini kali terakhir saya bertanya sebelum menghantar surat kepada syarikat saya .... bagilah saya isyarat yang jelas bahawa persaraan awal ini adalah yang terbaik. Pada malamnya alhamdulillah Allah ingatkan kepada saya kata-kata yang diucapkan oleh Saydina Abu Bakar r.a kepada Rasulullah saw apabila Rasulullah saw bertanya ... apa yang kau tinggalkan untuk anak dan isterimu ... apabila Saydina Abu Bakr menginfakkan keseluruhan hartanya untuk menghadapi peperangan. "Aku tinggalkan Allah dan RasulNya" ... begitulah hebatnya jawapan Allah, cukup sempurna ...

InsyaAllah tanggal 25 Februari 2010 nanti adalah hari terakhir saya di syarikat saya sekarang ini. Saya yakin dengan keputusan ini kerana Allah telah memberi jawapan dengan jelas kepada saya, alhamdulillah ...

Secara ringkasnya apa yang ingin saya sharekan di dalam penulisan ini adalah amalan bertanya kepada Allah sebelum membuat keputusan ..InsyaAllah jawapan Allah akan sentiasa tepat dan cukup sempurna ... justeru usah pening-pening dan stresskan jiwa ... ayuh bertanya aja kepada Allah dan tunggulah jawapan Allah ....

Hanya Allah Yang Maha Mengetahui

Sabtu, Januari 16, 2010

Allah Ajarkan Tentang Ujian

Assalamualaikum wr. wb.

Selamat bertemu kembali insyaAllah di dalam jiwa yang tenang, ingat kepada Allah dan perpegang kuat kepada tujuan kehidupan hanya kerana Allah, Lailahaillallah ... Pertamanya saya ingin mengucapkan terima kasih kepada pembaca-pembaca yang sudi memberikan maklumbalas untuk dimasukkan ke dalam Majalah Nur ... Kita doakan agar Majalah Nur akan terus berperanan membangunkan jiwa-jiwa yang kenal kepada penciptaNya insyaAllah ...

Pada pagi ini saya ingin berkongsi diajarkan Allah tentang ujianNya ... Alhamdulillah, bila diuji kita rasa lebih dekat dengan Allah, bila diri terasa lemah maka akan teserlah kehebatan Allah dan kerdilnya diri ini dihadapanNya ... Ya Allah Ya Tuhanku, tidak aku mampu menghadapi ujianMu tanpa pertolonganMu ... ampuni aku yang sering tewas dengan nafsuku ...namun aku tidak sanggup menjauh dari Mu, tidak sanggup kehilanganMu dari hatiku ... aku takut kehilanganMu ya Allah ... ampuni aku ...

Setiap nafas adalah untuk Allah ... Itulah satu-satunya cita-cita saya .. tidak ada keinginanan yang lain, tidak ada kemahuan yang lain dalam kehidupan ini ... namun diri sering tewas bila diuji ... jiwa rasa lemah dalam ketewasan ini ...

Alhamdulillah saya dapat segera menyedari bahawa bila ujian datang sebenarnya Allah yang datang kepada kita untuk menguji apakah kita benar-benar mencintaiNya atau cinta dan rindu itu hanya sekadar ungkapan dibibir .. Kita sendiri nanti dapat menjadi saksi samada kita benar-benar sedang bercinta dengan Allah atau sekadar bermain sandiwara.

Alhamdulillah di dalam kebingungan menghadapi ujian ini, Allah takdirkan saya menghadiri sebuah forum di mana salah seorang ahli panelnya adalah Ustaz Nik Abduh Nik Aziz (anak Tok Guru Nik Aziz). Ustaz menceritakan tentang peristiwa Isra' dan Mikraj di mana kata ustaz bahawa peristiwa itu merupakan ujian keimanan kepada Rasulullah saw dan para sahabat ... Sebelum Allah menguji dengan ujian secara amali iaitu Hijrah, Allah uji dahulu para sahabat dengan Ujian keimanan ini ... Itulah sunnahtullah ... di dalam Al-qur'an Allah ada menyebut bahawa Allah tidak akan membiarkan kita mengatakan bahawa kita telah beriman tanpa Allah menguji kita terlebih dahulu dan Allah telah menguji orang-orang terdahulu dari kita ... dan setelah peristiwa Isra' dan Mikraj maka berlakulah peristiwa Hijrah yang menjadi sejarah. Hijrah adalah pengorbanan besar meninggalkan dunia keseluruhannya (jawatan, pangkat, harta, rumah dsb) dan untuk seseorang itu melakukan pengorbanan ini dia perlu diuji keimanannya terlebih dahulu agar nanti dia sanggup menahan ujian yang lebih besar di dalam pengorbanan amali yang dilakukan ... Itulah antara yang saya pelajari dalam ceramah Ustaz Nik Abduh ini ...

Ceramah Ustaz Nik Abduh itu sedikit sebanyak dapat memahamkan saya tentang ujian-ujian yang sedang saya hadapi ... Allah memproses kita melalui ujian-ujian ini ... Allah ingin mengukuhkan lagi keimanan dan kecintaan kita kepadaNya ... Namun mata hati kita perlu sentiasa sedar perkara ini apabila ujian datang kepada kita, agar kita tidak tewas dengan nafsu serakah yang sentiasa membuncah ...

Hanya Allah Yang Maha Mengetahui

Khamis, Januari 07, 2010

Allah Ajarkan Tentang Taat Kepada Suami

Assalamualaikum wr. wb.

Bertemu kembali di penulisan kali ini dengan tajuk agak sensitif : ) terutamanya bagi wanita bekerjaya macam saya ... Sebelum saya meneruskan penulisan kali ini, saya ingin memaklumkan bahawa Majalah Nur menghubungi saya dan ingin mendapatkan maklumbalas dari pembaca setia blog ini (kalau ada) dengan persoalan yang dikemukakan adalah ... kenapa minat membaca blog Ummu Ayman ... Jadi mungkin kalau ada yang dapat memberikan maklumbalas bolehlah sms ke 0196241965 (untuk diluar Malaysia +60196241965) untuk dimajukan kepada pengarang majalah tersebut ... Semoga sedikit usaha ini akan dapat dimanfaatkan oleh sahabat-sahabat yang lain dan diredhai Allah.

Tajuk yang ingin saya sharekan di sini agak sensitif ... Saya sebenarnya agak teragak-agak untuk berkongsi pengajaran ini tetapi saya rasa perkara ini sangat relevan hari ini terutamanya apabila terdapat banyak masalah rumahtangga yang melibatkan wanita bekerjaya ... Jadi saya rasa sangat terpanggil untuk berkongsi pengajaran ini ...

Saya bekerja di salah sebuah syarikat korporat terbesar di Malaysia dengan bilangan pekerja mencecah 26,000 orang. Sudah 20 tahun saya mencurah bakti di syarikat tersebut ... banyak yang telah saya korbankan untuk syarikat ini termasuk keluarga dan kesihatan saya sendiri .. Saya sering pulang lewat apabila ada assignment yang perlu disiapkan ... Walaupun kadangkala saya agak ketakutan tinggal bersendirian di pejabat di waktu malam namun saya kuatkan hati menghabiskan kerja-kerja untuk dimajukan pada keesokkan hari. Syarikat ini telah banyak melatih dan memahirkan saya terutamanya kerja-kerja yang berkaitan dengan pengurusan. Ia juga mengajar saya untuk berdikari dan membuat sesuatu dengan efisyen dan efektif. Justeru saya sudah terlatih berfikir dengan cepat dan memastikan sesuatu itu terlaksana ... samada secara berpasukan atau saya sendiri akan membuatnya seorang diri jika tidak ada yang membantu ... Hanya sejak akhir-akhir ini apabila saya diajarkan untuk sentiasa bertanya kepada Allah, maka saya akan memohon petunjuk dari Allah dahulu sebelum membuat sesuatu keputusan.

Justeru, apabila saya telah terlatih sebegini, terkadangkala di dalam saya melaksanakan sesuatu saya tidak bertanya kepada suami saya terlebih dahulu. Sehinggakan baru-baru ini ketika saya membuat kerja luar, saya membuat keputusan di saat-saat akhir untuk menghadiri suatu event tanpa memaklumkan kepada suami saya dan apabila suami saya mengetahui perkara ini beliau telah berkecil hati kepada saya ... Saya memohon keampunan kepada Allah dengan solat sunat taubat dan bertekad tidak akan melakukannya lagi ...

Lebih kurang dua atau tiga hari selepas itu saya telah pergi ke klinik syarikat saya untuk diambil darah bagi tujuan pemeriksaan kesihatan. Lab assistant di sana adalah seorang yang sangat baik dan berlemah lembut dengan sesiapa saja dan saya sudah biasa berurusan dengannya. Ketika dia sedang mengambil darah saya, secara spontan dengan lembutnya dia berkata kepada saya ... Jadi suami ni susah, kena pastikan anak dan isteri tunduk pada Allah ... jadi isteri senang, hanya perlu taat pada suami ... Hati saya tersentak ketika itu dan terus teringat peristiwa kesilapan yang saya lakukan terhadap suami saya ... Saya terus dapat melihat dengan mata hati saya bahawa Allahlah yang sebenarnya yang memberitahu saya untuk taat kepada suami saya tetapi melalui lidah lab assistant yang begitu berlemah lembut ini ... Walaupun telah membuat kesilapan, Allah masih mengajar saya dengan penuh kelembutan ... Ya Allah, Engkaulah Yang Maha Lembut ... Saya tidak dapat hendak menceritakan perasaan saya apabila teringatkan peristiwa ini, sayangnya Allah pada saya ... lembutnya Allah ...

Sejak peristiwa itu, saya akan memastikan kemana saja saya pergi saya akan memaklumkan kepada suami saya dan apa pun perancangan saya akan saya kongsikan kepadanya terlebih dahulu ... Inilah ujian wanita bekerjaya ... kebolehan berdikari, berfikir serta merancang kadangkala membuat kita lalai terhadap tanggungjawab kepada suami ... Semoga Allah membantu kita semua khususnya kaum wanita hari ini di dalam menyempurnakan tanggungjawab sebagai isteri dan ibu dan menjadikan kita wanita yang solehah mujahidah akhir zaman insyaAllah ... Amin ...

Alhamdulillah pada 15 Julai ini insyaAllah saya dan suami akan menyambut ulangtahun perkahwinan kami yang ke 25 tahun ... Suami saya adalah antara nikmat dan hadiah terbesar Allah kepada saya ... dia terbaik untuk saya ... dia adalah pilihan Allah untuk saya ... segala kasihsayang yang dicurahkan suami kepada saya dapat saya rasa sebenarnya adalah kasihsayang Allah yang dicurahkan kepada saya ... Saya sangat bersyukur kepada Allah ...

Kepada rakan-rakan wanita yang bekerjaya seperti saya, berhati-hatilah dengan setiap langkah kita agar kita sentiasa menjadi isteri yang taat kepada suami ... Suasana di tempat kerja dengan pergaulan lelaki-wanita yang agak loggar batasnya sedikit sebanyak boleh mencairkan iman dan membawa kepada kemungkaran yang boleh menghancurkan rumahtangga yang kita dirikan dan menghancurkan hati anak-anak yang rindukan kebahagian bekeluarga ... Ingatlah selalu bahwa keredhaan Allah bersama dengan keredhaan suami ...

Hanya Allah Yang Maha Mengetahui