Selasa, Disember 22, 2009

Allah ajarkan bagaimana cinta sesama manusia menyuburkan cinta kepada Allah

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh,

Apa khabar semua? Agak lama saya tidak berpeluang untuk menulis di blog ini. Alhamdulillah pada pagi ini walaupun badan saya masih letih tetapi 'mood' menulis itu ada ... Saya agak sibuk lebih kurang sebulan yang lalu ...

Masih ingat pengendalian Konsert Amal bersama OPICK yang kami jalankan baru-baru ini? Sebaik sahaja konsert selesai dan semua tetamu telah pulang, saya seperti biasa ke tempat kerja menyambung tugasan di pejabat. Pada pagi itu saya mempunyai tugasan luar dan ketika memandu saya berkata kepada Allah betapa peliknya saya rasa ... konsert yang dijalankan telah mengalami defisit tetapi saya tidak rasa kehilangan ... malah pada pagi itu saya rasa tenang dan gembira ... kemudian saya katakan kepada hati kecil saya .. mungkin kerana apabila wang yang ada kita pulangkan kepada Allah, kita rasa gembira dapat menyumbang di jalanNya ...itulah kata-kata yang berkisar di fikiran dan hati saya ketika itu ...

Lebih kurang 30 minit selepas itu saya mendapat panggilan telefon dari seorang Pengurus Besar di sebuah agensi kerajaan yang meminta saya mengendalikan sebuah program ala karnival - konsert dengan kehadiran 15000 - 25000 orang katanya ... Nora tolong buat proposal ... terkedu saya dibuatnnya ... sukar untuk saya percayai ... bertambah yakin dihati saya ketika itu bahawa Allah akan menggantikan apa saja yang kita infaqkan di jalanNya ... tapi di dalam peristiwa ini, begitu cepat ia berlaku ...

Alhamdulillah program tersebut telah pun selesai diurus Allah dengan cukup sempurna. Program yang sepatutnya diadakan di stadium telah diadakan di sebuah kompleks besar dengan kehadiran peserta dikurangkan atas beberapa sebab. Program berjalan dengan begitu baik dan lancar. Cuaca di sepanjang program dijalankan tidak panas dan rata-rata Pengurus Besar itu memaklumkan kepada saya bahawa para peserta sangat berpuas hati dengan program yang dijalankan. Saya bersyukur kehadrat Allah yang memberikan pertolonganNya dan saya begitu terharu dengan komitmen yang ditunjukkan oleh semua ahli jawatankuasa dan urusetia yang sama-sama mengendalikan karnival/konsert tersebut. Ada yang bekerja terus sampai jam 4 pagi, ada yang tidak tidur di apartment yang disediakan tetapi tidur di kompleks tersebut pada malam hari sebelum program dijalankan. Walaupun begitu letih dengan persiapan pada malam sebelumnya tetapi semuanya kelihatan ceria pada hari program diadakan dan sangat bertimbang rasa di antara satu sama lain ... Itulah nikmat Allah yang sangat saya syukuri dikurniakan sahabat-sahabat dan anak-anak muda (kebanyakannya pelajar universiti) yang komitted memberikan yang terbaik semata-mata kerana Allah. Pastinya mereka ini sangat dekat di hati saya insyaAllah buat selama-lamanya.

Saya telah mencadangkan kepada pengurusan agensi kerajaan tersebut untuk menjemput OPICK, Ina Naim dan Suhaimi bagi menyerikan acara persembahan dan segmen Santai Bersama Selebriti. Alhamdulillah persembahan hebat OPICK di majlis perasmian telah memukau hadirin yang datang termasuk Menteri Besar yang turut hadir. Begitu juga Ina Naim dan suaminya Suhaimi telah menarik perhatian peserta sehingga saya lihat seorang pakcik yang agak tua begitu khusyuk mendengar Ina Naim berbicara : )

Secara ringkasnya di antara proses pembelajaran yang saya lalui di dalam pengendalian program besar ini adalah:-

1. Yakin bahawa apa juga perubahan yang dilakukan walaupun di saat-saat terakhir adalah dalam perancangan Allah dan terima saja perubahan tersebut dan berusaha sebaik mungkin. Tidak perlu kita menyalahkan sesiapa di dalam perubahan yang berlaku.

2. Tetapkan diri dalam kesabaran menghadapi apa saja yang berlaku sebelum, ketika atau selepas program. Berikan senyuman dan layanlah apa saja masalah yang diutarakan dengan baik.

3. Kuatkan pergantungan kepada Allah dan bersungguh-sungguh memohon kepadaNya untuk memberikan pertolongan. Datanglah kepada Allah dalam keadaan diri yang sememangnya serba tidak tahu dan serba lemah.

Maaf panjang intro di atas .. sekadar sharing especially untuk rakan-rakan yang di luar Malaysia yang mengikuti perkembangan kami di sini ..

Pada pagi ini saya ingin kongsikan suatu yang diajarkan Allah kepada saya pada pagi tadi ... bagaimana cinta sesama manusia memantapkan cinta kepada Allah ...

Saya rasa di dalam kehidupan kita, kita tidak boleh lepas dari menyukai sesama manusia dan perkara ini akan membuatkan kita bingung apabila ianya sedikit sebanyak melalaikan kita dari mengingati Allah ... Fikiran kita yang sepatutnya sentiasa ingat kepada Allah diisi dengan mengingati insan yang kita cintai atau sukai itu ... samada suami/isteri kita, anak-anak kita, rakan baik kita, guru kita atau trainer kita ... Apakah tidak boleh kita menyukai dan mencintai sesama manusia? Persoalan ini sering ditanya kepada saya dan sering juga saya fikirkan tapi sering kebuntuan. Justeru saya sering memadamkan apa juga perasaan suka yang saya ada kepada manusia dan kehidupan saya menjadi tenang apabila hanya ada Allah di hati saya ...

Alhamdulillah pada pagi ini diilhamkan di hati dan jiwa saya bahawa perasaan cinta sesama manusia dapat memantapkan perasaan cinta kepada Allah. Bayangkan seseorang yang kita suka ... mungkin kita sukakan wajahnya yang cantik/ handsome, mungkin kita sukakan kepada kelembutannya, mungkin juga kita sukakan sifat tanggungjawabnya... hanya dengan wajah yang cantik, sudah begitu hebat rasa cinta kita kepadanya ... kehebatan manusia yang kita sukai itu samada wajahnya, kelembutannya, sifatnya hanyalah ibarat setitik kecil debu jika dibandingkan dengan kehebatan Allah. Allah ingin menunjukkan kehebatannya melalui kehebatan yang dialirkan kepada hambaNya ... Wah dengan kehebatan yang setitik debu itupun sudah begitu hebat sukanya kita kepada manusia. Kemudian, saya bandingkan rasa kagum saya terhadap kehebatan manusia yang sebesar setitik debu dengan kehebatan Allah maka saya terus dapat merasakan begitu hebatnya Allah dan bertambahlah kagumnya saya kepada Allah dan bertambah lagilah cinta saya kepadaNya.

Begitulah yang saya rasakan pada pagi ini ... Bertambah hebatnya rasa cinta kepada Allah itu saya rasakan ... Segala perasaan cinta kepada manusia yang teralir dijiwa saya teralir dengan sendirinya kepada Allah dan perasaan cinta kepada manusia itu tidak dapat menandingi langsung perasaan cinta yang hebat kepada Allah itu ... Justeru, kita tidak akan lalai dari mengingati Allah kerana perasaan cinta kepada Allah itu jauh lebih hebat dari perasaan cinta sesama manusia maka secara otomatisnya kita akan lebih sentiasa mengingati Allah berbanding mengingati sesama manusia ...

Ringkasnya, boleh kita mencintai manusia tetapi jangan sampai cinta itu melebihi cinta kepada Allah sehingga kita lalai dari mengingati Allah dan jangan sampai kita melanggari syariat yang telah ditetapkan oleh Islam. Bagi pasangan lelaki dan wanita yang belum berkahwin, saya masih berpendirian bahawa elakkan dari bercinta dan berhubungan kerana belum tentu yang kita cintai itu akan menjadi jodoh kita dan dikhuatiri kita akan mendekati zina dan melalaikan kita dari mengingati Allah.

Penulisan saya kali ini adalah hanya sebagai sharing bagaimana cinta sesama manusia dapat memantapkan lagi perasaan cinta kepada Allah, cinta tertinggi yang suci dan abadi insyaAllah ...

Hanya Allah Yang Maha Mengetahui.

Tiada ulasan: