Allah Ajarkan Dialah Tempat Bergantung

Assalamualaikum wr. wb.

Apa khabar semua? Pada malam ini saya ingin berkongsi pengalaman diajar Allah bahawa Dialah tempat bergantung ...

Lebih kurang dua minggu yang lalu, suami saya dirompak wang sebanyak RM15000. Beliau mengeluarkan wang dari bank dan diikuti sehingga sampai di rumah. Sebaik saja beliau keluar dari kenderaan, dua orang bersenjatakan parang terus meminta wang yang dikeluarkan dari bank tersebut. Kata mereka, "Haji ... kita tahu Hj baru keluar bank kan .. mana duit tu .." Begitulah lebih kurang kata mereka sambil mereka mengertaknya dengan parang-parang tersebut. Mereka merentap poket seluar suami saya dan mengambil semua wang yang dikeluarkan.

Saya tidak begitu terkesan dengan kehilangan wang tersebut kerana belum sempat merasakan kehilangan wang itu, saya dialiri rasa syukur kerana suami saya tidak diapa-apakan ... Saya tidak dapat bayangkan berapa harganya sebelah mata jika dibandingkan dengan Rm15000. Ketika itu saya terfikir, apa yang ingin Allah ajarkan pada saya dari peristiwa ini ...

Wang RM15000 itu dikeluarkan untuk membayar deposit resort bagi kursus yang akan kami jalankan dua minggu berikutnya dan keperluan lain yang berkaitan dengan kursus tersebut. Apabila kami kehilangan wang tersebut, saya terus menjual beberapa saham yang saya ada kepada rakan saya, cikgu Yati kerana tidak sempat untuk menjualnya di pasaran terbuka. Saya sepatutnya mendapat RM13000 dengan penjualan saham tersebut dan saya merasa lega kerana dapat menyelesaikan kebuntuan untuk membayar resort dan segala keperluan yang lain bagi kursus tersebut. Saya lupa bahawa Allahlah yang pada akhirnya yang berkuasa menyelesaikan kebuntuan itu... rakan yang membeli saham saya hanya dapat membayar RM7000 saja dan menghadapi masalah bagi membayar bakinya kerana wang hasil penjualan saham di koperasinya hanya dapat diterima dalam tempoh seminggu.

Dua hari sebelum kursus dijalankan saya masih belum mendapat baki RM6000 yang diperlukan. Hati saya mula risau dan bertambah risau apabila saya melihat sms yang dihantar oleh Cikgu Yati yang mengatakan, wang dari penjualan saham koperasinya masih belum masuk ke dalam akaunnya. Saya terus rasa lemah dan hilang punca di mana saya dapat mencari bakinya. Saya katakan pada Allah, "Ya Allah pada Engkau saja tempat aku bergantung ..." Saya merasa sangat lemah ketika itu dan sangat berharap kepada pertolongan Allah. Kemudian Allah mengilhamkan dalam hati saya dengan kata-kata yang dapat saya rasakan dalam hati...Kata-kata itu kalau diterjemahkan ke dalam bahasa manusia bunyilah lebih kurang ... "Apakah baru sekarang kau rasakan bahawa Aku tempat kau bergantung, bila kau kesusahan ... bila kau kehilangan wang ...selama ini kau bernafas dengan siapa kau bergantung, kau angkat kaki dan tangan, dengan siapa kau bergantung ..." sebuah ungkapan penuh kelembutan masuk jauh ke dalam hati saya ... Saya terus menangis penuh keinsafan.

Kata-kata yang dialiri ke dalam jiwa saya ketika itu sangat menyedarkan saya bahawa Allahlah tempat saya bergantung setiap saat dan ketika ... dan sudah berapa lama keyakinan ini tidak benar-benar masuk ke dalam hati dan jiwa saya ... saya menangis sepanjang malam. Menangis kerana saya sangat bersyukur diajarkan Allah sehingga masuk ke dalam hati dan jiwa saya bahawa hanya Dialah tempat saya bergantung. Peristiwa kehilangan RM15000 menjadi suatu yang sangat saya syukuri kerana keyakinan bahawa Allah tempat saya bergantung yang saya dapat pada malam itu tidak dapat dibeli dengan wang sejuta, dua juta atau berapa saja ...

Kesyukuran itu saya zahirkan melalui sms saya kepada beberapa orang teman, "Keimanan dan Keyakinan yang benar-benar masuk ke dalam jiwa adalah sebesar-besar nikmat dari Allah ..."

Pada keesokkan harinya, saya mendapat keseluruhan wang yang diperlukan ... Allah tempat saya bergantung telah menguruskan segalanya : )

Allah Yang Maha Mengetahui

Ulasan

Tanpa Nama berkata…
Asslammualaikum
Hebat sungguh dugaan umi.Semoga kesabaran sentiasa bersama kita.

Nak tanya skit, agaknye ada tak bengkel Solat Khusyuk selepas tarikh 21 dan 22 Nov 2009?
Ummi Nora berkata…
Wa'alaikummusalam,

InsyaAllah ada tapi kalau nak Pak Ustaz Abu Sangkan tak sure lah bila kita boleh dapat sebab jadual Pak Ustaz padat. Singapura tunggu setahun untuk dapatkan Pak Ustaz datang ke sana ...