Allah Ajarkan Tentang Keindahan Hidup diurus Allah

Assalamualaikum wr. wb.

Pada hujung minggu lepas saya dan rakan-rakan mengendalikan Kursus Kesempurnaan Ibadah di Pantai Remis, Kuala Selangor. Kursus kali ini lebih mencabar kerana terjadi beberapa perkara yang tidak diduga. Saya dan rakan-rakan sangat keletihan menguruskannya. Alhamdulillah pada jam lebih kurang 6 petang pada hari Ahad, kami bertolak balik ke Kuala Lumpur.

Saya sememangnya mengambil cuti pada hari Isnin untuk memberi kerehatan pada badan agar saya dapat menyempurnakan tugasan di pejabat dengan baik. Kemudian saya merasa pelik kenapa pada hari Isnin tersebut, saya tidak begitu displin dengan masa makan saya. Saya sebenarnya sangat displin dengan waktu makan kerana masalah gastrik yang sering berlaku. Saya akhirnya makan tengahari pada jam hampir 4 petang.

Keesokkan harinya saya pitam dan muntah-muntah. Badan terasa sangat lemah dan suami saya membawa saya ke klinik. Saya diberi cuti sehari oleh doktor dan saya terus balik dan tidur setelah saya makan pagi dan memakan beberapa ubat yang diberi doktor.

Keesokkan harinya saya merasa sihat sediakala dan badan saya dapat rehat sepenuhnya kerana saya tidur agak lama pada siang hari semalam. Justeru itu saya dapat merasa bahawa Allah memberikan saya dua hari cuti (Isnin dan Selasa) bagi menggantikan cuti Sabtu dan Ahad yang telah saya gunakan untuk mengendalikan Kursus. Ketika itu saya merasakan sangat indah hidup bila diurus Allah.

Kemudian saya teringat VCD Pak Aa Gym tentang kehidupan diurus Allah yang saya dan rakan saya dengar ketika kami dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Pantai Remis dan diulangi lagi dalam perjalanan pulang ..

Pak Aa menceritakan bahawa dari kita belum lahir, Allah yang menguruskan kehidupan kita; Allah yang menguruskan pertemuan sperma dan telur ayah dan ibu hingga terbentuknya diri kita dengan cukup teratur dan sempurna. Semuanya diurus Allah.

Nah sekarang kita sudah berada di dunia ini, dan kita tidak mungkin dapat menguruskan kehidupan kita ... Mana mungkin kata Pak Aa, banyak yang tidak kita ketahui, rezeki kita, jodoh kita, apa yang akan terjadi esok, semuanya tidak kita ketahui. Kenapa kita peningkan kepala memikirkan apa yang tidak diketahui, baik kita dekati yang Maha Mengetahui itu ...Contohnya kata pak Aa, capek bercinta dengan yang bukan jodohnya ... jiwa kita terseksa menyintainya tapi ternyata itu bukan jodoh kita ... Lebih baik kita berdoa kepada Allah, ya Allah jangan kau tanam cinta dihatiku kepada yang bukan jodohku ... kan mudah hidup jadinya :)

Dipendekkan cerita, kata Pak Aa, seseorang yang tunduk kepada kalimah Syahadah, semakin ia tunduk kepada Allah, semakin diurus Allah kehidupannya. Allah yang akan mengilhamkan perkara-perkara yang patut dilakukan dan Allahlah yang akan sentiasa membimbingnya. Dirinya hanya berikhtiar sebaik mungkin tetapi yakin bahawa apa yang diperolehinya adalah dari Allah dan bukan kerana ikhtiarnya. Contohnya seperti kita menyeberangi sungai dan perlu melalui jambatan gantung. Kita berpaut kepada tali di jambatan gantung itu sebagai ikhtiar kita tetapi yang menyelamatkan kita dari tidak jatuh itu, adalah Allah dan bukan ikhtiar kita berpaut kepada tali tersebut.

Enak hidup diurus Allah kata Pak Aa ... Tenang dan bahagia. Kalaupun terjadi bencana, kita yakin bahawa ia disusun Allah cukup sempurna dan kita redha atas apa yang diuruskannya. Seperti sms yang saya dapat dari sahabat saya, "Lebih indah hidup bila kita redha dan pasrah dengan apa yang diuruskan Allah" tepat sekali ...

Berbeza dengan mereka yang engkar dan enggan tunduk kepada Allah. Sekiranya kita engkar dan tidak mahu tunduk kepada Allah, silakan kata pak Aa, silakan seperti masuk dalam hutan belantara, tidak ada yang memberi petunjuk, kita akan sesat ...

Pak Aa juga share suatu perkara yang saya rasa sangat penting. Kata Pak Aa, ada terdapat di kalangan manusia yang beriman yang akan memohon petunjuk dari Allah dahulu sebelum membuat suatu perkara atau sebelum memberikan pandangan dan mereka memohon petunjuk dengan melakukan solat kerana solat itu sebaik-baik ibadah untuk memohon petunjuk dari Allah. Justeru saya teringat bahawa kita hanya melakukan solat istikharah hanya ketika kita kebuntuan untuk menetapkan sesuatu padahal setiap hari kita akan berhadapan dengan berbagai persimpangan yang perlu kita fikirkan simpang mana yang perlu kita masuki. Padahal di dalam solat, di dalam Al-Qur'an terdapat ayat yang bermaksud "Kaulah Yang Kami Sembah dan padaMulah kami memohon pertolongan, tunjukilah kami jalanMu yang lurus ..." Sejauh mana kita hayati ayat ini dalam kita memohon diuruskan Allah dalam setiap bicara kita setiap hari, di dalam setiap tindak tanduk kita setiap hari ...

Akhir sekali yang menyentuh perasaan saya mendengarkan VCD pak Aa ini adalah kita selalu bersungguh-sungguh membuat strategi dan perancangan di dalam melaksanakan sesuatu tetapi kita tidak bersungguh-sungguh memohon pertolongan Allah untuk menguruskan apa yang kita rencanakan dan laksanakan.

Pastinya sangat indah hidup diurus Allah ... sesungguhnya Islam itu penuh keindahan dan kita menyaksikannya apabila ditunjukkan Allah keindahan demi keindahan ini ke dalam jiwa kita ... Sesungguhnya Allah itu Maha Indah ...

Hanya Allah Yang Maha Mengetahui

Ulasan