Khamis, September 03, 2009

Allah ajarkan tentang Sabar di dalam Menuju JalanNya

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh ...

Menemui sahabat-sahabat sekelian di bulan Ramadhan penuh keberkatan ini semoga dapat menjiwai hakikat penciptaan Ramadhan ....

Saya ada berjanji pada salah satu entry saya bahawa saya ingin berkongsi kunci-kunci menuju cinta Allah yang telah diilhamkan Allah ke dalam hati saya ...Saya pernah berkongsi bahawa kunci yang pertama adalah ikhlas kepada Allah. Kemudian setelah itu, Allah mengilhamkan ke dalam jiwa saya bahawa kunci yang kedua adalah sabar di dalam menuju jalanNya ...

Ingin menceritakan secara terperinci bagaimana peristiwa ini berlaku di mana saya dialiri kefahaman ini saya tidak mampu kerana telah lupa ... namun secara ringkasnya ketika saya sedang berusaha untuk mencari cinta dan kasih sayang Allah, terkadangkala saya rasa kecewa kerana solat yang tidak khusyuk, tidak merasa cinta kepada Allah dan sebagainya ... ketika itulah Allah mengilhamkan ke dalam jiwa saya bahawa saya perlu bersabar dan kuatkan kesabaran itu di dalam menuju Tuhan.

Justeru, saya memohon pertolongan dari Allah agar diberiNya kekuatan di hati saya untuk bersabar .... Setelah beberapa lama saya melatih diri untuk bersabar (atas pertolongan Allah juga), saya dapat melihat bahawa sabar adalah satu latihan yang dapat melembutkan hati kerana hidayah Allah akan turun pada insan yang lembut hatinya, sentiasa merendah diri dan tidak ego ...

Maka apabila hati telah dapat dilembutkan, maka barulah hati itu telah disediakan untuk menerima cinta Allah yang Maha Suci yang hanya dapat diturunkan di hati yang telah disucikan ...

Hanya Allah Yang Maha Mengetahui

Tiada ulasan: