Allah ajarkan tentang hakikat berpuasa di bulan Ramadhan

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh,

Alhamdulillah Ramadhan pada tahun ini agak berbeza bagi saya dibandingkan dengan Ramadhan pada tahun-tahun yang sebelumnya. Paradigma sudah berbeza maka saya menyambut Ramadhan pada tahun ini juga agak berbeza ...

Saya diajarkan oleh Pak Ustaz Abu Sangkan bahawa Ramadhan diciptakan Allah agar manusia dapat kembali kepada fitrahnya yang asal iaitu ruhNya yang ditiupkan ke dalam sarung fizikal yang dibuat dari tanah hitam yang berlumpur ... Kita adalah an-nafs yang dialiri ruhNya yang ditiupkan .... Fizikal kita hanyalah sarung yang menyaluti ruh tersebut ... Seperti sarung tangan ... sarung tangan itu hanyalah sarungnya tetapi bukan tangan ... tangan adalah yang didalamnya ... Contohnya apabila seseorang itu meninggal dunia akibat kemalangan dan mayatnya ada di tepi jalan ...Katakanlah namanya Udin, maka orang akan bercakap .. Ini mayat siapa? Mayat si Udin ... Udinnya mana? Udinnya telah pergi menemui Tuhannya .... Kita sering tidak dapat berada di dalam kesedaran ruh ini (kesedaran bahawa diri kita sebenar adalah an-nafs yang dialiri oleh ruhNya yang ditiupkan) kerana kita sering terikat dengan kesedaran fizikal kita (kita adalah anggota badan, kaki, tangan) . Ini adalah kerana kita sering ditarik oleh fizikal kita yang berasal dari tanah yang sememangnya suka kepada perkara-perkara yang berasal dari tanah seperti anak, isteri/suami, tanah berhektar-hektar, kereta dan sebagainya ... maka tarikan itu menyebabkan kita hanya setakat menyedari bahawa diri kita adalah anggota fizikal kita dan sering gagal menyedari bahawa diri kita secara hakiki adalah an-nafs yang dialiri oleh RuhNya itu.

Justeru apabila kita berpuasa, kesedaran ruh ini akan mengatasi kesedaran fizikal ... jiwa kita akan dekat dengan Allah (kerana ruh itu sememangnya sifatnya ingin sentiasa kembali kepada Allah) dan puasa itu tadi telah melemahkan dan mengecilkan nafsu. Maka kerana nafsu telah lemah, kekuatan tarikan kepada elemen-elemen yang berasal dari tanah juga lemah maka jiwa kita akan merasakan tarikan ruh yang ingin dekat dengan Allah ... maka hati kita terasa tenang, nyaman ... kita dapat merasakan dan sedar bahawa diri kita dekat dengan Allah ... Itulah diri kita yang sebenarnya ... an-nafs yang dialiri oleh Ruh itulah diri kita ... Ruh yang ingin sentiasa kembali kepada Allah ... kaki, tangan dan anggota badan kita bukan diri kita ... suatu hari kaki, tangan, mata dan seluruh fizikal kita akan kembali ke tanah apabila tidak lagi dialiri oleh RuhNya iaitu apabila kita telah mati nanti ... bukan itu sebenarnya diri kita, ia hanyalah instrumen yang diberikan Allah untuk kita melaksanakan tanggungjawab kita sebagai khalifahNya di muka bumi ini.

Berpuasa di bulan Ramadhan adalah diciptakan Allah agar dapat mengenalkan manusia kepada dirinya sebenar iaitulah an-nafs yang dialiri RuhNya (yang ditiupkan ke dalam fizikalnya) namun apabila kita mula ke Pasar Ramadhan dan melihat berbagai juadah .. maka kesedaran ruh tadi ditarik oleh nafsu yang mula membesar apabila melihat bermacam-macam juadah yang dijual... Kemudian apabila kita berbuka secara berlebihan, cuba lihat perbezaan solat Asar dengan solat Maghrib dengan perut yang telah penuh berisi berbagai makanan .... berbeza bukan? Ketika ini diri kita yang telah dekat dengan Allah tadi ditarik ke bawah oleh nafsu yang menyebabkan diri yang mula ingin mendekati Allah terus dilalaikan oleh nafsu makan yang tidak diuruskan dengan baik. Maka tidak sampailah kita kepada kesedaran bahawa diri kita adalah an-nafs yang dialiri RuhNya dan tidak tercapailah objektif puasa itu diciptakan untuk mengenalkan kita siapa diri kita sebenarnya ...

Selain dari itu saya juga dialiri kefahaman tentang hakikat penciptaan Ramadhan yang mungkin saya tidak pernah terfikir sebelum ini. Pastinya banyak rahsia dan hikmah Allah ciptakan Ramadhan baik dari segi kesihatan, latihan ketakwaan dan sebagainya. Namun terdapat satu lagi rahsia yang mungkin kita terlepas pandang sebelum ini ...

Berpuasa di bulan Ramadhan yang penuh kemuliaan ini juga adalah sebagai satu latihan untuk kita dapat berpuasa sunat Isnin dan Khamis selepas menjalani latihan di bulan Ramadhan. Bayangkan kalau kita dapat berpuasa setiap hari selama sebulan, pastinya kita mampu untuk berpuasa dua hari dalam seminggu. Puasa sunat Isnin dan Khamis sangat penting di dalam membantu kita untuk mengenali siapa diri kita sebenarnya, membentuk jiwa yang bertakwa kepada Allah dan melahirkan insan yang berkeperibadian mulia. Untuk memahami perkara ini izinkan saya menceritakan pengalaman saya dahulu berkaitan dengan puasa sunat isnin dan khamis ini.

Suami saya menganjurkan iftar secara berjemaah pada setiap hari Khamis (di luar bulan Ramadhan) di surau-surau di sekitar daerah saya. Beliau akan berpuasa pada setiap hari Khamis. Ketika itu saya jarang berpuasa bersamanya kerana saya mempunyai masalah gastrik. Namun pada waktu berbuka, saya akan menyertainya di surau-surau ... Akhirnya saya mengikutinya berpuasa pada setiap hari Khamis ... Saya dapati apabila saya berpuasa pada hari Khamis, perangai saya akan jadi sangat baik pada hari Jumaat (keesokkannya). Saya rasa dekat dengan Allah, mudah sabar, rajin beribadah, bersopan ketika berbicara dan sebagainya ... Namun sifat tersebut saya dapati berkurang sedikit pada hari Sabtu dan lebih kurang lagi pada hari Ahad ... By the time masuk minggu hadapannya, mungkin tinggal 20% ... Justeru saya rasa begitu lambat untuk menunggu puasa pada hari Khamis berikutnya dan saya pun berpuasa pada Hari Isnin bagi menikmati suasana jiwa yang tenang, rasa dekat pada Allah, mudah sabar dan sebagainya ... Akhirnya saya dapat melihat hakikat latihan takwa melalui mujahadah diri yang telah Allah sediakan melalui latihan puasa sunat Isnin dan Khamis ... dan kini saya dapat melihat hubungan berpuasa di bulan Ramadhan dengan puasa sunat Isnin dan Khamis ini, alhamdulillah.

Apabila saya berkongsi perkara ini dengan sahabat-sahabat, ada yang mengatakan ... eh kan puasa isnin khamis tu sekadar sunat bukan wajib ... Saya memberitahunya, ya ... dengan amalan sunat itulah seseorang insan dapat mencapai darjat kekasih Allah dan mencapai cinta Allah, berjalan atas makrifatNya dan insyaAllah dinaikkanNya darjat disisiNya .... justeru berpuasa di bulan Ramadhan adalah seperti di kem latihan ... untuk melatih kita untuk beramal dengan amalan-amalan wajib dan sunat yang diciptakan Allah yang merupakan proses pembangunan insan bertakwa yang akan membawa insan menuju ke jalan TuhanNya dan kembali kepadaNya sebagai jiwa yang tenang lagi diredhaiNya ...

Hanya Allah Yang Maha Mengetahui

Ulasan