Allah ajarkan kenapa saya tidak khusyuk dalam solat

Assalamualaikum wr. wb.

Seorang yang master di dalam ilmu fizik contohnya akan sentiasa meningkat ilmu dan kemahirannya di dalam ilmu fizik tersebut. Namun berlainan dengan solat yang khusyuk. Seorang yang master dalam solat khusyuk pada hari ini, belum tentu dia akan khusyuk pada esok hari ... Itulah suatu istimewanya Solat Khusyuk ini ... Khusyuk dalam solat adalah anugerah dari Allah. Pada hari ini kita sangat khusyuk, esok belum tentu lagi ...

Pada hari ini saya ingin berkongsi pengalaman dan kefahaman perkara-perkara yang boleh mendatangkan gangguan di dalam solat kita. Terdapat beberapa peristiwa yang ingin saya kongsikan di sini, ada yang telah berlaku suatu waktu yang agak lama dahulu dan ada juga yang baru saja terjadi ...

Setiap kali saya menghadapi masalah tidak khusyuk dalam solat, saya akan merasa sangat sedih dan gelisah ... hilang rasa kenikmatan solat ... seolah-olah seperti ditarik atau diambil ... Saya sememangnya yakin bahawa kekhusyukan dalam solat adalah anugerah dari Allah maka saya segera beristighfar kepada Allah dengan sungguh-sungguh dan saya bertanya kepada Allah apa kesalahan yang telah saya lakukan. InsyaAllah, Allah akan memberikan jawapannya dan insyaAllah akan ditunjukkan apa yang kita lakukan yang memberi kesan kepada solat kita. InsyaAllah saya ingin berkongsi perkara itu pada penulisan kali ini.

Pernah terjadi hampir seminggu saya menderita tidak khusyuk dalam solat. Saya bertanya kepada Allah dan Allah memberikan jawapannya ... Ada satu racun telah memasuki jiwa saya dan racun itu begitu sukar untuk dikeluarkan hingga memberi kesan kepada solat saya. Apakah racun itu? Pujian yang saya terima :( Biasanya jarang saya terkesan dengan pujian. Tapi pada suatu hari saya terbaca sms yang dihantar kepada suami saya dan dipendekkan cerita terdapat suatu pujian kepada saya yang diberikan oleh seseorang master trainer yang saya hormati. Memandangkan pujian itu datangnya dari seorang trainer/consultant yang berpengalaman maka ianya terkesan di hati saya. Saya merasa gembira dengan pujian itu dan memikirkan perkara itu buat beberapa waktu. Apa yang berlaku kemudian saya tidak khusyuk dalam solat dan saya diilhamkan ke dalam jiwa saya bahawa pujian itu telah meracuni seluruh diri saya. Hampir seminggu saya berusaha untuk mengeluarkannya dengan berterusan memohon ampun dan bertaubat kepada Allah. Berhati-hatilah bila kita ingin memuji sahabat kita; kita mungkin sedang meracuni dirinya ...

Suatu hari yang lain saya menghadapi lagi masalah tidak khusyuk dalam solat dan saya terus memohon ampun dan bertanya kepada Allah apa yang telah saya lakukan. Kemudian Allah menunjukkan kepada saya sinetron indonesia yang saya tontoni sebelum ini; cerita Aqso dan Medina .. jangan gelak ya :) betul ni ... Sebenarnya saya seorang yang jarang menonton televisyen kecuali berita. Saya sememangnya tidak minat menonton tv kerana terpaksa menutup mata kerana banyak adegan2 seperti berpegangan tangan antara lelaki dan wanita dan sebagainya yang merupakan perkara2 yang diharamkan dan saya tidak sanggup membiarkan mata saya melihatnya. Namun pada suatu waktu, saya sering pulang awal dari pejabat, lebih kurang jam 6 petang sudah sampai ke rumah dan pada waktu itu di TV ada sinetron indonesia Aqso dan Medina keudara dan saya telah terlalai (lupa bahawa saya tidak sepatutnya menonton sinetron tersebut) dan menontonnya hingga habis. Ia telah memberi kesan kepada solat saya ...

Suatu malam saya ke Pasar Malam dan kemudian saya pergi membeli Yong Tau Foo. Kakak yang selalu menjual Yong Tau Foo (yang saya yakini sumbernya) telah tidak berniaga pada malam tersebut. Justeru saya membeli dari peniaga yang lain di pasar malam itu. Terdetik di hati saya dari sumber mana mereka membeli bahan-bahan Yong Tau Foo itu tapi saya tidak mengendahkan lintasan hati itu dan terus membelinya. Pada malam itu saya dan anak-anak memakan Yong Tau Fo yang saya beli dari pasar malam. Kemudian saya mengalami masalah tidak khusyuk dalam solat. Saya bertanya kepada Allah apa yang telah saya lakukan ... dan dalam sekejapan itu Allah menunjukkan kepada saya Yong Tau Foo yang saya beli itu ... Sejak itu saya tidak lagi membeli dan memakan apa-apa dari Yong Tau Foo ... Semoga Allah akan sentiasa mengingatkan saya ...

Terdapat juga suatu waktu saya tidak khusyuk dalam solat dan Allah mengilhamkan ke dalam jiwa saya kata-kata yang saya katakan kepada seorang sahabat yang tidak saya sengajakan telah mengecilkan hatinya ...

Saya yakin kita semua ada mengalami masalah tidak khusyuk dalam solat bukan? Segeralah memohon ampun dan bertaubat kepada Allah. Tanyalah kepada Allah kenapa kita tidak khusyuk dalam solat insyaAllah Allah akan menjawab pertanyaan kita. Bagaimana kita tahu itu adalah ilham dari Allah? Ia akan datang tiba-tiba tanpa kita fikirkan ... Bila ia datang, kita akan tahu itu dari Allah ... Contohnya ... kita sedang hendak meninggalkan rumah untuk ke pejabat atau ke kampus, tiba-tiba tanpa kita fikirkan kita teringatkan sesuatu di almari yang penting untuk di bawa .... pernah kan terjadi macam ni ... tanpa kita fikirkan, tiba-tiba saja perkara itu diilhamkan kepada diri kita ... Nah, itulah dari Allah insyaAllah ...

Apa hikmahnya yang saya dapat dari peristiwa-peristiwa ini adalah solat itu insyaAllah akan sentiasa mengajar kita apa yang tidak sepatutnya kita lakukan. Itulah antara banyaknya kehebatan penciptaan solat yang Allah telah anugerahkan kepada kita ... Seperkara lagi yang tidak kurang penting yang saya pelajari adalah sebenarnya banyaknya dosa dan kesalahan yang kita lakukan setiap hari. Teringat saya kepada suatu peristiwa di dalam hadis Rasulullah saw di mana Rasulullah saw menyuruh sahabat-sahabat mencari ranting kayu di padang pasir. Pada mulanya sahabat-sahabat bertanya kepada Rasulullah saw bagaimana hendak mencari ranting kayu di padang pasir sedangkan pohonnya pun tidak tumbuh di situ. Namun rasulullah saw bertegas dan meminta mereka mencari ranting kayu. Akhirnya mereka menjumpai satu dua ranting kayu dan terus mengumpulkan. Akhirnya ternyata banyak ranting kayu dapat dikumpulkan. Kemudian Rasulullah saw berkata kepada para sahabat; "Begitulah dosa kamu setiap hari, ternampak seperti tidak ada tetapi di hadapan Allah terkumpul banyak " Peristiwa dan pengajaran yang saya dapati dari tidak khusyuk dalam solat ini telah menyedarkan diri saya betapa banyaknya dosa dan kesalahan yang saya lakukan setiap hari yang tidak saya sedari. Semoga Allah mudahkan kita untuk sentiasa bertaubat kepadaNya ....

Hanya Allah Yang Maha Mengetahui

Ulasan

Salwani berkata…
Astaghfirullah. Kerdilnya diri ini
Rosmin berkata…
Perbanyakkan Istirfar setiap hari...kunci kepada mendapatkan kekhusyukkan dlm solat, Rasullullah setiap hari beristifar 70x paling kurang... menunjukkan betapa pentingnya kita memohon keampunan dan pasrah padanya
Ummu Ayman berkata…
Betul, Wani, Rosmin ... maka fahamlah kita kenapa Rasulullah saw anjurkan beristghfar sekurang-kurangnya 70x. Kalau Rasulullah saw 70x, kita patutnya berapa? Pasti lebih banyak lagi :)

Seperkara lagi mari kita tingkatkan kualiti zikir dan istighfar kita dengan meletakkan diri kita di tahap kesedaran yang tinggi dengan merasakan kedekatan Allah dan menghantarkan seluruh jiwa kita kepada Allah ketika kita memohon taubat dariNya