Isnin, September 07, 2009

Allah ajarkan bahawa manusia sedang bertungkus lumus memenuhi kehendakNya

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh

Alhamdulillah kami dapat menganjurkan Karnival Tamaddun dan Warisan Islam semalam. Bila saya menceritakan kepada adik saya tentang karnival itu (ketika bertemu dengannya apabila kami berbuka bersama di rumah ayah saya) dia agak terkejut. Katanya ... ha bulan puasa buat karnival? Saya dengan tersenyum mengatakan ya .... Gerakerja dakwah dan jihad tak kira bulan, perlu teruskan ... Apabila telah bermesyuarat dan menetapkan sesuatu, maka teruskan, ada keberkatan di dalam suatu yang diputuskan melalui syuara... Saya teringat kata-kata saya kepada ahli mesyuarat jemaah saya yang pada satu ketika dahulu hendak membatalkan penganjuran karnival ini dengan alasan bulan Ramadhan, nak buat kuih raya dan sebagainya ... Alhamdulillah dengan pentarbiyahan yang sekian lama dan ketaatan kepada pemimpin, mereka akur dengan penuh ceria dan keikhlasan. Suatu yang saya rasa sukar saya didapati di kebanyakan kumpulan. Akhirnya karnival berjaya dianjurkan dengan begitu lancar dan tersusun, hampir tidak kelihatan kelemahannya ... Terima kasih Ya Allah ... kata hati kecil saya sepanjang penganjuran karnival ini ... Kami telah berusaha sebaik mungkin (tabik spring saya pada semua ahli jemaah yang begitu komitted) tapi kami telah menyerahkan kepada Allah untuk menyusunnya dengan perancangan Allah yang lebih hebat ...

Malam sebelum karnival, hujan turun selebat-lebatnya ... Ini telah membantu di dalam pengendalian acara program yang diadakan di bawah khemah di tapak karnival. Cuaca sejuk pada awal program dan tidak panas di sepanjang karnival diadakan. Ketika program dijalankan, Allah memberi ilham kepada saya beberapa perubahan yang perlu dilakukan dan saya maklumkan kepada sekretariat untuk membuat perubahan tersebut dan alhamdulillah jelas ianya membantu lagi kelancaran program-program yang dijalankan. Segalanya berjalan dengan penuh keteraturan dan saya berbicara kepada Allah sambil tersenyum ... Ya Allah, kami sedang melihat kesibukanMu menguruskan karnival ini ...

Pada pagi ini, saya sebenarnya ingin berkongsi suatu kefahaman yang Allah alirkan ke dalam jiwa saya berkenaan suatu hakikat bahawa manusia di alam ini sedang bertungkus lumus memenuhi kehendak Allah ...

Kita sering merasakan bahawa hanya orang Islam yang patuh pada Allah sedang memenuhi kehendak Allah manakala orang-orang kafir dan orang-orang yang beragama Islam yang engkar merupakan hamba-hambaNya yang tidak memenuhi kehendak Allah ... Well, saya mendapat satu paradgima yang baru ... Semuanya sedang memenuhi kehendak Allah :)

Pada perjalanan pulang dari Jakarta baru-baru ini, ketika di dalam kapalterbang saya mendapat suatu kefahaman yang dialirkan oleh Allah ke dalam jiwa saya ... Sesungguhnya Allah mahukan orang-orang yang biasa macam saya mudah untuk menaiki kapalterbang kerana harganya murah maka Allah mengilhamkan kepada jiwa Tony Fernandes (boss Air Asia) untuk membangunkan bisnes penerbangan tambang murah ... Maka dengan ilham itu dan passion serta semangat yang juga dialirkan ke dalam jiwa Tony Fernandes oleh Allah, maka bertungkus lumuslah Tony Fernandes mengusahakan bisnes pernerbangan murah ini dan dengan daya kreativitinya yang juga dialirkan oleh Allah Ya Maha Kreatif maka sekarang promosinya NO ADMIN FEE di mana lagi murahlah untuk terbang dengan Air Asia ... Apa yang berlaku sebenarnya adalah Tony Dernandes tidak menyedari bahawa dia sebenarnya sedang memenuhi kehendak Allah yang inginkan perhubungan dan pengangkutan ini dapat dimudahkan untuk hamba-hambaNya ... Kemudian saya teringat pula lebuhraya DUKE yang saya gunakan sekarang ini yang memendekkan perjalanan saya ke tempat kerja sebanyak 30 minit, maka orang-orang yang telah bertungkus lumus untuk membina lebuhraya DUKE itu sebenarnya telah memenuhi kehendak Allah mahukan sistem jalanraya yang lebih efektif ...

Secara kesimpulannya, kesemua manusia yang sedang sibuk mencari rezeki dengan menjalankan apa saja aktiviti yang membawa kebaikan kepada manusia dan alam ini sedang bertungkus lumus memenuhi kehendak Allah. Hanya dengan ciptaan Allah "keperluan mencari rezeki", Allah telah dapat menundukkan manusia untuk memenuhi kehendakNya ... Manusia sibuk ke sana kemari, merancang itu dan ini, ke hilir ke hulu, terbang sana, terbang sini ... rupa-rupanya semuanya sedang tunduk kepada kemahuan Allah ... Allah berkehendakkan terbangunnya peradaban dan ketamadunan di muka bumi ini tetapi Allah mahukan ianya dibangunkan oleh manusia yang (dipilihnya sebagai khalifah di muka bumi ini) melalui daya yang diberikan oleh Allah seperti daya melihat, mendengar, berfikir, merancang dan sebagainya. Maka ada yang Allah ilhamkan rasa minat terhadap ilmu kedoktoran maka jadilah dirinya doktor atas kehendak Allah, ada yang Allah alirkan jiwanya menyukai kerja-kerja yang dilakukan oleh tangan, maka jadilah dirinya mekanik kereta, tukang jahit, tukang cat dan sebagainya ... Ada yang dah bertahun-tahun belajar kejuruteraan, tapi kemudian bekerja di dalam bidang IT (seperti apa yang berlaku pada adik saya) kerana Allah berkehendakkan dia membantu dunia ini di dalam bidang IT ... semuanya tunduk kepada kehendak Allah ... Akhirnya tanpa kita sedari, kita adalah seperti bulan, bintang dan matahari ...semuanya tunduk kepada Allah ... tetapi ketundukkan ini secara tidak kita sedari ... ya seperti Tony Fernandes tadi, tidak sedar dirinya sedang memenuhi kehendak dan kemahuan Allah ...

Ayuh, jadikan ketundukkan ini secara kita sedari ... Dari kefahaman ini jelaslah kepada saya bahawa seorang yang tunduk kepada Allah dan menjalankan tugasannya sebagai khalifah Allah adalah seorang yang berusaha dengan sebaik mungkin di dalam apa juga aktiviti yang dilakukan untuk memakmurkan bumi ini. Maka sekiranya kita seorang jurutera, kita akan memenuhi kehendak Allah dengan menjadi jurutera yang berfikir, berusaha keras dan menyumbang kepada dunia ini. Sekiranya kita seorang doktor, kita sedang memenuhi kemahuan Allah sekiranya kita menggunakan segala ilmu dan kepakaran kita semaksima yang mungkin untuk membantu pesakit-pesakit kita ... sekiranya kita seorang tukang sapu, Allah berkehendakkan suasana kehidupan yang bersih ... maka kita akan sapu dengan tekun dan memastikan tidak ada sampah yang tertinggal .. Maka dengan kesedaran ini, umat Islam akan menjadi umat yang cemerlang kerana segala yang kita lakukan kita akan lakukan yang terbaik semata-mata kerana Allah menghendakinya ... Kita akan cari ilmu semaksima mungkin, kita akan belajar kemahiran demi kemahiran, kita akan merancang secara teliti, kita akan fokus dan komited ketika melaksanakannya dan kemudian kita serahkan segalanya kepada Allah (suatu yang tidak ada di dalam kehidupan orang-orang bukan Islam). Barulah kita akan bangun semula sebagai sebuah bangsa yang dihormati kerana penganut-penganutnya merupakan orang-orang yang berilmu, berkemahiran, komited, berusaha bersungguh-sungguh ... tetapi di dunia hari ini, siapakah yang mempunyai ciri-ciri tersebut ..orang bukan islam bukan? seperti orang-orang Jepun ... maka mereka menjadi bangsa yang dihormati oleh dunia, bangsa yang maju kehadapan ...

Nah, tidak mustahil kita mengembalikan tamadun Islam sekiranya ummah hari ini disedarkan bahawa orang-orang Islam perlu tunduk kepada kehendak Allah untuk memakmurkan dunia ini ... Selama ini ketundukkan kepada Allah sering dikaitkan dengan hanya syahadah, solat, puasa, zakat dan haji ... maka sekadar itu sajalah ketundukkan kita ... Kita perlu menyedarkan umat Islam pada hari ini bahawa sebagai khalifah Allah, ketundukkan kepada Allah bukan sekadar duduk di atas tikar sembahyang, berzikir, berpuasa tetapi tidak menyumbang kepada kemakmuran dunia ini ... Paradigma tersebut perlu diubah ... Maka apabila kita pergi kerja nanti ataupun kita pergi ke kuliah, pergilah dengan penuh kesedaran bahawa kita sedang memenuhi kehendak dan kemahuan Allah ... kita akan lakukan sebaik mungkin ... kerana Allah mahukan kita menyumbang kepada dunia ini dengan sebaiknya dan Allah sedang sentiasa mengukur tahap komitmen kita terhadap tugasan atau terhadap pelajaran .... Nah, maka barulah setiap langkah ke tempat kerja adalah butir-butir jihad yang menunggu balasannya di akhirat kelak, setiap perancangan yang difikirkan dengan teliti akan dicatatkan oleh malaikat ... kerana kita lakukan KERANA ALLAH ... barulah kita dapat merasakan kini bahawa setiap pekerjaan itu ibadah ... bagaimana sekarang? selesa?

Dikesempatan ini, izinkan saya menerangkan suatu perkara yang ada kaitannya dengan kefahaman dan paradigma di atas. Maaf sekiranya ia agak sensitif ...

Saya ingin menekankan di sini bahawa di dalam Al-Qur'an, Allah ada menyebutkan perlu ada segolongan manusia yang tugasannya mengajarkan ilmu, berjihad dan berdakwah secara full time ... walaupun secara zahirnya mereka tidak kelihatan membina bangunan, tapi mereka sedang memenuhi kehendak Allah membina jiwa-jiwa manusia untuk menjadi manusia yang tunduk kepada semua kehendak Allah yang ditetapkan di mana dengan ketundukkan secara sempurna ini, manusia tidak akan melakukan perkara-perkara yang boleh merosakkan dunia ini seperti merompak, membunuh, merempit, mencemarkan alam dan sebagainya.... salah satu kaedah yang telah Allah ciptakan agar manusia tidak merosakkan dunia ini (yang bertentangan dengan kehendak Allah untuk memakmurkan bumi ini) adalah dengan memastikan terdapatnya sistem keadilan yang telah Allah tetapkan, terdapatnya sistem pemerintahan yang telah Allah redha sebagai mewakiliNya di dunia ini. Tanpa sistem pemerintahan Islam ini maka itulah yang berlaku di dunia ini, pemimpin rasuah dan menindas maka kehidupan manusia jadi sengsara, ditangkap tanpa bicara (contohnya ISA), anak dan dipisahkan dari ayahnya dengan zalim ... barangan jadi mahal kerana pemimpin yang hidup bermewah-mewah ... Justeru perlu ada sistem keadilan dan sistem pemerintahan Islam yang dikehendaki Allah ... maka kaedah menegakkan sistem pemerintahan Islam ini telah ditunjukkan oleh Rasulullah saw ... dengan berdakwah dan berjihad di jalan Allah sehingga terbangun negara-negara yang tunduk kepada pemerintahan undang-undang dan pemerintahan Islam. Rasulullah s.a.w bukan sekadar membangunkan negara Islam di bumi Madinah dan Mekah tetapi juga ke negara-negara yang lain.

Maka tidak kira apa juga tugasan yang kita lakukan hari ini di dalam mencari rezeki dan memenuhi kehendak Allah, kita tidak boleh lupa tanggungjawab yang telah Allah tetapkan kepada kita semua untuk membangunkan semula sistem pemerintahan Islam yang juga merupakan perkara yang perlu ada untuk memakmurkan bumi ini ... Rasulullah saw telah mengajarkan kepada kita bahawa tugasan ini tidak boleh dilakukan secara bersendirian, ianya perlu dilakukan secara berjemaah ... maka berjemaah itu wajib hukumnya ...seperti kaedah fiqh ...wudhuk diperlukan untuk solat, maka wudhuk itu hukumnya jadi wajib apabila hendak mendirikan solat ... kalau tidak, wudhuk itu hukumnya sunat ... Maka sahabat sekelian, masuklah kedalam jemaah Islam yang diyakini mempunyai objektif yang jelas mengembalikan sistem pemerintahan Islam dan jalannya juga jelas untuk membangunkan pemerintahan Islam ...

Maaf ..panjang pula coretan pagi ini ...saya bercuti sempena Nuzul Qur'an, alhamdulilah office di dalam Negeri Selangor, dapat cuti extra :) ... Semoga sedikit perkongsian ini dapat membuka minda kita dan mengembalikan semangat untuk kita bekerja dengan tekun dan bersungguh-sungguh dan kemudian menginfakkan diri kita untuk perjuangan menegakkan sistem keadilan dan pemerintahan Islam ... InsyaAllah hidup akan bahagia kerana Allah yang akan menguruskan kehidupan kita ... tidak ada kekecewaan dan tidak mereka bersedih hati ... itu janji Allah ...

Hanya Allah Yang Maha Mengetahui

Tiada ulasan: