POS TERKINI

Rabu, September 02, 2009

Allah ajarkan bahawa Dialah Yang Mengatur Rezeki

Assalamualaikum wr. wb,

Alhamdulillah saya berkesempatan untuk mengikuti TOT (training of trainers) di Solat Center Jakarta, Jatibening pada 29 dan 30 Ogos yang lepas. Pengisian disampaikan oleh Pak Ustaz Abu Sangkan dan program dihadiri oleh lebih 800 peserta dari seluruh Indonesia, Singapura, Australia dan kami 8 orang dari Malaysia... Kepala saya sakit kerana banyak menangis di program tersebut ...begitu juga peserta yang lain ... sangat menginsafkan dan memberi semangat untuk saya terus berusaha bersama sahabat-sahabat untuk mengembangkan solat khusyuk di Malaysia ...

Pada malam ini saya ingin berkongsi kepada sahabat-sahabat keyakinan yang diberikan Allah kepada saya bahawa Dialah Yang Sebenarnya Mengatur Rezeki ...

Sebaik sahaja selesai pelatihan solat khusyuk selama dua hari pada 25 dan 26 Julai 2009 yang lepas, saya bertekad untuk segera menganjurkan Halaqah Solat Khusyuk bagi memastikan peserta-peserta yang telah mengikuti Pelatihan Solat Khusyuk (termasuk saya) dapat terus memantapkan kefahaman berkenaan Solat Khusyuk. Justeru saya berbincang dengan Pak Bonny dari Jogjakarta untuk datang ke Malaysia membuat pengisian di dalam halaqah itu nanti. Pak Bonny memaklumkan kepada saya bahawa dua orang akan hadir iaitu dirinya beserta Ustaz Nurhadi. Kos yang saya perlukan adalah dalam lingkungan RM3000 untuk menampung tiket, penginapan, pengangkutan dari airport dan sedikit saguhati kepada ustaz yang datang. Ketika itu saya tidak sempat untuk berbincang dengan sahabat-sahabat untuk mencari dana bagi menampung kos tersebut. Saya tidak berhasrat untuk mengenakan yuran dan saya lebih selesa halaqah ini tidak mengenakan apa-apa bayaran.

Saya agak bingung bagaimana dapat saya cari jumlah RM3000 tersebut. InsyaAllah saya punyai duit sebanyak itu tapi memandangkan saya turut mempunyai keperluan untuk menggunakan duit di tangan maka saya teragak-agak samada untuk meneruskan halaqah yang dirancang ... Kemudian satu kekuatan lahir di hati saya dan keyakinan bahawa halaqah tersebut sangat penting dan saya pejamkan mata terus mengeluarkan perbelanjaan sendiri bagi menampung keseluruhan kos tersebut. Alhamdulillah lebih 70 orang hadir di dalam halaqah yang pertama kali dianjurkan itu ...

Tidak sampai 2 minggu dari tarikh peristiwa tersebut, Allah memberi saya projek pembangunan sumber manusia bernilai hampir RM30,000. Saya terkedu bercampur terkejut. Ketika itu satu keyakinan yang begitu mantap masuk ke dalam jiwa saya bahawa Allah lah yang Mengatur Rezeki saya, saya keluarkan RM3000, Allah gantikan hampir RM30,000!Justeru, pengajaran yang boleh saya sharekan di sini adalah jangan khuatir untuk berinfaq di jalan Allah ...jangan suka berkira-kira bila terdapat keperluan jihad di jalan Allah ...

Namun, suatu peristiwa pula terjadi ketika saya di Jakarta tempoh hari. Saya membeli buku-buku untuk di bawa balik ke Malaysia agar ramai sahabat-sahabat dapat membaca buku-buku yang tidak mudah diperolehi di Malaysia. Setelah membelanjakan hampir RM800, saya merasa ingin membeli lagi buku-buku dan berhasrat ingin membelanjakan lagi lebih kurang RM200 untuk membeli buku solat cara nabi yang saya rasa sangat praktikal untuk peserta-peserta yang menghadiri kursus-kursus motivasi yang kami anjurkan. Namun saya teragak-agak untuk membelinya kerana memikirkan keperluan perbelanjaan bila balik ke Malaysia nanti. Justeru saya tidak membelinya hanya melihat saja dari jauh ... Di dalam perjalanan pulang ke airport, suatu peristiwa berlaku dan saya terpaksa membelanjakan RM200 itu ... Allah ambil juga, bisik hati saya ... rasa terpukul saya ketika itu, rasa bodoh pun ada ...

Justeru saya belajar bahawa apabila kita menolong agama Allah, Allah akan menolong kita dan menguruskan rezeki dan kehidupan kita. Jangan berkira-kira dengan Allah kerana duit yang ada dalam tangan kita belum tentu rezeki kita : )

Hanya Allah Yang Maha Mengetahui

0 comments: