Allah Ajarkan Bahawa CintaNya melebihi Cinta hambaNya

Assalamualaikum wr. wb.

Saya agak segan ingin mencatat penulisan ini tetapi saya khuatir saya akan terlupa peristiwa ini. Saya mengharapkan catatan ini dapat dimanfaatkan bersama. Namun sebagai insan yang sangat lemah, saya memohon ampun kepada Allah sekiranya ada sekelumit rasa bangga diri sehingga tercalar keikhlasan menulis di blog ini ...Astaghfirullah ...


Alhamdulillah di suatu hari, Allah mengilhamkan di hati saya bahawa Dia juga mencintai Hamba-hambaNya yang sedang mencintaiNya ... ketika itu saya merasa sangat bahagia, teringat ketika masa muda dulu bila cinta kita mendapat respon ...begitulah yang saya rasa pada waktu itu ... mendapat respon dari Allah bahawa saya tidak bertepuk sebelah tangan .... Saya tersenyum ketika itu ...senyuman penuh kebahagiaan ...bahagia rasa orang bercinta ... tetapi kali ini cinta kepada yang berhak dicintai ...Malah Allah mengilhamkan di hati saya bahawa Cintaku melebihi cinta hambaKu ...

Ketika itu juga saya dialiri kefahaman bahawa apabila kita mencintai Allah, sebenarnya Allah juga berkehendakkan mencintai kita .... maka dialiri jiwa kita dengan kehendak mencintaiNya dan dimudahkan kita menuju jalanNya ...Apabila kita lalai dari mengingati Allah, Allah juga mula menjauh dari kita dan ilhamkanNya dalam jiwa kita sukma kefasikan yang menyebabkan kita bertambah jauh dari Allah ... Kemudian saya teringat sesuatu yang diajarkan oleh Pak Ustaz Abu Sangkan ketika saya pertama kali belajar dengan beliau di Jakarta pada bulan Mac 2009 yang lalu. Pak Ustaz berkata bahawa apabila di hati kita mengingati Allah sebenarnya Allah juga mengingati kita (malah melebihi ingatan kita kepadaNya) ... dan diilham Allah dihati kita dengan ilham ketakwaan maka kita akan sentiasa mahu mendekati Allah dengan amal ibadah seperti pergi ke kelas pengajian, puasa sunat dan sebagainya ... namun apabila kita mula lalai, maka ketika itu Allah juga ingin menjauh dari diri kita dan diilhamkan ke jiwa kita ilham kefasikan dan pada ketika itu syaitanlah yang akan menjadi teman kita .. Namun kerana Allah Ar Rahman Ar Rohim yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang, maka ketika seseorang itu lalai dan sedang berada terus dalam kelalaian, Allah timpakan musibah seperti terkena penyakit atau kemalangan dan sebagainya, agar orang itu akan U turn dan kembali kepada Allah ...

Ringkasnya pengalaman yang saya lalui ini saya melihatnya sebagai suatu proses pembelajaran dari Allah kerana apabila kita mencintai Allah terkadangkala kita lupa bahawa Allah lebih mencintai kita ... kerana Allah itulah satu-satunya Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang dan cinta kita adalah bersumberkan dariNya jua ...

Hanya Allah Yang Maha Mengetahui

Ulasan