Isnin, Februari 23, 2009

Allah Ajarkan Tentang Mengasihi Ibu

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh,

InsyaAllah pada pagi ini saya ingin berkongsi pengalaman di mana Allah mengajarkan saya tentang Mengasihi Ibu.

Peristiwa ini berlaku ketika saya di Masjidil Haram di dalam tempoh menunaikan haji pada tahun 2008. Saya pergi menunaikan haji bersama ibu dan seperti ramai rakan-rakan yang pergi menunaikan haji, saya tidak ketinggalan diuji Allah dengan ibu saya ....tetapi saya bertekad di dalam hati untuk tidak menegur sikap ibu saya yang kadang-kadang saya rasa memberi tekanan kepada saya atau untuk mengajar ilmu yang saya ketahui kerana takut ibu akan kecil hati.

Namun lama kelamaan jiwa saya rasa tertekan kerana segala perasaan itu saya pendamkan dalam hati. Justeru ketika solat maghrib, saya mengikuti apa yang diajar oleh Pak Abu Sangkan di dalam bukunya perlatihan solat khusyuk. Ketika duduk antara dua sujud dan ketika membaca "..wahdini .." (berilah aku petunjuk Ya Allah), saya adukan apa yang saya rasa pada Allah. Hati saya menangis dan merintih pada Allah ketika itu kerana saya tidak mahu melukakan hati ibu tapi perasaan saya amat tertekan. Saya mohon sesungguhnya agar Allah memberikan saya petunjuk ...

Sehabis solat maghrib tersebut seperti biasa saya berzikir dan ketika berzikir itulah seolah-olah ada suara (yang tidak ada bunyi dan tidak ada tulisan) memberi kefahaman ke jiwa saya yang sekiranya saya terjemahkan ke bahasa manusia bunyinya lebih kurang begini, "Apakah kau tidak mahukan ampunanKu dan syurgaKu yang luasnya seluas langit dan bumi ...Bukankah kau suka membantu orang, kau tolong orang sana-sini dan tidak kah kau ketahui bahawa di antara banyak kebajikan yang sedang kau lakukan itu, kebajikan yang paling tinggi adalah kebajikanmu terhadap ibumu. Bersyukurlah ibumu masih hidup kerana dengan itu kau masih mempunyai peluang untuk melakukan kebajikan kepada ibumu dan mendapatkan ampunan dariKu"

Saya rasa sungguh terkejut tetapi sangat bahagia dan merasakan ketika itu bahawa Allah telah menjawab rintihan saya ...Segala masalah terus terlerai dan segala tekanan hilang ketika itu juga ...

Alhamdulillah peristiwa itu telah banyak merubah sikap saya terhadap ibu, segala kekurangan ibu sudah tidak nampak malah saya melihatnya sebagai satu proses insan yang sedang melalui hari tua ...dan semua kita akan melalui proses yang sama insyaAllah. Berbaktilah kepada ibu kita sementara ibu masih ada dan anggaplah segalanya itu sebagai persembahan kasih cinta kita kepada Allah ...

Hanya Allah Yang Maha Mengetahui

Salam

2 ulasan:

halimatun saadiah berkata...

assalammualaikum....
saya berasa sungguh terharu dan beruntung kerana penulisan ummi telah mengubah cara hidup saya drpd yang buruk kepada yang baik.....
saya ingin bertanya kepada ummi...
bolehkah kita menangis dalam sembahyang????
maksud saya menangis kerana menyesal dengan apa yang telah kita lakukan selama kita hidup di dunia ini????
dam macam mane cara untuk kita bertaubat kepada Allah????
adakah dengan sembahyang sahaja????

Ummu Ayman berkata...

Assalamualaikum Halimatun,

Tidak salah kalau menangis ketika solat ..malah kadangkala itu membuatkan kita merasa hampir dengan Allah ...

Untuk bertaubat kepada Allah kita mesti:-

1. Menyesal di atas perbuatan dosa yang kita lakukan
2. Kita bertekad untuk tidak melakukannya lagi.

Itu saja, tak perlu pun sembahyang sunat taubat, tapi kalau boleh buat lebih baik ..

Seterusnya buat apa yang Allah suka, tinggalkan apa yang Allah tidak suka : )

Islam itu mudah ...

Wassalam